UNDANG-UNDANG NEGERI KELANTAN
UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH KERAJAAN KELANTAN
BAHAGIAN YANG PERTAMA
IBRAHIM
Bismillahhirahmanirrahim
Alhamdulillah Rabbil 'alamin, wassolatu wassalamu ala Sayyidina Muhammad wa ala Alihi wa Sahbihi ajmain.
ALWATHIQ BILLAHI IBRAHIM bagi Kerajaan dan Jajahan Kelantan dan segala Daerah Takluknya, Sultan dan Raja, Raja dan Ketua bagi Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati, Raja dan Ketua bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia, Raja dan Ketua bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia dan Taulan bagi Darjah Kebesaran, Saint Michael dan Saint George Yang Amat Terbilang:
BAHAWA KITA telah mengaku di dalam Perjanjian yang KITA telah buat dengan YANG MAHA MULIA BAGINDA KING pada 21 haribulan Januari tahun 1948 (yang kemudian daripada ini digelarkan "Perjanjian Kelantan Tahun 1948"), hendaklah memerintah Negeri Kelantan KITA tertakluk kepada syarat-syarat satu Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan yang bertulis yang akan berbetulan dengan Perjanjian yang tersebut itu dan juga dengan Perjanjian yang lain lagi yang KITA telah buat dengan YANG MAHA MULIA BAGINDA KING pada 21 haribulan Januari Tahun 1948 (yang kemudian daripada ini digelarkan "Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu Tahun 1948"):