Laman:Petila Brunei - 1 Julai 1956.pdf/2

Laman ini telah dibaca pruf

PELITA BRUNEI

Tahun 1 No. 10
DITERBITKAN OLEH PEJABAT PENERANGAN
KERAJAAN BRUNEI
DUA KALI SABULAN
1 JULY, 1956.

DYMM SULTAN KEMBALI KA BRUNEI DARI MALAYA

 Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei, Sir Omar Ali Saifuddin akan kembali ka Brunei dari Singapura pada hari Thalatha 3 July, 1956 satelah menjalankan lawatan tidak rasmi di Singapura dan di Persekutuan Tanah Melayu.

 Duli Yang Maha Mulia Sultan telah berangkat dari Brunei pada 11 June yang lalu bersama Putera Baginda yang sulong, Pengiran Muda Hassanal Bolkiah dan Puteri Baginda yang sulong, Pengiran Anak Puteri Masnah, serta diiringi oleh Wazir Yang Pertama Negeri Brunei, Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Bendahara dan Setia Usaha Sulit Baginda, Pehin Dato' Haji Ibrahim bin Jahfar.

 Baginda telah belayar dari Singapura ka Labuan dengan kapal "Darvel" pada 29 June dan akan belayar dari Labuan ka Brunei dengan kapal "Bolkiah" pada 3 July. Terlebeh dahulu Juru Iring kapada Baginda, Pengiran Anak Omarali bin Pengiran Bendahara Anak Abdul Rahman telah berangkat ka Labuan untok menemui Baginda disana.

 Persediaan telah dijalankan untok mengadakan satu Barisan Kehormatan kerana memberi hormat kapada Baginda pada masa Baginda tiba dengan kapal "Bolkiah" di Tambatan Bandar Brunei pada hari yang tersebut, dalam mana Yang Berhormat British Resident Brunei; Ahli2 Majlis Mashuarat Negeri dan Ketua2 Pejabat2 Kerajaan akan hadzir bersama.

PESUROH JAYA TINGGI MELAWAT BRUNEI

Tuan Yang Terutama Pesuroh Jaya Tinggi Negeri Brunei dan juga Pegawai Yang Mentadbirkan Kerajaan Sarawak Yang Berhormat Mr. J. H. Ellis, C. M. G., telah tiba di Brunei dari Kuching, Sarawak pada 30 June, 1956 dengan kapal Kerajaan Sarawak "Zahora" dalam satu lawatan yang rasmi.

Tuan Yang Terutama itu akan kembali ka Sarawak pada hari Khamis 5 July, 1956 dan pada masa berada di Brunei, beliau akan tinggal di Muara Lodge, Muara.