Amanat Hari Kebangsaan Singapura 2020
Saudara-saudari sekalian,
Setiap tahun, tidak kira panas ataupun hujan, rakyat Singapura akan berhimpun pada 9 Ogos untuk Perbarisan Hari Kebangsaan, atau NDP, untuk meraikan kemerdekaan negara kita, dan memperbaharui komitmen kita kepada Singapura.
Perbarisan Hari Kebangsaan
suntingSaya beruntung dapat menghadiri hampir setiap Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), sejak perbarisan pertama pada tahun 1966. Salah satu Perbarisan yang saya sertai adalah pada tahun 1968 di Padang. Hujan turun mencurah-curah, namun kontinjen-kontinjen berdiri teguh, dan perbarisan tetap diteruskan, dengan penuh semangat walaupun dalam keadaan basah kuyup. Kita buktikan kepada diri kita sendiri dan juga kepada dunia bahawa rakyat Singapura lasak dan bersemangat waja dalam menghadapi kesukaran. NDP SG50 lima tahun lalu juga tidak dapat dilupakan. Pada tahun itu, kita menyambut Jubli Emas kita serta pencapaian Singapura. Kita juga meraikan sumbangan Perdana Menteri pengasas kita, Encik Lee Kuan Yew. Kita berkabung atas pemergiannya pada tahun itu, tetapi kita juga menegaskan perjuangannya bersama-sama para pemimpin perintis.
Pada tahun-tahun kita mencatat pertumbuhan yang baik, NDP meraikan kemajuan kita, dan kita mengalu-alukan masa depan yang lebih cerah bersama.
Pada tahun-tahun yang mencabar, kita masih menganjurkan NDP, untuk memperbaharui iltizam kita mengharungi badai yang melanda, dan memperteguh Singapura.
Tahun ini, Hari Kebangsaan disambut di tengah-tengah pandemik COVID-19. Kita tidak dapat meraikannya seperti biasa, tetapi kita tetap bertekad untuk mengadakan NDP sebagai simbol perpaduan negara, seperti yang kita telah lakukan setiap tahun sejak kemerdekaan. Kita akan mengadakan Perbarisan yang lebih kecil di Padang, dan pelbagai acara juga dianjurkan di tujuh lokasi di serata pulau pada pagi ini. Setiap lokasi melambangkan satu aspek respons kita terhadap COVID-19 – menawarkan khidmat perubatan bagi rakyat Singapura di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID); menyokong tenaga kerja kita dengan kursus kemahiran dan peluang pekerjaan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI); mendidik para pelajar kita di Sekolah Menengah North Vista; atau mengekalkan semangat kemasyarakatan kita di Kampung Admiralty. Kami mengalu-alukan penyertaan rakyat Singapura di serata negara dan di mana sahaja di dunia, dalam NDP di alam maya dan menyambutnya bersama-sama. Kita semua akan berkongsi saat-saat istimewa seperti apabila pasukan Red Lions mendarat, perarakan kontinjen berkenderaan tiba di kawasan perumahan kita, atau apabila Bendera Negara terbang lalu. Kita semua akan melafazkan Ikrar dan menyanyikan Majulah Singapura, bersama-sama.
Kisah-kisah orang biasa yang menjadi wira
suntingNDP kali ini juga adalah peluang untuk kita mengiktiraf sumbangan para pekerja barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.
Ramai yang membuat sumbangan di luar jangkaan, dan menunjukkan sifat yang terpuji. Para doktor dan jururawat yang telah bersara sanggup berkhidmat secara sukarela di hospital dan dormitori pekerja asing, meskipun terpaksa memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE). Anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka untuk terus membantu operasi melawan COVID-19. Para pegawai awam juga menawarkan diri untuk ditugaskan semula untuk mengaturkan dan menjaga kebajikan para pekerja asing. Rakyat Singapura tampil membantu mereka yang memerlukan. Ada yang mengaturkan pengagihan makanan dan barang-barang dapur kepada warga emas dan keluarga berpendapatan rendah dari rumah ke rumah. Ada pula yang memperbaiki komputer riba yang didermakan untuk para pelajar memerlukan, bagi pembelajaran di rumah. Ribuan rakyat Singapura menawarkan diri untuk dilatih dalam operasi ujian swab. Mereka berkhidmat di kawasan berisiko tinggi seperti dormitori dan kemudahan penjagaan masyarakat. Pekerja asing turut memainkan peranan untuk menyokong operasi ini. Bantuan mereka amat dihargai oleh pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team, dan para pegawai awam.
Sifat ihsan yang dipaparkan mereka semua telah banyak membantu usaha mengekang wabak COVID-19.
Bersiap sedia menghadapi kesukaran ekonomi yang mendatang
suntingKita kini sangat memerlukan perpaduan dan daya tahan ini memandangkan krisis yang kita hadapi ini masih belum nampak penghujungnya. Malah, banyak negara yang pada mulanya berjaya mengawal penularan COVID-19, kini mendapati jumlah kes kembali melonjak. Ini juga boleh berlaku kepada kita, meskipun kita telah melaksanakan langkah berjaga-jaga. Vaksin untuk mengawal ancaman virus ini mungkin siap sekitar satu atau dua tahun lagi. Jadi kita perlu sentiasa berwaspada dan beriltizam untuk melindungi diri kita, orang-orang yang disayangi dan jiran tetangga kita.
Kita juga harus tabah untuk berdepan dengan kemelesetan ekonomi yang teruk. Sudah tentu rakyat Singapura akan berasa cemas dan bimbang. Penutupan perniagaan, pemberhentian pekerja dan pengangguran mungkin meningkat dalam bulan-bulan mendatang.
