Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Jadual-Jadual
JADUAL PERTAMA
suntingSaya..................................................................beralamat di ............................dengan ini mengaku atas sumpah bahawa saya dengan sesungguhnya dan sepenuhnya menolak dan bersumpah meluputkan segala kesetiaan saya kepada mana-mana negeri atau Negara di luar Persekutuan, dan saya bersumpah bahawa saya akan jujur dan menumpahkan segala taat setia saya yang sebenar kepada Seri paduka beginda Yang di-Pertuan Agong dan akan menjadi seorang warganegara Persekutuan yang sebenar, setia dan jujur.
JADUAL KEDUA
sunting1. (1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini dan kepada apa-apa jua yang dilakukan di bawahnya sebelum Hari Malaysia, orang yang berikut yang lahir sebelum Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
- (a) tiap-tiap orang yang sebaik sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, sama ada melalui kuat kuasa undang-undang atau selainya;
- (b) tiap-tiap orang yang lahir di dalam Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka tetapi sebelum bulan Oktober 1962;
- (c) tiap-tiap orang yang lahir di dalam Persekutuan selepas bulan September 1962, dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan, atau tiap-tiap orang yang pada masa di lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara lain;
- (d) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan sama ada telah lahir di Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan di bawah Persekutuan atau Kerajaan sesuatu Negeri;
- (e) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara, jika dalam masa satu tahun selepas kelahiran itu seorang warganegara, jika dalam masa satu tahun selepas kelahiran itu berlaku atau dalam masa apa-apa tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang telah dibenarkan atau dibenarkan oleh Persektuan dalam mana-mana hal tertentu atau, jika kelahiran itu berlaku di Singapura, Sarawak, Brunei atau Borneo Utara, didaftarkan dengan Kerajaan Persekutuan.
(2) Seseorang bukanlah warganegara menurut kuasa peranggan (b) atau (c) subseksyen (1) jika, pada masa dia lahir, bapanya, yang bukan seorang warganegara, mempunyai apa-apa kekebalan daripada guaman dan proses undang-undang sebagaimana yang diberikan kepada utusan sesuatu kuasa bedaulat yang diwatikahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
2. Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini, seseorang yang biasanya bermastautin di Negeri Sabah atau Sarawak atau di Brunei pada Hari Malaysia ialah seorang warganegara melalui kuat kuasa undang-undang jika sebaik sebelum hari itu dia seorang warganegara United Kingdom dan Tanah-Tanah Jajahan, dan sama ada—
- (a) telah lahir di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak; atau
- (b) telah menjadi seorang warganegara sedemikian melalui pendaftaran di wilayah-wilayah iaitu atau melalui atau berikutan dengan penaturalisasian di wilayah-wilayah itu.
1. Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini, orang yang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
- (a) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan; dan
- (b) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan sama ada telah lahir di Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan sesuatu Negeri; dan
- (c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan dalam masa satu tahun selepas kelahiran itu berlaku atau dalam masa apa-apa tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutaun dalam mana-mana hal tertentu, kelahiran itu didaftarkan di suatu konsulat Persekutuan atau, jika kelahiran itu berlaku di Brunei atau du sesuatu wilayah yang ditetapkan bagi maksud ini melalui perintah Yang di-Pertuan Agong, didaftarkan dengan Kerajaan Persekutuan; dan
- (d) tiap-tiap orang yang lahir di Singapura dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan orang itu pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara selain menurut kuasa perenggan ini; dan
- (e) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini.
2. (1) Seseorang bukanlah warganegara menurut kuasa perenggan (a), (b) atau (e) seksyen 1 jika, pada masa dia lahir, bapanya, yang bukan seorang wargenegara, mempunyai apa-apa kekebalan daripada guaman dan proses undang-undang sebagaimana yang diberikan kepada utusan sesuatu kuasa berdaulat yang diwatikahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, atau jika bapanya ketika itu seorang orang asing musuh dan kelahiran itu berlaku di suatu tempat di bawah pendudukan musuh.
(2) Dalam seksyen 1, sebutan dalam perenggan (b) mengenai seseorang yang lahir di Persekutuan termasuklah kelahiran sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak.
(3) Bagi maksud perenggan (e) seksyen 1, seseorang akan dikra sebagai mempunyai, pada masa dia lahir, apa-apa kewargenegaraan yang diperolehnya dalam masa satu tahun kemudiannya menurut kuasa mana-mana peruntukan yang bersamaan dengan perenggan (c) seksyen itu atau selainnya.
1. Fungsi Kerajaan Persekutuan di bawah Bahagian III Perlembagaan ini hendaklah dijalankan oleh mana-mana Menteri Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diarahkan dari semasa ke semasa oleh Yang di-Pertuan Agong, dan sebutan dalam Jadual ini mengenai Menteri hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.
2. Sesuatu keputusan Kerajaan Persekutuan di bawah Bahagian III Perlembagaan ini tidaklah tertakluk kepada rayuan atau kajian semula di dalam mana-mana mahkamah.
3. (Dimansuhkan).
4. (1) Menteri boleh mewakilkan kepada mana-mana pegawai Kerajaan Persekutuan atau, dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri mana-mana Negeri, kepada mana-mana pegawai Kerajaan Negeri itu, mana-mana fungsinya di bawah Bahagian III Perlembagaan ini atau Jadual ini yang berhubung dengan kewarganegaraan melalui pendaftaran dan penyimpanan daftar-daftar, dan, berhubung dengan perintah-perintah di bawah perenggan (c) Fasal (1) Perkara 25 atau di bawah Perkara 26, mana-mana fungsinya di bawah Perkara 27 sebelum memutuskan sama ada hendak membuat suatu perintah yang sedemikian: tetapi mana-mana orang yang terkilan dangan keputusan seseorang yang kepadanya fungsi Menteri itu diwakilkan sedemikian boleh merayu kepada Menteri.
(2) Menteri boleh juga, dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri yang berkenaan, mewakilkan kepada suatu pihak berkuasa Negeri Sabah atau Sarawak (tertakluk atau tidak tertakluk kepada syarat-syarat yang membuat peruntukan bagi sesuatu rayuan daripada pihak berkuasa itu kepada Menteri) mana-mana fungsi Menteri di bawah Fasal (6) Perkara 28A yang tidak dikehendaki diwakilkan menurut Fasal (7) Perkara itu.
(3) Subseksyen (1) hendaklah terpakai bagi pendaftaran di bawah Fasal (2) Perkara 19A sebagaimana subseksyen itu terpakai bagi kewarganegaraan melalui pendaftaran, dan bagi pembatalan di bawah Fasal (4) Perkara 19A sesuatu pendaftaran di bawah Perkara itu sebagaimana subseksyen itu terpakai bagi sesuatu perintah di bawah Perkara 26.
5. (Dimansuhkan).
6. Tertakluk kepada undang-undang persekutuan, Menteri boleh membuat kaedah-kaedah dan menetapkan borang-borang bagi maksud menjalankan fungsinya di bawah Bahagian III Perlembagaan ini.
7. Apa-apa kuasa Kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan, bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini, tempoh bagi mendaftarkan sesuatu kelahiran yang berlaku di luar Persekutuan boleh dijalankan sama ada sebelum atau selepas pendaftaran itu dibuat.
8. (Dimansuhkan).
9. Apa-apa notis yang hendaklah diberikan oleh Menteri kepada mana-mana orang di bawah Perkara 27 boleh dihantar kepada oarang itu di alamatnya yang akhir diketahui, atau, dalam hal seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun (yang bukan seorang perempuan bersuami), kepada ibu atau bapanya atau penjaganya di alamat ibu atau bapa atau penjaga itu yang akhir diketahui; dan jika sesuatu alamat yang ke situ notis boleh dihantar kepada mana-mana orang di bawah seksyen ini tidak diketahui dan tidak dapat ditentukan selepas siasatan yang munasabah dibuat, maka notis itu boleh diberikan dengan menyiarkannya dalam Warta.
10. (1) Menjadi kewajipan Menteri untuk menyusun dan menyenggarakan—
- (a) suatu daftar warganegara melalui pendaftaran;
- (b) suatu daftar warganegara melalui penaturalisasian;
- (c) suatu daftar orang yang kepada mereka perakuan telah dikeluarkan di bawah Fasal (1) Perkara 30;
- (d) suatu daftar orang yang telah melepaskan atau telah dilucutkan kewarganegaraan di bawah mana-mana peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini;
- (e) (Dimansuhkan);
- (f) suatu indeks mengikut abjad bagi semua orang yang disebut dalam perenggan (a) hingga (d).
(2) sebutan dalam seksyen ini mengenai warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian hendaklah ditafsirkan mengikut Perkara 28 seolah-olah seksyen ini telah dimasukkan antara peruntukan yang baginya Perkara itu terpakai.
11. Jika Menteri mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa sesuatu kekhilafan terdapat dalam mana-mana daftar yang disusun di bawah seksyen 10, maka dia hendaklah, selepas memberikan notis kepada orang yang berkenaan itu dan selepas menimbangkan apa-apa representasi daripadanya yang dipilih olehnya untuk dibuat, membuat apa-apa perubahan pada daftar itu sebagaimana yang didapati perlu oleh Menteri bagi membetulkan kekhilafan itu.
12. Tertakluk kepada seksyen 11, daftar tersebut hendaklah menjadi keterangan muktamad mengenai perkara yang terkandung dalamnya.
