Page:Ucapan-Dasar-Presiden-PAS-Muktamar-Ke-69-2023-BM.pdf/32

Laman ini belum dibaca pruf

UCAPAN DASAR PRESIDEN PAS 31

G. AKTIFKAN JENTERA

Semua sayap parti hendaklah terus berperanan di tempat masing-masing mengikut pembahagian Dewan Ulamak, Muslimat, Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung PAS, bahkan Sidang Al-Sabiqun yang tidak bersara daripada perjuangan.

Peranan pentadbiran PAS di peringkat pusat, negeri sehingga cawangan perlu dimuhasabah setiap masa. Apabila menghadapi plilihan raya, dapat dirasakan betapa perlunya semua peringkat berperanan mentadbir urusan dengan baik.

Kita merasakan betapa cawangan yang lemah tidak mampu menggerakkan jentera pilihan raya dengan berkesan walaupun bantuan datang bertubi-tubi. Begitu juga apabila berlaku bencana yang memerlukan bantuan kebajikan. Maka, usaha menambah keahlian dan cawangan baharu perlu digerakkan secara agresif dan tersusun bagi melebarkan pengaruh PAS dalam kalangan masyarakat.

Peranan sayap parti, jabatan dan semua lajnah perlu digerakkan secara berterusan, bukan bermusim, sehingga dapat dikerahkan bila-bila masa sahaja. Syabas kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah yang menjadi negeri terawal melancarkan Tabung Dana PRU-16 pada Konvensyen PAS Negeri, yang saya hadiri baru-baru ini.