Laman:Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 (Akta 641).pdf/19

Laman ini telah dibaca pruf
Konvensyen Senjata Kimia
19


(2) Mana-mana anggota yang dilantik untuk bertindak sebagai Pengerusi sementara semasa apa-apa tempoh di bawah seksyen ini boleh dengan sewajarnya melaksanakan kewajipan dan fungsi dan menjalankan kuasa Pengerusi semasa tempoh itu.

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kebangsaan

13. (1) Pihak Berkuasa Kebangsaan hendaklah bermesyuarat seberapa kerap yang perlu bagi melaksanakan fungsinya pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh Pengerusi.

(2) Tujuh orang anggota termasuk Pengerusi hendaklah membentuk kuorum mesyuarat Pihak Berkuasa Kebangsaan.

(3) Pengerusi hendaklah mempengerusikan semua mesyuaratnya.

(4) Dalam mana-mana mesyuarat Pihak Berkuasa Kebangsaan, Pengerusi hendaklah mempunyai undi biasa dan hendaklah, sekiranya terdapat bilangan undi yang sama banyak, mempunyai undi pemutus.

Pihak Berkuasa Kebangsaan boleh mengundang orang lain menghadiri mesyuarat

14. (1) Pihak Berkuasa Kebangsaan boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat atau pertimbangtelitian Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi tujuan menasihatinya tentang apa-apa perkara yang dibincangkan.

(2) Mana-mana orang yang menghadiri mesyuarat atau pertimbangtelitian di bawah subseksyen (1) tidak berhak untuk mengundi.

Setiausaha kepada Pihak Berkuasa Kebangsaan

15. Menteri hendaklah melantik seorang pegawai awam sebagai Setiausaha kepada Pihak Berkuasa Kebangsaan.