13-15. (Dimansuhkan).
16. (1) Menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama dua tahun atau denda sebanyak seribu ringgit atau kedua-duanya jika mana-mana orang—
- (a) dengan disedarinya membuat apa-apa pernyataan palsu dengan tujuan untuk mendorong Menteri membenarkan atau menolak mana-mana permohonan di bawah Bahagian III Perlembagaan ini, termasuk apa-apa permohonan untuk menentukan sama ada pemohon itu seorang warganegara melalui kuat kuasa undang-undang; atau
- (b) memalsukan atau tanpa kuasa yang sah mengubah mana-mana perakuan, sama ada yang dikeluarkan atau diberikan di Persekutuan atau di mana-mana tempat lain, atau tanpa kuasa yang sah menggunakan atau ada dalam miliknya apa-apa perakuan yang telah dipalsukan atau diubah sedemikian; atau
- (c) tidak mematuhi apa-apa kehendak yang dikenakan ke atasnya oleh mana-mana kaedah yang dibuat di bawah seksyen 6 mengenai penyerahan perakuan; atau
- (d) menyamar atau dengan cara palsu mengemukakan dirinya sebagai atau bukan sebagai seorang yang kepadanya suatu perakuan, sama ada yang dikeluarkan di Persekutuan atau mana-mana tempat lain, telah dikeluarkan atau diberikan dengan sewajarnya.
(2) Dalam seksyen ini, "perakuan" ertinya apa-apa perakuan daripada perihalan yang berikut yang dikeluarkan di bawah Bahagian III Perlembagaan ini, iaitu:
- (a) apa-apa perakuan pendaftaran atau perakuan naturalisasi sebagai seorang warganegara; dan
- (b) apa-apa perakuan pendaftaran yang dibuat di suatu konsulat Persekutuan atau di mana-mana tempat lain di luar Persekutuan; dan
- (c) apa-apa perakuan seperti yang disebut dalam Perkara 30.
17. Berhubung dengan seseorang anak tidak sah taraf, sebutan mengenai bapa orang itu atau mengenai ibu atau bapanya, atau mengenai seorang daripada ibu bapanya adalah, bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai ibunya, dan dengan yang demikian itu seksyen 19 Jadual ini tidaklah terpakai bagi orang itu.
18. Berhubung dengan seseorang anak angkat yang pengangkatannya telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan, termasuk mana-mana undang-undang itu yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, Fasal (3) Perkara 15 hendaklah berkuat kuasa seolah-olah sebutan mengenai bapanya telah digantikan dengan sebutan mengenai pengangkat itu, dan sebutan dalam Fasal itu dan seksyen 9 Bahagian ini dalam Jadual ini mengenai ibu atau bapanya hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.
19. Apa-apa sebutan dalam Bahagian III Perlembagaan ini mengenai taraf atau perihalan bapa seseorang pada masa kelahiran orang itu hendaklah, berhubung dengan seseorang yang lahir selepas kematian bapanya, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai taraf atau perihalan bapa itu pada masa kematian bapa itu; dan jika kematian itu berlaku sebelum Hari Merdeka dan kelahiran itu berlaku pada atau selepas Hari Merdeka, maka taraf atau perihalan yang akan terpakai bagi bapa itu sekiranya dia mati selepas Hari Merdeka hendaklah disifatkan sebagai taraf atau perihalan yang terpakai baginya pada masa kematiannya. Seksyen ini hendaklah berkuat kuasa berhubung dengan Hari Malaysia sebagaimana seksyen ini berkuat kuasa berhubung dengan Hari Merdeka.
19A. Bagi maksud Bahagian I atau II Jadual ini, seseorang yang lahir di atas sesuatu kapal atau pesawat udara berdaftar hendaklah disifatkan telah lahir di tempat di mana kapal atau pesawat udara itu telah didaftarkan, dan seseorang yang lahir di atas sesuatu kapal atau pesawat udara tidak berdaftar kepunyaan Kerajaan mana-mana negara hendaklah disifatkan telah lahir di dalam negara itu.
19B. Bagi maksud Bahagian I atau II Jadual ini, mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat itu; dan jika kanak-kanak itu dikira menurut kuasa seksyen ini telah lahir sedemikian, maka tarikh dia dijumpai hendaklah dikira sebagai tarikh lahirnya. 19C. Bagi maksud Bahagian I atau II Jadual ini seseorang hendaklah dikira telah bermastautin secara tetap pada bila-bila masa di Persekutuan jika, tetapi hanya jika, dia ketika itu bermastautin di Persekutuan dan sama ada—
- (a) dia ketika itu mendapat kebenaran yang diberikan tanpa had masa di bawah mana-mana undang-undang persekutuan untuk bermastautin di Persekutuan; atau
- (b) diperakui oleh Kerajaan Persekutuan bahawa dia hendaklah dikira bagi maksud itu sebagai seorang pemastautin tetap di Persekutuan.
20. (1) Pada menghitungan apa-apa kemastautinan di Persekutuan bagi maksud Bahagaian III Perlembagaan ini—
- (a) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan selama kurang daripada enam bulan;
- (b) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan bagi maksud apa-apa jenis pendidikan, di mana-mana negara dan selama apa-apa tempoh yang diluluskan dari semasa ke semasa sama ada secara am atau secara khas oleh Menteri;
- (c) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan kerana sebab-sebab kesihatan;
- (d) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan kerana bertugas dalam perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan mana-mana Negeri, jika tempoh itu selaras dengan keberterusan yang diperlukan bagi kemastautinan itu; dan
- (e) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan kerana apa-apa sebab lain yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh Menteri,
Hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(2) Pada menghitung apa-apa kemastautinan di Persekutuan bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini—
- (a) tempoh yang dalamnya seseorang telah tidak bermastautin dengan sah di Persekutuan;
- (b) tempoh seseorang berada sebagai penghuni di dalam mana-mana penjara atau sebagai seseorang yang ditahan dalam jagaan yang sah di mana-mana tempat lain, selain hospital mental, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis Persekutuan; dan
- (c) tempoh yang dalamnya seseorang dibenarkan tinggal sementara di Persekutuan di bawah kuasa apa-apa pas yang dikeluarkan atau perintah pengecualian yang dibuat di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis Persekutuan yang berhubungan dengan imigresen,
tidak boleh, kecuali dalam hal apa-apa tempoh yang disebut dalam perenggan (c), dengan persetujuan Menteri, dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(3) Bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini, seseorang hendaklah disifatkan bermastautin di Persekutuan pada sesuatu hari tertentu jika dia telah bermastautin di Persekutuan sebelum hari itu dan hari itu termasuk dalam apa-apa tempoh tidak ada di dalam Persekutuan yang disebut dalam subseksyen (1).
(4) Seksyen ini hendaklah terpakai berhubungan dengan mana-mana bahagian Persekutuan dan wilayah-wilayah yang termasuk di dalam bahagian itu sebelum Hari Malaysia sebagaimana seksyen ini terpakai berhubungan dengan Persekutuan pada keseluruhannya, dan sebutan dalam subseskyen (1)(d) mengenai perkhidmatan sesuatu Negeri hendaklah termasuk, berhubung dengan wilayah-wilayah itu, perkhidmatan mana-mana Kerajaan yang mempunyai bidang kuasa di wilayah-wilayah itu sebelum Hari Malaysia; dan berhubungan dengan Hari Malaysia atau mana-mana hari yang kemudiannya subseksyen (3) hendaklah terpakai seolah-olah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak telah pada setiap masa menjadi sebahagian daripada Persekutuan.
21. Bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini, "konsulat Persekutuan" termasuklah mana-mana pejabat yang menjalankan fungsi konsul bagi pihak Persekutuan.
22. Kecuali setakat yang konteksnya menghendaki makna yang lain, sebutan dalam Jadual ini mengenai Bahagian III Perlembagaan ini hendaklah dibaca sebagai termasuk sebutan mengenai Jadual ini.
JADUAL KETIGA
sunting1. (1) Seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika—
- (a) Raja itu belum dewasa: atau
- (b) Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih; atau
- (c) Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.
(2) Sesuatu ketetapan di bawah seksyen ini tidak boleh diluluskan melainkan jika sekurangkurangnya lima orang anggota Majlis itu telah mengundi menyokongnya.
2. Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang Negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan yang diperihalkan dalam seksyen 4 dan, jika Raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada Raja yang Negerinya ialah yang berikut selepas Negeri yang pertama dalam senarai itu, dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan itu.
3. Apabila Raja yang telah ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut seksyen 2 menerima jawatan itu, Majlis Raja-Raja hendaklah mengisytiharkan Raja itu sebagai dipilih dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Majlis Parlimen.
4. (1) Senarai pemilihan itu—
- (a) bagi maksud pemilihan pertama hendaklah suatu senarai yang memasukkan Negeri semua Raja mengikut susunan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mengiktiraf keutamaan antara mereka sendiri ketika itu;
- (b) bagi maksud pemilihan yang kemudiannya hendaklah senarai sebagaimana yang diubah mengikut subseksyen (2) sehingga senarai itu disusun semula di bawah subseksyen (3), dan kemudiannya senarai pemilihan itu hendaklah senarai yang disusun semula sedemikian, tetapi diubah, bagi maksud pemilihan seterusnya, megikut subseksyen (4).
