Laman:Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Akta 149).pdf/17

Laman ini telah dibaca pruf
Racun Makhluk Perosak
17


(3) Pengerusi atau ahli lain yang mempengerusikan sesuatu mesyuarat Lembaga hendaklah mempunyai suatu undi biasa dan, jika mengenai sesuatu persoalan undi-undi itu terbahagi sama banyak, suatu undi pemutus.

(4) Lembaga hendaklah mengadakan mesyuarat di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Pengerusi; dan pada sesuatu mesyuarat Lembaga tujuh orang ahli termasuk Pengerusi atau ahli lain yang mempengerusikan mesyuarat itu, hendaklah menjadi suatu kuorum.

(5) Lembaga boleh menjemput mana-mana orang untuk menghadiri mana mana mesyuaratnya tetapi orang itu tidak mempunyai hak untuk mengundi pada mesyuarat itu.

(6) Tertakluk pada seksyen ini, Lembaga boleh mengatur tatacaranya sendiri.

Bahagian III

KAWALAN PENGIMPORTAN DAN PENGILANGAN RACUN MAKHLUK PEROSAK MELALUI PENDAFTARAN DAN PERMIT

Permohonan bagi pendaftaran racun makhluk perosak

7. (1) Seseorang yang berhasrat untuk mengimport atau mengilang sesuatu racun makhluk perosak hendaklah membuat permohonan kepada Lembaga, mengikut cara yang ditetapkan bagi pendaftaran racun makhluk perosak itu.

(2) Tertakluk pada subseksyen (4), seseorang pemohon mestilah, bersama dengan permohonannya menghantar kepada Lembaga—

(a) suatu pernyataan mengenai nama biasa racun makhluk perosak itu, jika boleh didapati, nama dagangannya, nama kimianya, dan formula strukturnya, dan nama dan kepekatan tiap-tiap perawis aktif racun makhluk perosak itu;