(2) Tidak berkelayakan mana-mana orang di bawah perenggan (d) atau perenggan (e) daripada Fasal (1) bolehlah dibuang oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kiranya tidak dibuang hendaklah terhenti pada akhir satu tempoh lima tahun mulai dari tarikh yang penyata yang tersebut di dalam perenggan (d) di atas telah dikehendaki dimasukkan atau, menurutlah mana-mana yang berlaku, tarikh yang orang itu telah didapati kesalahan sebagaimana yang disebut di dalam perenggan (e) yang tersebut itu telah dibebaskan daripada tahanan atau tarikh telah dikenakan denda yang tersebut di dalam perenggan (e) itu, dan mana-mana orang hendaklah layak di bawah perenggan (g) Fasal (1) dengan sebab cumanya kerana melakukan olehnya apa-apa perkara dahulu daripada ia menjadi seorang warganegara.
(3) Seseorang yang melepaskan keahliannya dalam Dewan Negeri hendaklah, selama tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakannya daripada menjadi ahli Dewan Negeri.
Pertukaran parti politik anggota, dsb.
31A. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Undangan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker jika –
- (a) setelah dipilih ke Dewan Undangan sebagai anggota suatu parti politik –
- (i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau
- (ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti poltik itu; atau
- (b) setelah dipilih ke Dewan Undangan bukan sebaggai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.
(2) Seseorang ahli Dewan Undangan tidak terhenti menjadi ahli Dewan Undangan itu menurut perkara ini hanya disebabkan oleh –
- (a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran politiknya;
- (b) pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Speaker; atau
- (c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.
(3) Bilamana Speaker menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Undangan mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Undangan di bawah Perkara ini, Speaker hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihanraya sewajarnya dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.