Laman ini telah dibaca pruf
32
Undang-Undang Negeri Kelantan
Kelayakan ahli-ahli
30. Tiap-tiap seorang warganegara berumur atau berumur lebih daripada lapan belas tahun yang tinggal di dalam Negeri ini adalah layak menjadi ahli Dewan Negeri, melainkan ianya tidak layak kerana menjadi seorang ahli mengikut Perlembagaan Persekutuan atau Bahagian ini atau pun mengikut mana-mana undang-undang yang disebut di dalam Perkara 31.
Tidak layak menjadi ahli Dewan Negeri
31. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat Perkara ini, seseorang itu tidak layak menjadi ahli Dewan Negeri jika –
- (a) ialah seorang yang telah didapati atau ditetapkan tidak sempurna akal;
- (b) ialah muflis yang belum selesaikan lagi;
- (c) ia memegang sesuatu jawatan yang bermanfaat;
- (d) setelah dilantik masuk sama ada kepada pilihan Parlimen ataupun kepada Dewan Negeri, atau setelah melakukan sebagai wakil pilihan kepada seorang yang telah dilantik itu, ia mungkir memasukkan mana-mana penyata berkenaan dengan perbelanjaan pilihan yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan cara yang dikehendaki itu;
- (e) ia telah didapati salah di atas satu kesalahan oleh sebuah mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda sebanyak tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan telah tidak menerima pengampunan;
- (f) ia tidak layak di bawah mana-mana undang-undang bersabit dengan kesalahan-kesalahan berhubung pilihan-pilihan sama ada kepada Parlimen ataupun kepada Dewan Negeri dengan sebab ianya telah didapati salah daripada satu kesalahan yang seumpama itu atau pun dalam perbicaraan bersabit sesuatu pilihan didapati salah daripada satu perbuatan yang bersabit dengan kesalahan yang seumpama itu; atau
- (g) ia dengan sengajanya mendapat kewarganegaraannya negara asing, atau menjalankan hak-hak kewarganegaraannya di dalam negara asing atau telah membuat ketetapan taat setia kepada sebuah negara asing.