(2) Senarai yang berkuat kuasa pada pemilihan pertama hendaklah diubah seperti yang berikut:
- (a) selepas setiap pemilihan, mana-mana Negeri dalam senarai itu yang mendahului Negeri yang Rajanya telah dipilih hendaklah dipindahkan (mengikut susunan Negeri-Negeri yang ada dalam senarai ketika itu) ke hujung senarai tu, dan Negeri yang Rajanya telah dipilih itu hendaklah ditinggalkan;
- (b) apabila ada sesuatu perubahan Raja sesuatu Negeri yang ada dalam senarai ketika itu, Negeri itu hendaklah dipindahkan ke hujung senarai itu (dan jika pada hari yang sama ada perubahan Raja bagi lebih daripada satu negeri yang sedemikian, Negeri-Negeri itu hendaklah dipindahkan sedemikian mengikut susunan yang ada dalam senarai ketika itu).
(3) Apabila tiada Negeri lagi berada dalam senarai itu sebagaimana yang diubah mengikut subseksyen (2), atau jika pada sesuatu pemilihan tiada Raja sesuatu Negeri dalam senarai itu layak dipilih atau menerima jawatan, senarai pemilihan itu hendaklah disusun semula supaya dimasukkan sekali lagi Negeri-Negeri bagi semua Raja, tetapi mengikut susunan yang berikut, iaitu, Negeri-Negeri yang Rajanya telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut susunan Raja-Rajanya telah memegang jawatan itu, dan yang lain-lain (jika ada) selepas Negeri-Negeri itu mengikut susunannya dalam senarai itu sebelum senarai itu disusun semula.
(4) Selepas setiap pemilihan yang diadakan mengikut senarai yang disusun semula itu, senarai itu hendaklah diubah seperti yang berikut:
- (a) mana-mana Negeri dalam senarai itu yang mendahului Negeri yang Rajanya telah dipilih, hendaklah dipindahkan (mengikut susunan Negeri-Negeri itu dalam senarai ketika itu) ke hujung senarai itu; dan
- (b) Negeri yang rajanya telah dipilih hendaklah kemudiannya diletakkan kemudian sekali.
5. Seseorang Raja layak dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong melainkan jika—
- (a) Raja itu tidak layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong; atau
- (b) Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat untuk dipilih.
6. Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih seorang Timbalan Yang di-Pertuan Agong semasa jawatan Yang di-Pertuan agong kosong.
7. Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, iaitu Raja yang pertama sekali berhak ditawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong apabila mangkat Yang di-Pertuan Agong yang akhir sekali dipilih dan, jika Raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada Raja yang kemudian selepasnya dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan itu.
8. Sesuatu ketetapan Majlis Raja-Raja untuk memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan tidak boleh diluluskan melainkan jika sekurang-kurangnya lima orang anggota Majlis itu telah mengundi menyokongnya.
9. (Dimansuhkan).
10. Dalam seksyen 4(3), ungkapan "Raja" termasuklah seseorang bekas Raja.
JADUAL KEEMPAT
sunting[Perkara 37]
Kami .......................................................... ibni .............................................. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.
Kami ..................................................... ibni ....................................... yang telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
dan dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tanggungan Kami yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh undang-undang dan Perlembagaan Negeri Malaysia.
We .......................................................... ibni ................................................... Yang di-Pertuan Agong of Malaysia do hereby swear:
and by virtue of that oath do solemnly and truly declare that We shall justly and faithfully perform (carry out) our duties in the administration of Malaysia in accordance with its laws and Constitution which have been promulgated or which may be promulgated from time to time in the future. Further We do solemnly and truly declare that We shall at all time protect the Religion of Islam and uphold the rules of law and order in the Country.
We ..................................................... ibni ...................................................... being elected to be the Timbalan Yang di-Pertuan Agong of Malaysia do hereby swear:
and by virtue of that oath do solemly and truly declare that We shall faithfully perform (carry out) our duties as Timbalan Yang di-Pertuan Agong as laid down and may from time to time be laid down by the laws and the Constitution of Malaysia.
JADUAL KELIMA
sunting1. Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Jadual ini, Majlis Raja-Raja hendaklah terdiri daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja.
2. Tempat Duli Yang Maha Mulia Raja mana-mana Negeri atau tempat Yang di-Pertua Negeri mana-mana Negeri sebagai anggota Majlis Raja-Raja boleh dalam apa-apa hal yang dalamnya Perlembagaan Negeri itu memperuntukkan sedemikian diambil oleh mana-mana orang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan itu.
3. Majlis Raja-Raja hendaklah mempunyai suatu Mohor Besar Raja-Raja, yang hendaklah disimpan dalam jagaan seseorang yang dilantik oleh Majlis itu.
4. Orang yang dilantik di bawah seksyen 3 hendaklah dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, hendaklah bertindak sebagai setiausaha Majlis Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatannya selama diperkenankan oleh Majlis itu.
5. Majoriti anggota Majlis Raja-Raja hendaklah membentuk kuorum dan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, Majlis itu boleh menentukan tatacaranya sendiri.
6. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak kurang daripda tiga orang anggota Majlis itu dan, dengan tidak dikehendaki berbuat demikian, tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan apabila berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau dalam jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
7. Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja tidaklah boleh menjadi anggota Majlis Raja-raja bagi maksud apa-apa prosiding yang berhubungan dengan pemilihan atau pemecatan Yang di-Pertuan Agong atau pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau yang berhubungan semata-mata dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.
8. Dalam apa-apa hal jika Majlis Raja-Raja tidak sebulat suara, Majlis Raja-Raja hendaklah mengambil keputusannya mengikut majoriti anggota yang mengundi, tertakluk bagaimanapun kepada peruntukan Jadual Ketiga.
9. Apa-apa persetujuan, perlantikan atau nasihat Majlis Raja-Raja yang dikehendaki di bawah Perlembagaan ini hendaklah ditandai dengan Mohor Besar Raja-Raja; dan jika, dalam hal apa-apa perlantikan yang dicadangkan, majoriti anggota Majlis itu telah menunjukkan, melalui surat yang ditujukan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, bahawa mereka menyokong perlantikan itu, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah menandai sedemikian nasihat Majlis itu dengan tidak memanggilnya bermesyuarat.
JADUAL KEENAM
sunting1. Sumpah Jawatan dan Setia
"Saya,............................................................, setelah dipilih (atau dilantik) memegang jawatan ............................................................... dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."
(CATATAN—Seseorang hakim Mahkamah Peresekutuan, selain Ketua Hakim Negara, seorang hakim Mahkamah Rayuan atau seseorang hakim Mahkamah Tinggi atau seseorang pesuruhjaya kehakiman hendaklah menggunakan perkataan "kewajipan-kewajipan kehakiman saya dalam jawatan itu" sebagai ganti perkataan "kewajipan-kewajipan jawatan itu".)
2. Sumpah sebagai Ahli Parlimen dan Sumpah Setia
"Saya,........................................................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segalaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."
3. Sumpah Simpan Rahsia
"Saya,..............................................................................., dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada mana-mana orang sama ada secara lansung atau secara tidak lansung ap-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan saya ketahui sebagai seorang ................................................................... kecuali sebagaimana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sewajarnya kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagaimana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong."
JADUAL KETUJUH
sunting1. (1) (Dimansuhkan).
(2) Setiap kali berlaku kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara yang dipilh oleh Negeri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memberikan notis kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu bahawa ahli Dewan Negara dikehendaki dipilih, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah menghendaki Dewan Undangan memilih seorang ahli Dewan Negara dengan seberapa segera yang boleh.
2. (1) Nama calon untuk dipilih hendaklah dicadangkan dan disokong oleh ahli-ahli Dewan Undangan dan ahli yang mencadangkan atau ahli yang menyokong itu hendaklah mengemukakan suatu pernyataan secara bertulis, ditandatangani oleh orang yang dinamakan itu bahawa dia bersetuju untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara jika dipilih.
(2) Apabila semua penamaan telah diterima, pegawai pengerusi hendaklah mengumumkan nama orang yang dinamakan itu mengikut susunan abjad dan kemudiannya hendaklah mengemukakan nama mereka mengikut susunan itu untuk diundi.
(3) Setiap ahli yang hadir berhak mengundi sebanyak bilangan calon yang ada mengikut bilangan kekosongan yang akan diisi, dan nama ahli yang mengundi setiap calon hendaklah direkodkan; dan jika mana-mana ahli membuang undi sebagai tambahan kepada undi yang dibenarkan oleh subseksyen ini, maka undi itu adalah tidak sah.
(4) Pegawai pengerusi hendaklah mengisytiharkan sebagai terpilih calon atau calon-calon yang mendapat bilangan undi yang terbanyak, tetapi jika dua orang calon atau lebih mendapat bilangan undi yang sama banyak dan bilangan calon itu lebih besar daripada bilangan kekosongan yang akan diisi, maka pemilihan calon itu hendaklah ditentukan dengan cara cabut undi.
3. Walau apa pun apa-apa jua dalam seksyen 2, jika suatu kekosongan yang disebabkan oleh habis tempoh jawatan ahli Dewan Negara akan diisi pada mesyuarat yang sama dengan sesuatu kekosongan yang berlaku dengan apa-apa cara lain, maka pemilihan hendaklah pertama-tamanya diadakan untuk mengisi kekosongan yang disebabkan oleh habis tempoh jawatan itu dan kemudiannya suatu pemilihan yang berasingan untuk mengisi kekosongan yang lain itu.
