Page:Pelita Brunei - 15 Februari 1956.pdf/4

Laman ini belum dibaca pruf

4

  Jadinya, tidaklah wajib sasabuah Party Politik membuat ranchangan bagi mempertahankan kedudokan Sultan2 Brunei dengan segala Keturunan2 Sultan Brunei, kerana Negeri Brunei yang berdaulat ini akan TETAP dikuasai oleh Yang Dipertuan Negeri ini sendiri selagi bersinar peridaran chekerwala mata hari dan bulan.

  So'al menentang segala bentok rupa penjajahan dalam lapangan ekonomi, sosial dan seterusnya di Brunei sebagaimana yang terkandong dalam Dasar Party Ra'ayat itu, dapat juga kita tegaskan bahawa mata-dunia sudah pun ketahui bahawa Kerajaan Brunei telah mengeluarkan berjuta2 ringgit bagi membantu anak2 Negeri ini dan masharakat saumomnya dalam berbagai lapangan saperti memberi pelajaran perchuma, menghantarkan penuntut2 sekolah dan Pegawai2 Kerajaan bagi mempelajari ilmu yang tinggi diluar negeri saperti di England dan di Australia dalam hal ehwal Pertadbiran Awam dan Kemasharakatan, Ilmu Undang2, Pertanian, Police, Jerutera dan sebagainya.

  Sebagai membuktikan tentang kata2 kita tersebut, dapatlah kita terangkan bahawa pada tahun 1953, Majlis Mashuarat Negeri Brunei dalam persidangannya, telah pun mengeluarkan perbelanjaan sebanyak $ 100,000,000 untok perkembangan Negeri ini selama 5 tahun, iaitu antara tahun 1953 dan 1958.

  Ranchangan Perkembangan Negeri Brunei itu adalah mengenai hal ehwal Pelajaran, Pertulongan2 Awam, Pertanian, Perubatan, Perhubongan Jalan Raya, Membesarkan Pelabohan, Mengadakan Lapangan Terbang, Membangunkan Rumah Sakit yang besar di Kuala Belait, memberi latehan kapada Jerurawat, Memperelokan bentok bandaran dan sebagainya.

  Seterusnya dapatlah kita tegaskan juga bahawa dengan perjanjian2 yang diselenggarakan dengan pehak Kerajaan Borneo Utara, maka beberapa orang Guru2 Perempuan dari Brunei sudah pun dihantarkan oleh Kerajaan Brunei untok mempelajari Ilmu Perguruan di Maktab Perguruan Kent, Tuaran, Jesselton.

  Selain daripada itu, pehak Kerajaan Brunei juga tidak lupa memberi pertulongan kapada Pegawai2 Kerajaan yang bersara dari jawatan masing2 dengan mengadakan Pension.

  Sekarang kita kembalikan pula kapada so'al Politik. Sebagaimana yang diketahui oleh masharakat, mendirikan sasabuah Party Politik adalah memang elok dan juga perkara itu memanglah kewajipan ra'ayat jelata bagi membantu dan memperbaiki kesenangan dan keselamatan negeri yang sesuai dengan Dasar Perlembagaan sasabuah negeri itu.

  Sebaleknya, memandang kapada keadaan Negeri Brunei yang pada masa sekarang mempunyai saorang Sultan yang berdaulat dan yang sentiasa berusaha bagi memajukan negeri dan memberi kema'moran kapada seluroh ra'ayat di Brunei, dan seterusnya memandang kapada keadaan ra'ayat Brunei yang hidup dalam keadaan aman dan damai, maka tidaklah shak lagi kita tegaskan bahawa nana2 Party Politik di Brunei ini saharusnyalah mensesuaikan Dasar Perjuangan Partynya dengan keadaan Negeri Brunei dan untok berkhidmat kapada anak negeri, bukanlah untok kepentingan sasuatu puak yang luar dari Negeri ini.

---------------------