UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 30
AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI
1971
Suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi menubuhkan, menyelenggara dan mentadbirkan Universiti dan Kolej Universiti dan bagi perkara lain yang berkenaan dengannya.
MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Tajuk ringkas
1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Tafsiran
2. Dalam Akta ini—
“Canselor”, berhubung dengan sesuatu Universiti, ertinya Canselor Universiti itu dan termasuklah mana-mana orang lain, dengan gelaran apa jua disebut, yang dilantik sebagai Ketua sesuatu Universiti dan “Pro-Canselor” hendaklah ditafsirkan sewajarnya;