4. Pegawai pengerusi hendaklah memperakui kepada Setiausaha Dewan Negara, melalui surat yang ditandatangani sendiri oehnya, nama orang yang dipilih sebagai ahli Dewan Negara mengikut peruntukan Jadual ini.
5. Jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli Dewan Negara telah diplih dengan sewajarnya mengikut peruntukan Jadual ini, maka Dewan Negara hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad, tetapi kegagalan mengadakan sesuatu pemilihan di bawah seksyen 1(2) dengan seberapa segera yang boleh tidaklah dengan sendirinya menidaksahkan pemilihan mana-mana ahli Dewan Negara.
JADUAL KELAPAN
suntingRaja bertindak ikut nasihat
1. (1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Negeri ini atau mana-mana undang-undang atau sebagai seorang anggota Majlis Raja-Raja, Raja hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau nasihat seseorang anggotanya yang bertindak di bawah kuasa am Majlis itu, kecuali sebagaimana yang diperuntukan selainnya oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri; tetapi Raja berhak, atas permintaanya, mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Negeri yang boleh didapati oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.
(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Negeri ini atau mana-mana undang-undang atau sebagai anggota Majlis Raja-Raja, jika Raja dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau atas nasihat, maka Raja hendaklah menerima dan berindak mengikut nasihat itu.
(2) Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut (sebagai tambahan kepada fungsi yang pada melaksanakannya Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu:
- (a) melantik seorang Menteri Besar;
- (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Dewan Undangan;
- (c) membuat permintaan supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistemewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau perbuatan, amalan atau upacara agama;
- (d) apa-apa fungsi sebagai Ketua agama Islam atau yang berhubungan denga adat Melayu;
- (e) melantik waris atau waris-waris, isteri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja;
- (f) melantik orang memegang pangkat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan berkenaan dengannya;
- (g) mengawal selia balai-balai diraja dan istana-istana.
(3) Undang-undang Negeri boleh membuat peruntukan bagi menhendaki Raja berindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan selain majlis Mesyuarat Kerajaan pada menjalankan mana-mana fungsinya selain—
- (a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
- (b) fungsi yang berkenaan dengan perjalanannya peruntukan ada dibuat dalam Perlembagaan Negeri atau dalam Perlembagaan Persekutuan.
Prosiding terhadap Raja
1A. (1) Jika Raja dipertuduh atas sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan, Raja hendaklah terhenti menjalankan fungsi Raja Negeri ini.
(2) Dalam tempoh raja terhenti, di bawah subseksyen (1), menjalankan fungsi Raja Negeri ini, seorang Pemangku Raja atau suatu Jemaah Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah dilantik mengikut Perlembagaan Negeri ini untuk menjalankan fungsi Raja Negeri ini.
(3) Jika Raja disabitkan atas suatu kesalahan di dalam Mahkamah Khas dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama tempoh lebih daripada satu hari Raja hendaklah terhenti menjadi Raja Negeri ini melainkan jika Raja menerima pengampunan.
Majlis Mesyuarat Kerajaan
2. (1) Raja hendaklah melantik suatu Majlis Mesyuarat Kerajaan.
(2) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu;
- (a) Raja hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Menteri Besar untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan seorang ahli Dewan Undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan itu; dan
- (b) atas nasihat Menteri Besar, Raja hendaklah melantik tidak lebih daripada sepuluh orang tetapi tidak kurang daripada empat orang ahli lain daripada kalangan ahli Dewan Undangan, tetapi jika sesuatu perlantikan dibuat semasa Dewan Undangan terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Undangan yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas persidangan pertama Dewan Undangan yang berikutnya melainkan jika orang itu seorang ahli Dewan Undangan itu.
(3) Walau apa pun apa-apa jua dalam seksyen ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilantik menjadi Menteri Besar.
(4) Pada melantik seseorang Menteri Besar Raja boleh, menurut budi bicaranya, mengetepikan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri ini yang menyekat pilihannya bagi Menteri Besar jika pada pendapatnya perlu dilakukan sedemikian untuk mematuhi peruntukan seksyen ini.
(5) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Dewan Undangan.
(6) Jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan, maka dia hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, melainkan jika atas perminataanya Dewan Undangan dibubarkan oleh Raja.
(7) Tertakluk kepada subseksyen (6), seseorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan, selain Menteri Besar, hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja, tetapi mana-mana anggota Majlis itu boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.
(8) Seseorang anggota majlis Mesyuarat Kerajaan tidak boleh melibatkan diri dalam apa-apa pertukangan, perniagaan atau profesion yang berkaitan dengan apa-apa perkara atau mana-mana jabatan baginya dia bertanggungjawab dan selagi dia melibatkan diri dalam apa-apa pertukangan, perniagaan atau profesion itu, dia tidak boleh mengambil bahagian dalam apa-apa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang berhubungan dengan pertukangan, perniagaan atau profesion itu dalam apa-apa keputusan yang mungkin menyentuh kepentingan kewangan dalam pertukangan, perniagaan atau profesion itu.
Badan Perudangan Negeri
3. Badan Perundangan Negeri hendaklah tediri daripada Raja dan satu Majlis, iaitu Dewan Undangan.
Keanggotaan Dewan Undangan
4. (1) Dewan Undangan hendaklah terdiri daripada apa-apa bilangan ahli dipilih sebagaimana yang diperuntukan melalui undang-undang oleh Badan Perundangan.
(2) (Dimansuhkan).
Kelayakan ahli
5. Tiap-tiap warganegara yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bermastautin di Negeri ini layak menjadi ahli Dewan Undangan, melainkan jika dia hilang kelayakan untuk menjadi ahli mengikut Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan ini atau mengikut mana-mana undang-undang yang disebut dalam seksyen 6 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Kehilangan kelayakan menjadi ahli Dewan Undangan
6. (1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, seseorang hilang kelayakan, untuk menjadi ahli Dewan Undangan jika—
- (a) dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal;
- (b) dia seorang bankrap belum lepas;
- (c) dia memegang sesuatu jawatan bependapatan;
- (d) setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak meyerahkan apa-apa pernyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian;
- (e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak atau Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripda dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas;
- (f) dia hilang kelayakan di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan berkaitan dengan pilihan raya ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan oleh sebab telah di sabitkan atas suatu kesalahan sedemikian atau telah dibuktikan dalam prosiding yang berhubungan dengan sesuatu pilihan raya sebagai bersalah atas perbuatan yang menjadi kesalahan itu; atau
- (g) dia telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan suatu negara asing atau telah dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di suatu negara asing atau telah membuat akuan setia kepada suatu negara asing.
(2) Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan (d) atau perenggan (e) subseksyen (1) boleh dibatalkan oleh Raja dan, jika tidak dibatalkan sedemikian, hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun yang bermula dari tarikh penyata yang disebut dalam perenggan (d) tersebut dikehendaki diserahkan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, dari tarikh orang yang disabitkan sebagaimana yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dilepaskan daripada jagaan atau dari tarikh denda yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dikenakan, dan seseorang tidaklah boleh dihilangkan kelayakannya di bawah perenggan (g) subseksyen (1) semata-mata oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum dia menjadi warganegara.
(3) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam peruntukan yang terdahulu dalam seksyen ini, jika seseorang ahli Dewan Undangan hilang kelayakan daripada terus menjadi ahli Dewan itu menurut perenggan (e) subseksyen (1) atau di bawah suatu undang-undang yang disebut dalam perenggan (f) subseksyen (1)—
- (a) kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh dia—
- (i) disabitkan dan dihukum sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (e) yang disebut terdahulu; atau
- (ii) disabitkan atas suatu kesalahan atau dibuktikan bersalah atas suatu perbuatan di bawah suatu undang-undang yang disebut dalam perenggan (f) yang disebut terdahulu; atau
- (b) jika dalam tempoh empat belas hari yang dinyatakan dalam perenggan (a), suatu rayuan atau apa-apa prosiding mahkamah yang lain dibawa berkenaan dengan sabitan atau hukuman itu, atau berkenaan dengan pensabitan atau pembuktian bersalah sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh rayuan itu atau prosiding mahkamah yang lain itu dibereskan oleh mahkamah; atau
- (c) jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau tempoh selepas pemberesan rayuan atau prosiding mahkamah yang lain yang dinyatakan dalam perenggan (b) ada difailkan suatu petisyen bagi pengampunan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan.
(4) Subseksyen (3) tidaklah terpakai bagi maksud penamaan atau pemilihan mana-mana orang ke Dewan Undangan, yang bagi maksudnya kehilangan kelayakan itu hendaklah berkuat kuasa sebaik sahaja berlakunya kejadian yang disebut dalam perenggan (e) atau (f), mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam subseksyen (1).
(5) Seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Undangan Negeri ini atau mana-mana Negeri lain hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri ini.
Peruntukan melarang dua keahlian
7. Seseorang tidak boleh pada masa yang sama menjadi ahli Dewan Undangan bagi lebih daripada satu bahagian pilihan raya.
Keputusan tentang kehilangan kelayakan
8. (1) Jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli Dewan Undangan telah hilang kelayakan untuk menjadi ahli, maka Dewan itu hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad:
Dengan syarat bahawa seksyen ini tidak boleh dikira sebagai menghalang amalan Dewan menangguhkan sesuatu keputusan bagi membolehkan diambil atau ditentukan apa-apa prosiding yang mungkin menyentuh keputusannya (termasuklah prosiding bagi membatalkan kehilangan kelayakan itu).
