Laman:Akta Hak Cipta 1987.pdf/75

Laman ini telah disahkan
Hak Cipta
75


(tertakluk kepada terma dan syarat dengan seberapa hampir yang boleh sama dengan terma dan syarat yang tertakluk kepadanya lesen itu telah diberi) berkenaan dengan permohonannya untuk melakukan, di tempat dan pada masa yang dibenarkan oleh lesen itu, perbuatan yang dibenarkan sedemikian;

"lesen eksklusif" ertinya lesen yang ditandatangani oleh atau bagi pihak seseorang pemunya atau bakal pemunya hak cipta membenarkan pemegang lesen itu dengan mengecualikan mana-mana orang lain, untuk menjalankan suatu hak yang menurut kuasa Akta ini (selain daripada lesen itu) boleh dijalankan secara eksklusif oleh pemunya hak cipta itu; dan "pemegang lesen eksklusif" hendaklah ditafsirkan sewajarnya;

"pihak yang satu lagi", berhubungan dengan pemunya hak cipta, ertinya pemegang lesen eksklusif itu dan berhubungan dengan pemegang lesen eksklusif, ertinya pemunya hak cipta itu.


Sekatan ke atas pengimportan salinan langgaran


39. (1) Pemunya hak cipta mengenai mana-mana karya, atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya, boleh membuat permohonan kepada Pengawal untuk meminta supaya sepanjang tempoh yang dinyatakan dalam permohonan itu salinan karya yang baginya seksyen ini terpakai dianggap sebagai salinan langgaran.

(1A) Permohonan di bawah subseksyen (1)—

(a) hendaklah dalam bentuk sebagaimana yang ditetapkan;
(b) hendaklah menyatakan yang orang yang dinamakan di dalamnya adalah pemunya hak cipta itu; dan
(c) hendaklah disokong oleh apa-apa dokumen dan maklumat, dan disertai dengan fi, sebagaimana yang ditetapkan.

(2) Seksyen ini hendaklah terpakai kepada mana-mana salinan sesuatu karya yang dibuat di luar Malaysia yang pembuatannya dijalankan tanpa persetujuan atau lesen pemunya hak cipta dalam karya itu.