Tetapi ini bukanlah krisis ekonomi pertama yang kita alami. Dalam tempoh sekitar suku abad lalu, kita sudah melalui Krisis Kewangan Asia (1997-1998), kesan akibat serangan pengganas Sebelas September (2001), dan Krisis Kewangan Global (2007-2009). Setiap kali ia berlaku, prospek ekonomi negara menjadi suram, dan kita bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk. Namun setiap kali itu juga, kita bekerja keras untuk memantapkan kedudukan kita, cekalkan hati dan mengatasinya bersama- sama.
Saya tetap yakin kita akan berjaya mengatasi krisis ini sekali lagi, walaupun kita mungkin mengambil masa yang lebih lama. Semua mesti memainkan peranan masing- masing. Tidak seorang pun yang akan tersisih. Pemerintah sedang giat membantu rakyat mencari pekerjaan dan memperoleh kemahiran baru. Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS) adalah antara skim yang meringankan beban majikan dan individu. Gerakan Buruh sedang bekerjasama dengan para majikan untuk mewujudkan program-program latihan pekerjaan dan laluan kerjaya. Ia juga akan memastikan setiap pekerja dilayan dengan adil dan berhemah, terutamanya apabila pemberhentian pekerja tidak dapat dielakkan. Para majikan juga mesti berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan pekerja mereka, dan tidak cepat memberhentikan pekerja apabila menghadapi masalah. Ini akan menyemai kesetiaan, serta menggalak pekerja membantu majikan membina semula syarikat apabila ekonomi pulih kelak.
Pengalaman kita memerangi COVID-19, penuh onak dan duri. Ia telah menyatukan kita. Malah, beban yang dipikul bersama ini akan memperkukuh ikatan kita sebagai rakyat yang bersatu padu. Sama seperti bagaimana Generasi Perintis dan Generasi Merdeka memupuk semangat waja selepas mengalami peristiwa Perpisahan dan Kemerdekaan, serta krisis-krisis ekonomi pada tahun-tahun awal selepas Merdeka.
Oleh itu, marilah kita kuatkan semangat dalam menghadapi ujian-ujian yang mendatang supaya suatu hari nanti, apabila cucu-cicit kita menyambut Hari Kebangsaan, mereka akan mengenang kembali dan dengan bangga menyatakan inilah generasi yang bersatu padu, berkorban, dan membina Singapura untuk semua.
Dataran NS
suntingPada setiap Hari Kebangsaan, kita mengingatkan diri kita bahawa Singapura mempunyai kisah yang wajar diraikan, sejarah yang wajar dihargai, dan masa depan yang wajar dibina.
Apabila kita mengadakan Perbarisan di Padang, atau di Float@Marina Bay, para penonton boleh melihat latar langit Marina Bay sebagai latar belakang. Sebelum ini, Marina Bay merupakan kawasan lautan terbuka. Dengan menambak tanah, kami mengubah kawasan itu menjadi tempat bendungan air. Kami membangunkannya secara bertahap-tahap, untuk mewujudkan sebuah pusat bandar yang luar biasa, dan bersemarak. Apabila anda memandang ke seberang Marina Bay, dengan serta-merta anda boleh meniti kemajuan Singapura, dan dapat membayangkan kemungkinan dan potensi masa depan yang boleh diterokai.
Hari ini, apabila rekrut NS tamat Latihan Asas Tentera (BMT), mereka berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan mereka di The Float dan mengadakan perbarisan tamat latihan di sana. Upacara ini memberikan mereka gambaran apa yang mereka pertahankan, dan mengapa setiap generasi anggota NS sanggup berkhidmat dan berkorban untuk mempertahankan metropolis yang kita bina bersama, dan juga masyarakat yang menghasilkan semua ini: Keluarga kita. Kawan-kawan kita. Masa depan kita.
Tiga tahun lalu, kami umumkan bahawa The Float akan dibina semula untuk menjadi struktur yang tetap bagi memperingati NS, dan peranan penting NS di Singapura. Kami menamakan ruang ini Dataran NS. Kontrak rekabentuk telah dianugerahkan. Begini rupanya nanti. Pembangunan ini akan dibina pada paksi pusat, berhadapan The Promontory yang juga terletak bertentangan Marina Bay. Pentasnya akan kelihatan sebagai satu titik merah yang berkilauan di kota kita. Dataran NS akan menjadi ciri utama pusat bandar baru kita. Kita akan membina sebuah galeri untuk mempamerkan kisah NS, dan mengiktiraf sumbangan anggota NS, dari dulu hingga sekarang. Dataran NS juga sebuah ruang masyarakat, yang boleh dinikmati semua orang, baik yang muda mahupun tua. Dan sudah tentu, kita akan terus mengadakan NDP di sana.
Kesimpulan
suntingPada Hari Kebangsaan ini, sedang kita meraikannya di seluruh negara, kita akan melafazkan Ikrar dan menyanyikan Majulah Singapura secara serentak - mungkin tidak sekuat yang biasa disebabkan COVID-19, tetapi di dalam hati kita, dengan penuh perasaan.
Masih banyak impian dan matlamat yang mahu kita capai. Marilah kita tunjukkan kepada dunia bahawa walau apa pun cabaran yang dihadapi, rakyat Singapura akan bangkit dan bersatu-padu untuk mengatasinya.
Saya ucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua!
Catatan
suntingEn Masagos Zulkifli, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, dan Menteri Kedua Kesihatan, menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2020 Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam bahasa Melayu. Amanat ini dirakamkan di Istana dan disiarkan pada 9 Ogos 2020.
Sumber
sunting- National Day Message 2020 (Malay) - Pejabat Perdana Menteri Singapura