Page:Ucapan-Dasar-Presiden-PAS-Muktamar-Ke-69-2023-BM.pdf/31

Laman ini belum dibaca pruf

30 ADIL, PRIHATIN DAN BERKEBAJIKAN

PAS akan meneruskan agenda penyatuan ummah untuk menyatukan umat Islam dan bersama orang bukan Islam yang tidak ekstrem, demi kestabilan dan keharmonian negara. PAS berusaha menyantuni pelbagai kaum dan tidak pernah mengesampingkan slogan ISLAM UNTUK SEMUA (Islam For All).

PAS bersama Perikatan Nasional mesti berpegang teguh dengan imej bersih dan mesti dilihat bersih, wibawa dan inklusif. PN yang menjadi pilihan rakyat mesti dilihat berbeza dengan PH-BN yang cakap tidak serupa bikin.

Pada masa sama, kerjasama PAS dalam gabungan Perikatan Nasional akan terus diperkasakan. Tumpuan perlu diberikan pada aspek pengukuhan organisasi dan keserasian jentera di peringkat negeri dan kawasan, khususnya rakan-rakan dalam PN perlu menumpukan kepada penambahan ahli yang ramai dan cawangan yang banyak. Tanggungjawab menarik sokongan undi bukan Islam dan memberikan penerangan kepada mereka tentang jaminan keadilan dan keharmonian dalam pemerintahan kerajaan PN juga perlu dilaksanakan khususnya oleh rakan-rakan daripada Gerakan.

Di samping itu, program tarbiah, kerohanian, kepimpinan dan kemasyarakatan secara bersama dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi ikatan kerjasama yang sedia terjalin ini. Semoga abadi, insya-Allah.