- (i) mengubah dengan jelas karya itu; dan
- (ii) sedemikian rupa yang dengan munasabahnya boleh dianggap sebagai memudaratkan kehormatan atau reputasi pencipta.
(3) Jika seseorang telah dibenarkan, sama ada oleh sebab sesuatu serah hak, lesen atau selainnya, untuk menerbitkan, mengeluar semula, melakukan di hadapan awam atau menyampaikan kepada orang awam sesuatu karya, orang itu boleh melakukan ubah suaian ke atas karya itu jika adalah munasabah untuk menjangkakan yang penerbitan, pengeluaran semula, pertunjukan awam atau penyampaian kepada orang awam yang dibenarkan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, tidak boleh dilakukan tanpa ubah suaian itu, tetapi tiada apa jua pun dalam subseksyen ini boleh membenarkan suatu ubah suaian ke atas karya yang akan menjadi pelanggaran terhadap subseksyen (2).
(4) Pencipta atau, selepas kematiannya, wakil dirinya, boleh menggunakan hak yang diberikan oleh seksyen ini walaupun pada masa aduan terhadap perbuatan itu dibuat, hak cipta ke atas karya itu tidak terletak hak pada pencipta atau wakil diri, mengikut mana-mana yang berkenaan.
(5) Apa-apa pelanggaran atau pelanggaran yang mungkin berlaku terhadap seksyen ini berkenaan dengan sesuatu karya bolehlah diambil tindakan atas guaman pencipta karya itu atau, jika dia mati, atas guaman wakil dirinya, sebagai pelanggaran terhadap kewajipan statutori.
(6) Apa-apa ganti rugi yang didapati di bawah seksyen ini oleh seorang wakil diri berkenaan dengan suatu pelanggaran yang dilakukan berhubungan dengan suatu karya selepas kematian pencipta karya itu hendaklah turun sebagai sebahagian daripada estet pencipta, seolah-olah hak bertindak telah wujud dan terletak hak ke atasnya sebaik sahaja sebelum kematiannya.
(7) Jika dalam sesuatu tindakan yang dibawa di bawah seksyen ini suatu pelanggaran terhadap sekatan yang dikenakan oleh seksyen ini dibuktikan atau diakui, mahkamah boleh memerintahkan pesalah supaya menyiarkan apa-apa pembetulan mengikut cara sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah.