Laman:Akta Hak Cipta 1987.pdf/72

Laman ini telah disahkan
72
Undang-Undang Malaysia
AKTA 332


(g) keperluan untuk menghalang pelanggaran atau perbuatan yang dilarang lain yang serupa; dan
(h) semua perkara lain yang berkaitan.

(9) Injunksi tidak boleh dikeluarkan dalam apa-apa prosiding di bawah seksyen ini jika ia menghendaki sesuatu bangunan yang sudah siap atau sebahagiannya sudah dibina diruntuhkan atau menahan sesuatu bangunan yang sebahagiannya sudah dibina daripada disiapkan.

(10) Bagi maksud seksyen ini dan seksyen 38—

(a) "tindakan" termasuklah tuntutan balas, dan sebutan mengenai plaintif dan mengenai defendan dalam sesuatu tindakan hendaklah ditafsirkan sewajarnya;
(b) "karya kolektif" ertinya suatu karya yang dalamnya bahan yang berkaitan, yang setiap satunya merupakan karya yang berasingan dan tersendiri, dikumpulkan menjadi suatu karya lengkap secara kolektif; dan
(c) "mahkamah" ertinya Mahkamah Tinggi yang berkenaan di Malaysia.

(11) Bagi maksud seksyen ini, "pemunya hak cipta" ertinya pemunya pertama atau pemegang serah hak bahagian hak cipta yang berkaitan itu.


Prosiding dalam hal hak cipta yang tertakluk kepada lesen eksklusif


38. (1) Seksyen ini hendaklah terpakai mengenai prosiding dalam hal mana-mana hak cipta yang berkenaan dengannya suatu lesen eksklusif telah diberi dan berkuat kuasa pada masa peristiwa yang berkaitan dengan prosiding itu.

(2) Tertakluk kepada seksyen ini, pemegang lesen eksklusif hendaklah (kecuali terhadap pemunya hak cipta itu) mempunyai hak bertindak yang sama dan hendaklah berhak kepada remedi yang sama, di bawah seksyen 37, seakan-akan lesen itu adalah suatu penyerahhakan, dan hak dan remedi itu hendaklah sama dengan hak dan remedi pemunya hak cipta itu di bawah seksyen itu.