(2) Jika seseorang ahli Dewan Undangan hilang kelayakan di bawah perenggan (e) subseksyen (1) seksyen 6, atau di bawah suatu undang-undang yang disebut dalam perenggan (f) subseksyen (1) seksyen 6, maka subseksyen (1) yang terdahulu tidaklah terpakai dan dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Undangan itu, dan kerusinya hendaklah menjadi kosong, sebaik sahaja kehilangan kelayakannya berkuat kuasa mengikut subseksyen (3) seksyen 6.
Memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan
9. (1) Raja hendaklah memanggil Dewan Undangan dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk persidangan pertamanya dalam penggal yang berikutnya.
(2) Raja boleh memprorog atau membubarkan Dewan Undangan.
(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Dewan Undangan hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya dan selepas itu adalah dibubarkan.
(4) Apabila Dewan Undangan bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari dari tarikh Dewan Undangan itu bubar dan Dewan Undangan yang baru hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.
(5) Sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan: Dengan syarat bahawa jika sesuatu kekosongan luar jangka dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Undangan akan terbubar, mengikut subseksyen (3), maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Undangan terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.
Yang di-Pertua Dewan Undangan
10. (1) Dewan Undangan hendaklah dari semasa ke semasa memilih mana-mana orang yang ditentukan oleh Dewan sebagai Yang di-Pertua, dan tidak boleh menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.
(1A) Seseorang tidak boleh dipilih menjadi Yang di-Pertua melainkan jika dia menjadi ahli atau layak menjadi ahli Dewan undangan.
(1B) Mana-mana orang yang bukan ahli Dewan Undangan yang dipilih sebagai Yang di-Pertua—
- (a) hendaklah, sebelum menjalankan tugas-tugas jawatannya, mengangkat dan menandatangani di hadapan Dewan sumpah jawatan; dan
- (b) hendaklah, oleh sebab dia memegang jawatannya itu, menjadi ahli Dewan sebagai tambahan kepada ahli-ahli yang dipilih menjadi ahli Dewan: Dengan syarat bahawa perenggan (b) tidaklah mempunyai kuat kuasa bagi maksud peruntukan seksyen 2 dan tiada seorang pun berhak, menurut kuasa perenggan itu, mengundi atas apa-apa perkara di hadapan Dewan.
(2) Yang di-Pertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan hendaklah mengosongkan jawatannya—
- (a) apabila Dewan Undangan bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum;
- (b) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan melainkan oleh sebab pembubarannya atau, jika dia menjadi ahli semata-mata menurut kuasa perenggan (b) subseksyen (1B), apabila dia terhenti berkelayakan menjadi ahli;
- (c) apabila telah menjadi hilang kelayakan di bawah subseksyen (4); atau
- (d) jika pada bila-bila masa, Dewan membuat ketetapan sedemikian.
(3) Dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam sesuatu persidangan Dewan Undangan seorang ahli yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan itu hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.
(4) Seseorang ahli yang dipilih menjadi Yang di-Pertua hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersial, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya: Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.
(5) Jika berbangkit apa-apa soal mengenai kehilangan kelayakan Yang di-Pertua di bawah subseksyen (4), maka Dewan Undangan hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.
Penjalanan kuasa perundangan
11. (1) Kuasa Badan Perundangan untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan dan diperkenankan oleh Raja.
(2) Tiada Rang Undang-Undang atau pindaan yang melibatkan perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri boleh dibawa atau dicadangkan di dalam Dewan Undangan kecuali oleh seorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan.
(2A) Raja hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu.
(2B) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Raja dalam masa yang ditentukan dalam subseksyen (2A), Rang undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam subseksyen itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.
(3) Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Raja atau sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (2B), tetapi tiada undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga undang-undang itu telah disiarkan, tanpa, walau bagaimanapun, menjejaskan kuasa Badan Perundangan untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat undang-undang yang berkuat kuasa ke belakang.
Tiada pencukaian melainkan jika dibenarkan oleh undang-undang
12. Tiada cukai atau kadar boleh dilevikan oleh atau bagi maksud Negeri kecuali atau di bawah kuasa undang-undang.
Perbelanjaan yang dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan
13. (1) Maka hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri, sebagai tambahan kepada apa-apa pemberian, saraan atau wang lain yang dipertanggungkan sedemikian melalui mana-mana peruntukan lain Perlembagaan Negeri atau melalui undang-undang Negeri—
- (a) Peruntukan diraja bagi Raja dan saraan bagi Yang di-Pertua Dewan Undangan;
- (b) segala caj hutang Negeri bertanggungan membayarnya; dan
- (c) apa-apa wang yang dikehendaki untuk menunaikan apa-apa penghakiman, keputusan atau award terhadap Negeri oleh mana-mana mahkamah atau tribunal.
(2) Bagi maksud peruntukan ini caj hutang termasuklah bunga, caj kumpulan wang penjelas hutang, pembayaran balik atau perlunasan hutang dan segala perbelanjaan berkaitan dengan pemerdapatan pinjaman atas jaminan Kumpulan Wang Disatukan dan pembayaran bunga atas hutang dan penebusan hutang yang diwujudkan dengan jalan sedemikian.
Penyata kewangan tahunan
14. (1) Tertakluk kepada subseksyen (3), Raja hendaklah berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan, menyebabkan dibentangkan di hadapan Dewan Undangan suatu penyata terimaan dan perbelanjaan yang dianggarkan bagi Negeri untuk tahun itu, dan, melainkan jika diperuntukkan selainnya oleh Badan Perundangan Negeri berkenaan dengan mana-mana tahun, penyata itu hendaklah dibentangkan sedemikian sebelum permulaan tahun itu.
(2) Anggaran perbelanjaan itu hendaklah menunjukkan secara berasingan—
- (a) jumlah wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan yang dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan; dan
- (b) tertakluk kepada subseksyen (3), jumlah wang yang masing-masing dikehendaki untuk membayar kepala-kepala bagi perbelanjaan lain yang dicadangkan dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan.
(3) Terimaan yang dianggarkan yang hendaklah ditunjukkan dalam penyata tersebut tidak termasuk apa-apa jumlah wang yang diterima melalui Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; dan jumlah wang yang hendaklah ditunjukkan di bawah perenggan (b) subseksyen (2) tidak termasuk—
- (a) jumlah wang yang merupakan hasil daripada apa-apa pinjaman yang diperdapatkan oleh Negeri bagi maksud tertentu dan yang diuntukkan bagi maksud itu oleh undang-undang yang membenarkan pinjaman itu diperdapatkan;
- (b) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang atau bunga atas wang yang diterima oleh Negeri yang tertakluk kepada suatu amanah dan yang hendaklah digunakan mengikut terma-terma amanah itu;
- (c) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang yang dipegang oleh Negeri yang telah diterima atau diuntukkan bagi maksud apa-apa kumpulan wang amanah yang ditubuhkan oleh atau mengikut undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri.
(4) Penyata tersebut hendaklah juga menunjukkan, setakat yang dapat dilaksanakan, aset dan liabiliti Negeri pada akhir tahun kewangan yang baru genap, cara aset itu dilaburkan atau dipegang, dan kepala-kepala am yang berkenaan dengannya liabiliti itu masih belum selesai.
Rang Undang-Undang Perbekalan
15. Kepala-kepala bagi perbelanjaan yang hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang disatukan bagi Negeri tetapi tidak dipertanggungkan padanya, selain jumlah wang yang disebut dalam perenggan (a) dan (b) seksyen 14(3) Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang, yang hendaklah dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perbekalan, yang membuat peruntukan bagi pengeluaran jumlah wang yang perlu daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk membayar perbelanjaan itu dan penguntukan jumlah wang itu bagi maksud yang dinyatakan dalamnya.
Perbelanjaan tambahan dan perbelanjaan lebih
16. Jika berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan didapati—
- (a) bahawa amaun yang diuntukkan melalui Enakmen Perbekalan bagi maksud itu tidak mencukupi, atau bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan bagi suatu maksud yang baginya tiada amaun diuntukkan melalui Enakmen Perbekalan; atau
- (b) bahawa apa-apa yang telah dibelanjakan bagi apa-apa maksud melebihi amaun yang diuntukkan (jika ada) bagi maksud itu melalui Enakmen Perbekalan, maka suatu anggaran tambahan yang menunjukkan jumlah wang yang dikehendaki atau dibelanjakan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Undangan dan kepala-kepala bagi apa-apa perbelanjaan itu hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang undang-Undang Perbekalan.
Pengambilan keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan
17. (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam seksyen ini, tiada wang boleh diambil keluar daripda Kumpulan Wang Disatukan melainkan jika wang itu—
- (a) dipertanggungjawabkan pada Kumpulan Wang Disatukan; atau
- (b) dibenarkan dikeluarkan melalui Enakmen Perbekalan.
(2) Tiada wang boleh diambil keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan kecuali mengikut cara yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.
