Perlindungan pegawai
53. Tiada tindakan atau pendakwaan boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap Pihak Berkuasa Kebangsaan, seseorang Inspektor Kebangsaan, mana-mana pegawai yang dilantik dengan sewajarnya di bawah Akta ini, seseorang pegawai polis atau seseorang Pegawai Kanan Kastam bagi atau atas sebab atau berkenaan dengan apa-apa perbuatan yang diperintahkan atau yang dilakukan bagi tujuan melaksanakan Akta ini jika perbuatan itu dilakukan dengan suci hati dan bahawa ia perlu bagi tujuan yang dimaksudkan untuk dicapai dengannya.
Pemulaan pendakwaan
54. Tiada pendakwaan bagi atau berhubung dengan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan kebenaran bertulis Pendakwa Raya.
Halangan
55. (1) Tiada seorang pun boleh menghalang, merintangi atau mengganggu mana-mana anggota Pihak Berkuasa Kebangsaan, seseorang Inspektor Antarabangsa, seseorang Inspektor Kebangsaan, mana-mana pegawai yang dilantik dengan sewajarnya di bawah Akta ini, seseorang pegawai polis atau seseorang Pegawai Kanan Kastam dalam pelaksanaan fungsinya di bawah Akta ini.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1), melakukan suatu kesalahan.
Kesalahan berkenaan dengan maklumat
56. (1) Mana-mana orang yang mengemukakan maklumat palsu atau mengelirukan dalam apa-apa permohonan, laporan atau dokumen lain bagi apa -apa tujuan di bawah Akta ini melakukan suatu kesalahan.