Laman:Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 (Akta 641).pdf/47

Laman ini telah dibaca pruf
Konvensyen Senjata Kimia
47


Kesalahan oleh pertubuhan perbadanan

59. Jika apa-apa kesalahan di bawah Akta ini telah dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, mana-mana orang yang pada masa pelakuan kesalahan itu ialah seorang pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain yang seumpamanya dalam pertubuhan perbadanan itu atau yang berupa sebagai bertindak atas mana-mana sifat sedemikian, atau yang dalam apa-apa cara atau sehingga apa-apa takat bertanggungjawab atas pengurusan apa-apa hal ehwal pertubuhan perbadanan itu, atau yang membantu dalam pengurusan sedemikian, juga melakukan kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuan, persetujuan atau pembiarannya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha yang wajar dilakukannya untuk mencegah pelakuan kesalahan itu, dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu dan segala hal keadaan.

Kesalahan oleh pekerja atau ejen

60. Jika mana-mana orang boleh di bawah Akta ini dikenakan hukuman atau penalti bagi apa-apa perbuatan, peninggalan, keabaian atau keingkaran, maka orang itu boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama bagi tiap-tiap perbuatan, peninggalan, keabaian atau keingkaran sedemikian oleh mana-mana pekerja atau ejennya, atau ejen pekerja itu, jika perbuatan, peninggalan, keabaian atau keingkaran itu telah dilakukan oleh pekerja orang itu dalam masa penggajiannya atau oleh ejen itu semasa bertindak bagi pihak orang itu atau oleh pekerja ejen itu dalam masa penggajian pekerja itu oleh ejen itu atau selainnya bagi pihak ejen itu.

Kesalahan di luar Malaysia

61. (1) Mana-mana orang yang melakukan atau meninggalkan daripada melakukan, di luar Malaysia, sesuatu perbuatan dan pelakuan perbuatan itu atau peninggalan perbuatan itu, jika dilakukan atau ditinggalkan di dalam Malaysia, menjadi kesalahan di bawah Akta ini, hendaklah, jika orang itu ialah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap, disifatkan telah melakukan perbuatan itu atau meninggalkan perbuatan itu di dalam Malaysia.