(3) Subseksyen (1) tidak terpakai bagi apa-apa jumlah wang yang disebut dalam perenggan (a), (b), dan (c) seksyen 14(3) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
(4) Badan Perundangan Negeri boleh, sebelum lulus Enakmen Perbekalan, berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan, membenarkan perbelanjaan bagi sebahagian daripada tahun kewangan itu dan juga pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan apa-apa wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan itu.
Layanan saksama bagi pekerja Negeri
18. Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan mereka, semua orang, walau apa pun rasnya, dalam gred yang sama dalam perkhidmatan Negeri hendaklah diberi layanan yang saksama.
Pindaan Perlembagaan
19. (1) Peruntukan yang berikut dalam seksyen ini hendaklah berkuat kuasa mengenai pindaan Perlembagaan Negeri ini.
(2) Peruntukan yang menyentuh pewarisan takhta dan kedudukan Pembesar-Pembesar Memerintah dan pembesar-pembesar adat Melayu yang seumpamanya tidak boleh dipinda oleh Badan Perundangan Negeri.
(3) Mana-mana peruntukan lain boleh, tetakluk kepada peruntukan yang berikut dalam seksyen ini, dipinda melalui suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri tetapi tidak boleh dipinda dengan apa-apa cara yang lain.
(4) Sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat pindaan kepada Perlembagaan tersebut (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan subseksyen ini) tidak boleh diluluskan oleh Dewan Undangan melainkan jika Rang Undang-Undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahlinya.
(5) Pindaan yang berikut dikecualikan daripada peruntukan subseksyen (4), iaitu:
- (a) apa-apa pindaan yang berbangkit daripada sesuatu undang-undang yang disebut dalam seksyen 4 atau seksyen 21 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan; dan (aa) apa-apa pindaan bagi menetapkan wilayah bagi Negeri yang dibuat berikutan dengan lulusnya undang-undang yang mengubah sempadan Negeri di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh Dewan Undangan Negeri dan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara tersebut; dan
- (b) apa-apa pindaan yang kesannya akan menyelaraskan Perlembagaan Negeri ini dengan mana-mana peruntukan Jadual tersebut, tetapi hanya jika pindaan itu dibuat selepas Dewan Undangan dipilih mengikut seksyen 4 Jadual itu.
(6) Seksyen ini tidak menidaksahkan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri ini yang menghendaki persetujuan mana-mana kumpulan orang terhadap apa-apa pindaan yang menyentuh—
- (a) perlantikan dan sifat khusus bagi waris atau waris-waris takhta, Isteri Raja atau Pemangku Raja atau Anggota Jemaah Pemangku Raja bagi Negeri;
- (b) pemecatan, penarikan diri atau penurunan takhta Raja atau warisnya atau wariswarisnya;
- (c) perlantikan dan sifat khusus bagi Pembesar-Pembesar Memerintah atau pembesar-pembesar adat Melayu yang seumpamanya dan anggota Majlis Penasihat mengenai agama atau adat atau badan yang seumpamanya;
- (d) pengadaan, pengawalseliaan, pengesahan dan pelucutan pangkat, gelaran, kemuliaan, kebesaran dan kurniaan di sisi adat Melayu dan sifat bagi pemegangpemegangnya dan pengawalseliaan balai-balai diraja dan istana-istana.
(7) Dalam seksyen ini "pindaan" termasuklah tambahan dan pemansuhan.
Yang di-Pertua Negeri
19A. (1) Maka hendaklah ada seorang Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya selepas berunding dengan Ketua Menteri.
(2) Yang di-Pertua Negeri hendaklah dilantik bagi tempoh empat tahun tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong dan boleh dipecat daripada jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong atas sembah Dewan Undangan Negeri yang disokong dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahlinya.
(3) Badan Perundangan boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak menurut budi bicaranya selepas berunding dengan Ketua Menteri, melantik seseorang untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertua Negeri selama apa-apa tempoh semasa Yang di-Pertua Negeri tidak dapat berbuat demikian sendiri kerana sakit, tidak ada atau apa-apa sebab lain, tetapi tiada seorang pun boleh dilantik sedemikian jika dia layak dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.
(4) Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (3) boleh mengambil tempat Yang di-Pertua Negeri sebagai anggota Majlis Raja-Raja selama apa-apa tempoh semasa fungsi Yang di-Pertua Negeri boleh dijalankannya di bawah subseksyen itu.
Kelayakan dan ketidakbolehan Yang di-Pertua Negeri
19B. (1) Seseorang yang bukan warganegara atau seseorang warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pedaftaran di bawah perkara 17 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.
(2) Yang di-Pertua Negeri tidak boleh memegang apa-apa jawatan berpendapatan dan tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.
Peruntukan Diraja bagi Yang di-Pertua Negeri
19C. Badan Perundangan hendaklah melalui undang-undang mengadakan suatu Peruntukan Diraja bagi Yang di-Pertua Negeri, dan Peruntukan Diraja itu hendaklah dipertanggungkan Kumpulan Wang Disatukan dan tidak boleh dikurangkan dalam masa dia masih memegang jawatannya itu.
Sumpah jawatan bagi Yang di-Pertua Negeri
19D. (1) Yang di-Pertua Negeri hendaklah, sebelum menjalankan fungsinya, mengangkat dan menandatangani dengan kehadiran Hakim Besar atau dengan kehadiran seorang hakim Mahkamah Tinggi, suatu sumpah atau ikrar dalam bentuk yang berikut, iaitu:
"Saya................................................. setelah dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri......................................................... dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Negeri........................................................................ dan kepada Persekutuan Malaysia, dan bahawa saya akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri....................................................................".
(2) Apa-apa undang-undang yang dibuat di bawah subseksyen (3) seksyen 19A hendaklah membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan subseksyen (1).
Majlis Mesyuarat Kerajaan (gantian bagi seksyen 2)
20. (1) Raja hendaklah melantik suatu Majlis Mesyuarat Kerajaan.
(2) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
- (a) Raja hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Menteri Besar untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan seorang yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan; dan
- (b) atas nasihat Menteri Besar, Raja hendaklah melantik tidak lebih daripada sepuluh orang tetapi tidak kurang daripada empat orang lain.
(3) Walau apa pun apa-apa jua dalam seksyen ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilantik menjadi Menteri Besar.
(4) Pada melantik seorang Menteri Besar Raja boleh, menurut budi bicaranya, mengetepikan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri ini yang menyekat pilihanraya bagi Menteri Besar jika pada pendapatnya perlu dilakukan sedemikian untuk mematuhi peruntukan seksyen ini.
(5) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Dewan Undangan.
(6) Menteri Besar hendaklah terhenti memegang jawatan apabila habis tempoh tiga bulan dari tarikh perlantikannya, melainkan jika sebelum habis tempoh itu suatu ketetapan memberi kepercayaan kepadanya telah diluluskan oleh Dewan Undangan; dan jika pada bila-bila masa dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan, maka dia hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, melainkan jika atas permintaanya Dewan Undangan dibubarkan oleh Raja.
(7) Tertakluk kepada subseksyen (6), seseorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja, tetapi mana-mana anggota Majlis itu boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.
(8) Seseorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan tidak boleh melibatkan diri dalam apa-apa pertukangan, perniagaan atau profesion yang berkaitan dengan apa-apa perkara atau mana-mana jabatan yang baginya dia bertanggungjawab dan selagi dia melibatkan diri dalam apa-apa pertukangan, perniagaan atau profesion itu, dia tidak boleh mengambil bahagian dalam apa-apa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang berhubungan dengan pertukangan, perniagaan atau profesion itu atau dalam apa-apa keputusan yang mungkin menyentuh kepentingan kewangannya dalam pertukangan, perniagaan atau profesion itu.
Keanggotaan Dewan Undangan (gantian bagi seksyen 4)
21. (1) Dewan Undangan hendaklah terdiri daripada—
- (a) apa-apa bilangan ahli dipilih sebagaimana yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Badan Perundangan; dan
- (b) apa-apa bilangan ahli lain, yang kurang daripada bilangan ahli dipilih, yang ditetapkan oleh Raja, dan, sehingga peruntukan lain dibuat sebagaimana yang disebut terdahulu, bilangan ahli dipilih ialah bilangan yang dinyatakan dalam Perkara 171 Perlembagaan Persekutuan.
(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam seksyen 6 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan, seseorang tidaklah hilang kelayakan untuk menjadi seorang ahli dilantik bagi Dewan Undangan semata-mata oleh sebab dia memegang jawatan sesuatu jawatan berpendapatan.
22. Dalam pemakaian Bahagian I dan II Jadual ini bagi Negeri Melaka dan Pulau Pinang sebutan mengenai Raja hendaklah digantikan dengan sebutan mengenai Yang di-Pertua Negeri, dan yang berikut hendaklah ditinggalkan, iaitu perenggan (c) hingga (g) seksyen 1(2), seksyen 1A, seksyen 2(4), seksyen 19(2) dan (6), seksyen 20(4), perkataan yang mendahului "jumlah wang yang hendaklah ditunjukkan di bawah perenggan (b)" dalam seksyen 14(3) dan perkataan "lain" yang mula-mula terdapat dalam seksyen 19(3).
23. Bahagian I Jadual ini hendaklah terpakai bagi Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana Bahagian itu terpakai bagi Negeri Pulau Pinang dan Melaka.
