kebenaran itu, memberikan maklumat yang palsu atau mengelirukan atau tidak tepat kepada Pihak Berkuasa Kebangsaan.
(2) Pihak Berkuasa Kebangsaan hendaklah mengeluarkan suatu notis secara bertulis mengenai penarikbalikan itu kepada orang yang kepadanya kebenaran itu dikeluarkan.
(3) Penarikbalikan sesuatu kebenaran yang dikeluarkan kepada seseorang hendaklah mula berkuat kuasa—
- (a) jika tiada rayuan terhadap penarikbalikan itu, setelah habis tempoh empat belas hari dari tarikh notis penarikbalikan itu disampaikan kepada orang itu; atau
- (b) jika terdapat rayuan terhadap penarikbalikan itu, apabila penarikbalikan itu disahkan oleh Menteri.
Rayuan terhadap keputusan Pihak Berkuasa Kebangsaan
26. (1) Mana-mana orang yang terkilan dengan apa-apa keputusan Pihak Berkuasa Kebangsaan boleh merayu kepada Menteri mengikut cara yang ditetapkan dalam masa 30 hari dari tarikh keputusan itu disampaikan kepada orang itu.
(2) Keputusan Menteri mengenai rayuan di bawah subseksyen (1) adalah muktamad.
Pemindahan
27. (1) Jika mana-mana orang dibenarkan untuk memindahkan suatu bahan kimia toksik yang disenaraikan dalam Jadual 1, orang itu tidak boleh—
- (a) memindahkan semula bahan kimia toksik itu ke suatu Negara ketiga; atau
- (b) memindahkan bahan kimia toksik itu ke mana-mana Negara bukan Pihak kepada Konvensyen.