Laman:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/66

Laman ini telah dibaca pruf
66
Undang-Undang Malaysia
AKTA 30



Menerima masuk pelajar

47. Seseorang pelajar tidak boleh diterima masuk ke Universiti dalam sesuatu kursus pengajian untuk sesuatu ijazah melainkan jika dia telah memenuhi kehendak yang ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah:

Dengan syarat bahawa, kecuali dengan persetujuan Menteri, pelajar yang telah diberi biasiswa Persekutuan atau biasiswa Negeri, pinjaman atau bantuan kewangan lain yang seumpamanya dari wang awam untuk kursus ijazah Universiti, tidak boleh ditolak jika mereka memenuhi kehendak itu.


Majlis Pewakilan Pelajar


48. (1) Pelajar berdaftar Universiti, selain pelajar luar, hendaklah pada kesemuanya menjadi suatu badan yang dinamai Kesatuan Pelajar-Pelajar Universiti (kemudian daripada ini dalam Perlembagaan ini disebut “Kesatuan”).

(1A) Lembaga boleh membuat Peraturan-Peraturan bagi penjalanan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dan bagi segala perkara yang berhubungan dengannya.

(2) Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis Pewakilan Pelajar-Pelajar (kemudian daripada ini dalam Perlembagaan ini disebut “MPP”) mengikut cara yang berikut:

(a) pelajar berdaftar setiap Kampus Cawangan Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh ketua Kampus atau Dekan Fakulti atau Ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institut, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebilangan pelajar berdaftar yang sama bilangannya daripada Kampus Cawangan, Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPP, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor; dan
(b) pelajar berdaftar sebagai keseluruhan hendaklah memilih dengan undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar, mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil dalam MPP, dan bilangan pelajar itu hendaklah, walau bagaimanapun, tidak lebih daripada setengah daripada bilangan wakil yang dipilih di bawah perenggan (a).

(3) MPP hendaklah memilih dari antara ahlinya seorang Yang Dipertua, seorang Naib Yang Dipertua, seorang Setiausaha dan seorang Bendahari dan hanya merekalah sahaja yang menjadi pemegang jawatannya, melainkan jika dibenarkan secara bertulis sebaliknya oleh Naib Canselor; pemegang jawatan yang dibenarkan sedemikian oleh Naib Canselor hendaklah dipilih oleh MPP dari antara ahli MPP.

(4) Ahli MPP dan pemegang jawatannya hendaklah dipilih selama satu tahun.