(4) Seseorang ahli sesuatu jawatankuasa hendaklah memegang jawatan bagi apa-apa tempoh yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya dan layak untuk dilantik semula.
(5) Pelantikan mana-mana ahli sesuatu jawatankuasa boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Lembaga, dengan menyatakan sebab bagi pembatalan itu.
(6) Seseorang ahli sesuatu jawatankuasa boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatannya dengan memberikan notis secara bertulis yang ditujukan kepada Pengerusi Lembaga.
(7) Lembaga boleh, pada bila-bila masa, memberhentikan atau mengubah keahlian sesuatu jawatankuasa.
(8) Sesuatu jawatankuasa hendaklah tertakluk kepada, dan bertindak mengikut, apa-apa arahan yang diberikan kepadanya oleh Lembaga.
(9) Mesyuarat sesuatu jawatankuasa hendaklah diadakan pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sebagaimana yang ditentukan oleh pengerusi jawatankuasa.
(10) Sesuatu jawatankuasa hendaklah menyebabkan—
- (a) minit semua mesyuaratnya disenggarakan dan disimpan dalam bentuk yang sepatutnya; dan
- (b) salinan minit semua mesyuaratnya dikemukakan kepada Lembaga secepat yang dapat dilaksanakan.
(11) Sesuatu jawatankuasa boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuaratnya bagi maksud menasihatinya tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan tetapi orang itu tidak berhak untuk mengundi pada mesyuarat itu.
(12) Ahli sesuatu jawatankuasa atau mana-mana orang yang diundang di bawah subseksyen (11) boleh dibayar apa-apa elaun dan belanja lain yang ditentukan oleh Lembaga.
(13) Sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen ini boleh mengawal selia tatacaranya sendiri.
Senat
17. (1) Senat hendaklah terdiri daripada—
- (a) Naib Canselor yang hendaklah menjadi Pengerusi;
- (b) semua Timbalan Naib Canselor;