JADUAL KESEMBILAN
sunting1. Hal ehwal luar negeri, termasuk—
- (a) Triti, perjanjian dan konvensyen dengan negara lain dan segala perkara yang menghubungkan Persekutuan dengan mana-mana negara lain;
- (b) Perlaksanaan triti, perjanjian dan konvensyen dengan negara lain dan negara sendiri;
- (c) Perwakilan diplomat, konsul dan perdagangan;
- (d) Organisasi antarabangsa; penyertaan dalam badan antarabangsa dan perlaksanaan keputusan yang diambil dalam badan itu;
- (e) Ekstradisi; pesalah buruan; penerimaan masuk ke dalam Persekutuan, dan emigrasi dan pengusiran dari Persekutuan;
- (f) Pasport; visa; permit masuk atau perakuan lain; kuarantin;
- (g) Bidang kuasa asing dan luar wilayah; dan
- (h) Ziarah ke tempat-tempat di luar Malaysia.
2. Pertahanan bagi Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, termasuk—
- (a) Angkatan laut, darat dan udara dan angkatan tentera lain;
- (b) Mana-mana angkatan tentera yang bertugas atau menjalankan operasi bersama dengan mana-mana angkatan tentera Persekutuan; angkatan pelawat;
- (c) Kerja pertahanan; kawasan tentera dan kawasan larangan; pengkalan bagi angkatan laut, darat dan udara; berek, padang terbang dan kerja lain;
- (d) Olah gerak:
- (e) Peperangan dan keamanan; musuh orang asing dan orang asing musuh; harta musuh; perdagangan dengan musuh; kerosakan perang; insurans risiko perang;
- (f) Senjata, senjata api, amunisi dan bahan letupan;
- (g) Perkhidmatan negara; dan
- (h) Pertahanan awam.
3. Keselamatan dalam negeri, termasuk—
- (a) Polis; penyiasatan jenayah; pendaftaran penjenayah; kenteraman awam;
- (b) Penjara; institusi pemulihan akhlak; rumah reman; tempat tahanan; percubaan akhlak bagi pesalah; pesalah juvana;
- (c) Tahanan pencegahan; sekatan kediaman;
- (d) Perkhidmatan risikan; dan
- (e) Pendaftaran negara.
4. Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk—
- (a) Keanggotaan dan susunan semua mahkamah selain Mahkamah Syariah;
- (b) Bidang kuasa dan kuasa semua mahkamah itu;
- (c) Saraan dan keistemewaan lain hakim dan pegawai yang mengetuai mahkamah itu;
- (d) Orang yang berhak menjalankan amalan di hadapan mahkamah itu;
- (e) Tertakluk kepada perenggan (ii), perkara yang berikut:
- (i) Kontrak; perkongsian, agensi dan kontrak khas yang lain; majikan dan perkhidmat; rumah inapan dan tuan rumah inapan; perbuatan salah boleh dakwa; harta dan pindah hakmiliknya serta hipotekasinya, kecuali tanah; bona vacantia; ekuiti dan amanah; perkahwinan, perceraian dan kesahtarafan; harta dan taraf perempuan bersuami; pentafsiran undang-undang persekutuan; surat cara boleh niaga; akuan berkanun; timbang tara; undang-undang persaudagaran; pendaftaran perniagaan dan nama perniagaan; umur dewasa; budak-budak dan orang belum dewasa; pengangkutan; pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat; probet dan surat kuasa mentadbir; kebankrapan dan ketidakmampuan bayar; sumpah dan ikrar; batasan; penguatkuasaan bersaling penghakiman dan perintah; undang-undang keterangan;
- (ii) perkara yang disebut dalam perenggan (i) tidak termasuk undang-undang diri Islam yang berhubungan dengan perkhawinan, perceraian, penjagaan, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, undang-undang keluarga, alang atau pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat;
- (f) Rahsia rasmi; perbuatan rasuah;
- (g) Penggunaan atau penunjukkan jata, lambang kebangsawanan, bendera, lambang, pakaian seragam, darjah kebesaran dan bintang kehormatan selain bagi sesuatu Negeri;
- (h) Pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;
- (i) Tanggung rugi berkenaan dengan mana-mana perkara dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;
- (j) Bidang kuasa Admiralti;
- (k) Penenetuan hukum Syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang persekutuan; dan
- (l) Pertaruhan dan loteri.
5. Kewarganegaraan Persekutuan dan penaturalisasian; orang asing.
6. Jentera kerajaan, tertakluk kepada Senarai Negeri, tetapi termasuk—
- (a) Pemilihan menjadi ahli kedua-dua Majlis Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala perkara yang berkaitan dengannya;
- (b) Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai;
- (c) Perkhidmatan persekutuan, termasuk mengadakan perkhidmatan bersama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri; perkhidmatan bersama bagi dua Negeri atau lebih;
- (d) Pencen dan pampasan kerana hilang jawatan; ganjaran dan syarat-syarat perkhidmatan;
- (e) Pemerintahan dan pentadbiran Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termasuk hukum Syarak di dalamnya setakat yang sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam butiran 1 Senarai Negeri dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Labuan, undang-undang dan adat anak negeri setakat yang sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam butiran 13 Tambahan kepada Senarai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak;
- (f) Kontrak Kerajaan Persekutuan;
- (g) Pihak berkuasa awam Persekutuan; dan
- (h) Pembelian, pengambilan dan pemegangan, dan pembuatan apa-apa urusan mengenai, harta bagi maksud persekutuan.
7. Kewangan, termasuk—
- (a) Mata wang, wang sah dan pensyilingan;
- (b) Simpanan negara dan bank simpanan;
- (c) Peminjaman atas jaminan Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan;
- (d) Pinjaman kepada atau peminjaman oleh Negeri, pihak berkuasa awam dan pengusahaan persendirian;
- (e) Hutang awam Persekutuan;
- (f) Tatacara kewangan dan perakaunan, termasuk tatacara bagi pemungutan, penjagaan dan pembayaran wang awam Persekutuan dan wang awam Negeri, dan pembelian, penjagaan dan pelupusan harta awam selain tanah Persekutuan dan tanah Negeri;
- (g) Audit dan akuan Persekutuan dan Negeri dan pihak berkuasa awam yang lain;
- (h) Cukai; kadar di ibu kota persekutuan;
- (i) Fi berkenaan dengan mana-mana perkara dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;
- (j) Perbankan; pemberian pinjaman wang; pemegang pajak gadai; kawalan kredit;
- (k) Bil pertukaran, cek, nota janji hutang dan surat cara lain yang seumpamanya;
- (l) Pertukaran asing; dan
- (m) Terbitan modal; bursa saham dan bursa komoditi.
8. Pertukangan, perdagangan dan perindustrian, termasuk—
- (a) Pengeluaran, pembekalan dan pengedaran barangan; kawalan harga dan kawalan makanan; pengadukan bahan makanan dan barangan lain;
- (b) Import ke dalam Persekutuan dan eksport dari Persekutuan;
- (c) Pemerbadanan, pengawalseliaan dan penggulungan perbadanan, selaian perbadanan perbandaran (tetapi termasuk perbadanan perbandaran ibu kota persekutuan); pengawalseliaan perbadanan asing; ganjaran atas pengeluaran di Persekutuan atau atas eksport dari Persekutuan;
- (d) Insurans, termasuk insurans wajib;
- (e) Paten; reka bentuk; reka cipta; cap dagangan dan cap persaudagaran; hak cipta;
- (f) Penetapan standard timbang dan sukat;
- (g) Penetapan standard kualiti barangan yang dibuat di dalam Persekutuan atau dieksport dari Persekutuan;
- (h) Lelong dan pelelong;
- (i) Industri, pengawalseliaan pengusahaan perindustrian;
- (j) Tertakluk kepada butiran 2(c) dalam Senarai Negeri: Pembangunan sumber mineral; lombong, perlombongan, mineral dan bijih mineral; minyak dan medan minyak; membeli, menjual, mengimport dan mengeksport mineral dan bijih mineral; keluaran petroleum; pengawalseliaan perburuhan dan keselamatan di dalam lombong dan medan minyak;
- (k) Kilang, dandang dan jentera; pertukangan berbahaya; dan
- (l) Bahan berbahaya dan mudah terbakar.
9. Perkapalan, pelayaran dan perikanan, termasuk—
- (a) Perkapalan dan pelayaran di laut lepas dan di perairan pasang surut dan di perairan pendalaman;
- (b) Pelabuhan dan pengkalan; pesisir depan;
- (c) Rumah api dan peruntukan lain bagi keselamatan pelayaran;
- (d) Penangkapan ikan dan perikanan kelautan dan muara, tidak termasuk penyu;
- (e) Dues api; dan
- (f) Bangkai dan salvaj.
10. Perhubungan dan pengangkutan, termasuk—
- (a) Jalan, jambatan, feri dan cara perhubungan yang lain jika diisytiharkan sebagai persekutuan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan;
- (b) Kereta api, tidak termasuk Kereta Api Bukit Bendera;
- (c) Jalan udara, pesawat udara dan penerbangan udara; padang terbang awam; peruntukan bagi keselamatan pesawat udara;
- (d) Pengawalseliaan lalu lintas mengikut jalan darat, air dan udara, selain lalu lintas di sungai-sungai di luar kawasan pelabuhan yang keseluruhannya terletak di dalam satu Negeri;
- (e) Pembawaan penumpang dan barangan mengikut jalan darat, air dan udara;
- (f) Kenderaan yang didorong secara mekanik;
- (g) Pos dan telekomunikasi; dan
- (h) Wayarles, penyiaran dan televisyen.
