UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH
Bahagian Yang Kedua kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan
1. Adapun Perkara-Perkara yang terkandung di dalam ini (yang kemudian daripada ini digelar "Bahagian ini") hendaklah menjadi Bahagian Yang Kedua kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, yang akan digelarkan di dalam bahasa Inggeris "the Laws of the Constitution of Kelantan, Second Part"; dan hendaklah dibaca bersekali dengan Perlembagaan Persekutuan dan Bahagian Yang Pertama kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan hendaklah berjalan kuat kuasanya dengan serta-merta.
2. (Dipotong oleh G.N. No. 182/1959).
Kuasa-kuasa pada meminda
3. (1) Syarat-syarat yang berikut daripada Perkara ini hendaklah berjalan kuat kuasa berkenaan dengan pindaan Bahagian ini daripada Undang-Undang Perlembagaan Negeri.
(2) Syarat-syarat mengenai –
- (a) naik Takhta Kerajaan dan pangkat kebesaran adat istiadat Melayu;
- (b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;
- (c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;
- (d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan