Page:Pelita Brunei - 1 Mac 1956.pdf/7

Laman ini telah dibaca pruf

6

UNDANG2 BAHARU MAJLIS UGAMA DAN 'ADAT ISTIADAT BRUNEI

Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei, Sir Omar Ali Saifuddin, dalam Majlis Mashuarat Negeri Brunei yang telah bersidang pada bulan February yang lalu, telah memperkenankan membuat sabuah Undang2 yang baharu berkenaan dengan Majlis Ugama dan Undang2 'Adat Istiadat Melayu, Mahkamah Kadzi, Perlembagaan dan pertubohan pehak2 yang berkuasa Ugama dan peraturan hal ehwal ugama.

Undang2 Ugama yang baharu itu telah berjalan kuat kuasanya mulai 1 February, 1956 dan telah dibuat sebagai menggantikan 3 buah Undang2 Ugama Negeri Brunei yang telah dibatalkan. Undang2 yang baharu itu adalah didasarkan kapada sabuah Undang2 Ugama yang sedang berjalan kuat kuasanya dalam Negeri Kelantan, Persekutuan Tanah Melayu, yang mana telah diubahkan supaya sesuai dengan keadaan dalam Negeri Brunei.

Menurut kapada Undang2 tersebut, sabuah Lembaga yang dinamakan "MAJLIS UGAMA DAN ADAT ISTIADAT NEGERI" hendaklah ditubohkan dengan saberapa segera untok memberi nasehat kapada Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei sebagai Ketua dan Kepala Ugama Islam dalam Negeri ini mengenai kesemua perkara yang bersangkut paut dengan Hukum2 Islam di seluroh Negeri Brunei.

Majlis tersebut juga adalah berkuasa menjadi Pengawas harta pesaka sasaorang yang meninggal dunia atau sebagai Nadzir bagi mana2 amanah dan juga diberi kuasa bagi memileki dan mentadbirkan kesemua harta pesaka yang dahulunya dimilek atas nama Masjid Pekan Brunei yang ditadbirkan oleh Pehin Laksemana Haji Taha.

Undang2 yang baharu itu chuma dikenakan keatas orang2 Islam sahaja yang melanggar Hukum2 Ugama Islam. Mereka bolehlah dida'wa dan dihukumkan oleh Mahkamah2 Kadzi yang akan ditubohkan diseluroh Negeri Brunei.

Meskipun begitu, orang2 yang bukan Islam yang didapati menggalakkan orang Islam melanggar Hukum2 Ugamanya, mereka itu bolehlah pula dida'wa oleh Mahkamah Kehakiman.

Kesalahan Ta' Sembahyang Juma'at

Sasaorang lelaki yang berumor 15 tahun atau keatas yang tidak hadzir sembahyang Juma'at dimana2 Masjid dalam Negeri Brunei akan beroleh kesalahan dan dihukumkan denda sebanyak $ 10 pada kali yang pertama ia dihadapkan di Mahkamah. Denda sebanyak $ 20 akan dikenakan kerana melakukan kesalahan tersebut pada kali yang kedua dan denda sebanyak $ 50 pada kali yang ketiga atau berulang2.

Hukum2 denda tidak akan dijatohkan kapada sasaorang lelaki sekiranya kehadzirannya ka Masjid untok menunaikan fardzu sembahyang Juma'at tergendala oleh sebab hujan, atau tempat tinggalnya lebeh daripada 3 batu jauh ikut jalan yang sahabis dekat dengan sasabuah Masjid atau orang itu telah dima'afkan daripada hadzir sembahyang oleh mana2 Pegawai Masjid bagi Mukim yang ia lazimnya tinggal dengan sebab kesakitan atau ia tidak berada ditempat tinggalnya itu.

Fasal minum minuman yang memabokkan

Barang siapa dikalangan orang2 Islam, yang didapati didalam mana2 kedai atau tempat orang2 ramai membeli atau menjual atau meminum apa2 minuman yang memabokkan atau minuman yang mengandongi apa2 benda yang diharamkan oleh Ugama Islam akan bersalah: Hukoman denda sebanyak $50 akan dikenakan atas kesalahan kali yang pertama; denda sebanyak $ 75 pada kali yang kedua atau denda sebanyak $ 100 pada kali yang ketiga atau berulang2.

Makan Siang Hari …