Laman:Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 (Akta 641).pdf/7

Laman ini telah dibaca pruf
7


UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 641

AKTA KONVENSYEN SENJATA KIMIA 2005

Suatu Akta untuk menguatkuasakan Konvensyen tentang Larangan Penghasilan, Pengeluaran, Pengumpulan Stok dan Penggunaan Senjata Kimia dan tentang Pemusnahannya, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara lain yang berkaitan dengannya.

[1 September 2006, P.U. (B) 231/2006]

BAHAWASANYA Konvensyen tentang Larangan Penghasilan, Pengeluaran, Pengumpulan Stok dan Penggunaan Senjata Kimia dan tentang Pemusnahannya telah ditandatangani di Paris pada 13 Januari 1993:

DAN BAHAWASANYA Malaysia telah mendepositkan surat cara ratifikasinya pada 20 April 2000 dan oleh yang demikian mengikut Perkara XXI Konvensyen, Konvensyen tersebut mula berkuat kuasa setakat yang berkenaan dengan Malaysia pada 20 Mei 2000:

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN INILAH DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti yang berikut:

Bahagian I
PERMULAAN

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005.

(2) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.