Laman ini telah dibaca pruf
Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan
23
(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah memutuskan mengikut timbangannya di dalam menjalankan kewajipan-kewajipan yang tersebut di bawah ini (selain daripada kewajipan-kewajipan yang boleh diputuskan mengikut timbangannya menurut Perlembagaan Persekutuan) iaitu –
- (a) melantik Menteri Besar;
- (b) menahankan persetujuannya di atas permintaan hendak membubarkan Dewan Negeri itu;
- (c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan kebebasan-kebebasan, taraf kedudukannya, kehormatan-kehormatan dan darjah kebesaran Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia atau berkenaan dengan perkara-perkara, upacara-upacara atau istiadat agama;
- (d) apa-apa jua kewajipan sebagai Ketua agama Islam atau berkenaan dengan adat istiadat orang Melayu;
- (e) melantik Waris atau Waris-Warisnya, Raja Perempuan, Pemangku Raja atau Majlis Pangkuan Raja;
- (f) pelantikan orang kepada pangkat, gelaran-gelaran, kehormatan-kehormatan dan kebesaran adat Melayu, dan menugaskan kewajipan-kewajipan yang bersangkut-paut dengannya;
- (g) kawalan balai-balai penghadapan, istana raja dan semua jabatan Kerajaan Negeri.
(3) Undang-undang Negeri bolehlah membuat syarat menghendakkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melakukan selepas berunding dengan atau atas pengesyoran mana-mana orang atau badan-badan pertubuhan di dalam menjalankan apa-apa jua kewajipannya selain daripada –
- (a) kewajipan-kewajipan yang boleh dijalankan mengikut timbangannya;
- (b) kewajipan-kewajipan berkenaan dengan menjalankan yang mana syarat telah diperbuat di dalam Perlembagaan Negeri ataupun Perlembagaan Persekutuan.