Laman:Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 (Akta 641).pdf/15

Laman ini telah dibaca pruf
Konvensyen Senjata Kimia
15


Fungsi dan kuasa Pihak Berkuasa Kebangsaan

7. (1) Pihak Berkuasa Kebangsaan hendaklah melaksanakan fungsi mengawas dan memastikan pelaksanaan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen, termasuk—

(a) memastikan keberkesanan pelaksanaan Akta ini;
(b) memudahkan pemeriksaan di bawah Konvensyen, termasuk berkerjasama dengan Inspektor Antarabangsa dalam pemeriksaan dicabar;
(c) mengumpul data untuk dilaporkan dalam perisytiharan tahunan kepada Pertubuhan;
(d) memberikan Pertubuhan dan Negara Pihak lain maklumat yang berkenaan dalam memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen;
(e) mengawal selia dan mengawasi persoalan atau perkara yang berhubungan dengan Konvensyen, termasuk pelaksanaan Konvensyen dalam negeri;
(f) mengeluarkan kebenaran berkenaan dengan aktiviti yang berhubungan dengan bahan kimia toksik yang disenaraikan dalam Jadual 1;
(g) mengeluarkan arahan kepada mana-mana Inspektor Kebangsaan bagi tujuan penguatkuasaan dan keberkesanan pelaksanaan Akta ini;
(h) menasihati Menteri secara am mengenai persoalan atau perkara yang berhubungan dengan Konvensyen;
(i) melevi apa-apa fi, sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri, berkenaan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Kebangsaan;
(j) melakukan apa-apa jua yang bersampingan atau bersesuaian dengan pelaksanaan mana-mana fungsi yang disebut dalam perenggan (a) hingga (i).