11. Kerja-kerja dan kuasa Persekutuan, termasuk—
- (a) Kerja raya bagi maksud persekutuan;
- (b) Bekalan air, sungai dan terusan, kecuali yang keseluruhannya terletak di dalam satu Negeri atau yang dikawal selia oleh suatu perjanjian antara semua Negeri yang berkenaan; pengeluaran; pengagihan dan pembekalan kuasa air; dan
- (c) Elektrik; gas dan kerja gas; dan kerja lain bagi pengeluaran dan pengagihan kuasa dan tenaga.
12. Tinjauan, siasatan dan penyelidikan, termasuk—
- (a) Banci; pendaftaran kelahiran dan kematian; pendaftaran perkahwinan; pendaftaran pengangkatan, selain pengangkatan di bawah hukum Syarak dan adat Melayu;
- (b) Tinjauan Persekutuan; tinjauan sosial, ekonomi dan sains; organisasi kaji cuaca;
- (c) Penyelidikan sains dan teknik; dan
- (d) Suruhanjaya siasatan.
13. Pendidikan, termasuk—
- (a) Pendidikan rendah, menengah dan universiti; pendidikan vokasional dan teknik; latihan guru; pendaftaran dan pengawalan guru, pengurus dan sekolah; pemajuan pengajian khas dan penyelidikan; pertubuhan sains dan sastera;
- (b) Perpustakaan; muzium; monumen dan rekod purbakala dan sejarah; tapak dan peninggalan zaman purba.
14. Perubatan dan kesihatan termasuk kebersihan di ibu kota persekutuan, dan termasuk—
- (a) Hospital, klinik dan dispensari; profesion perubatan; kebajikan ibu mengandung dan bersalin serta anak; pesakit kusta dan institusi pesakit kusta;
- (b) Penyakit gila dan kecacatan mental, termasuk tempat menerima dan memberikan rawatan;
- (c) Racun dan dadah berbahaya; dan
- (d) Dadah dan minuman keras yang memabukkan; pembuatan dan penjualan dadah.
15. Buruh dan keselamatan sosial, termasuk—
- (a) Kesatuan sekerja; pertikaian perindustrian dan buruh; kebajikan buruh termasuk mengadakan rumah bagi buruh oleh majikan; liabiliti majikan dan pampasan pekerja;
- (b) Insurans pengangguran; insurans kesihatan; pencen balu, anak yatim dan umur tua; faedah mengandung dan bersalin; kumpulan wang simpanan dan kebajikan; persaraan; dan
- (c) Khairat dan institusi khairat; amanah khairat dan pemegang amanah tidak termasuk Wakaf; derma kekal Hindu.
16. Kebajikan orang asli.
17. Pekerjaan profesional, selain yang disebut satu persatu secara khusus.
18. Hari kelepasan selain hari kelepasan Negeri; standard waktu.
19. Pertubuhan tidak diperbadankan.
20. Pengawalan makhluk perosak pertanian; pelindungan daripada makhluk perosak itu; pencegahan penyakit tumbuhan.
21. Akhbar; penerbitan; penerbit; percetakan dan mesin cetak.
22. Penapisan.
23. Tertakluk kepada butiran 5(f) Senarai Negeri: panggung; panggung wayang; filem sinematograf; tempat hiburan awam.
24. (Dimansuhkan).
25. Koperasi.
25A. Pelancongan.
26. Tertakluk kepada butiran 9A Senarai Bersama, pencegahan kebakaran dan pemadaman api, termasuk perkhidmatan bomba dan pasukan bomba.
27. Segala perkara yang berhubung dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan, termasuk perkara yang disebut satu persatu dalam butiran 2, 3, 4 dan 5 Senarai Negeri dan dalam hal Wilayah Persekutuan Labuan, perkara yang disebut satu persatu dalam butiran 15, 16 dan 17 Tambahan kepada Senarai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak.
1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.
2. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, tanah termasuk—
- (a) Pemegangan tanah, hubungan antara tuan tanah dengan penyewa; pendaftaran hakmilik dan surat ikatan yang berhubungan dengan tanah; penerokaan, pemajuan tanah dan pemuliharaan tanah; sekatan sewa;
- (b) Tanah Simpanan Melayu atau, di Negeri Sabah dan Sarawak, tanah simpanan anak negeri;
- (c) Permit dan lesen untuk mencari gali bagi lombong; pajakan melombong dan perakuan melombong;
- (d) Pengambilan tanah secara paksa;
- (e) Pindah hakmilik tanah, gadai janji, pajakan dan gadaian berkenaan dengan tanah; isemen ; dan
- (f) Rad; harta karun tidak termasuk benda purba.
3. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, pertanian dan perhutanan, termasuk—
- (a) Pertanian dan pinjaman pertanian; dan
- (b) Hutan.
4. Kerajaan tempatan di luar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, termasuk—
- (a) Pentadbiran tempatan; perbadanan perbandaran; lembaga tempatan, lembaga bandaran dan lembaga luar bandar dan pihak berkuasa tempatan yang lain; perkhidmatan kerajaan tempatan, kadar tempatan, pilihan raya kerajaan tempatan;
- (b) Pertukangan yang memudaratkan dan kacau ganggu awam di dalam kawasan pihak berkuasa tempatan; dan
- (c) (Dimansuhkan).
5. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, perkhidmatan lain yang berciri tempatan, iaitu:
- (a) (Dimansuhkan);
- (b) Rumah tumpangan dan rumah pemalaman;
- (c) Tanah Perkuburan dan tempat pembakaran mayat;
- (d) Tempat kurungan binatang dan pencerobohan kerbau lembu;
- (e) Pasasr dan pasar ria; dan
- (f) Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam.
6. Kerja-kerja Negeri dan air, iaitu:
- (a) Kerja raya bagi maksud Negeri;
- (b) Jalan, jambatan dan feri, selain yang ada dalam Senarai Persekutuan, pengawalseliaan berat dan kelajuan kenderaan di atas jalan itu; dan
- (c) Tertakluk kepada Senarai Persekutuan, air (termasuk sungai dan terusan tetapi tidak termasuk bekalan dan perkhidmatan air); pengawalan kelodak; hak riparia.
7. Jentera Kerajaan Negeri, tertakluk kepada Senarai Persekutuan, tetapi termasuk—
- (a) Peruntukan Diraja dan pencen Negeri;
- (b) Perkhimatan Negeri yang khusus;
- (c) Peminjaman atas jaminan Kumpulan Wang Disatukan Negeri;
- (d) Pinjaman bagi maksud Negeri;
- (e) Hutang awan Negeri; dan
- (f) Fi berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Negeri atau yang diperkatakan oleh undang-undang Negeri.
8. Hari Kelepasan Negeri.
9. Pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Negeri atau yang diperkatakan oleh undang-undang Negeri, bukti mengenai undang-undang Negeri dan benda yang dilakukan di bawahnya, dan bukti mengenai apa-apa perkara bagi maksud undang-undang Negeri.
10. Siasatan bagi maksud Negeri, termasuk suruhanjaya siasatan dan pengumpulan perangkaan mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Negeri atau yang diperkatakan oleh undang-undang Negeri.
11. Tanggung rugi berkenaan dengan mana-mana perkara dalam Senarai Negeri atau yang diperkatakan oleh undang-undang Negeri.
12. Penyu dan penangkapan ikan di sungai.
12A. Perpustakaan, muzium, monumen dan rekod purbakala dan sejarah dan tapak dan peninggalan zaman purba, selain apa yang diisytiharkan sebagai persekutuan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.
13. Undang-undang dan adat anak negeri, termasuk undang-undang diri yang berhubungan dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, undang-undang keluarga, alang atau pewarisan, berwasiat atau tidak berwasiat; pendaftaran pengangkatan di bawah undang-undang atau adat anak negeri; penentuan perkara perkara mengenai undang-undang atau adat anak negeri; keanggotaan, susunan, dan tatacara mahkamah anak negeri (termasuk hak untuk didengar di dalam mahkamah itu), dan bidang kuasa dan kuasa mahkamah itu, yang hendaklah meliputi hanya perkara yang termasuk dalam perenggan ini sahaja dan tidaklah termasuk bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan.
14. Pemerbadanan pihak berkuasa dan badan lain yang ditubuhkan melalui undang-undang Negeri, jika diperbadankan secara langsung melalui undang-undang Negeri, dan pengawalseliaan dan penggulungan perbadanan yang diwujudkan sedemikian.
15. Pelabuhan dan pangkalan, selain yang diisytiharkan sebagai pelabuhan dan pangkalan persekutuan melalui atau di bawah undang-undang persekutuan; pengawalseliaan lalu lintas mengikut jalan air di pelabuhan dan pengkalan atau di sungai-sungai yang keseluruhannya terletak di dalam Negeri itu, kecuali lalu lintas di pelabuhan atau pengkalan persekutuan; pesisir depan.
16. Ukuran tanah kadaster.
17. (Dimansuhkan).
18. Di Sabah, Kereta Api Sabah.
19. (Dimansuhkan).
20. Tertakluk kepada Senarai Persekutuan, bekalan dan perkhidmatan air.
1. Kebajikan masyarakat; perkhidmatan masyarakat tertakluk kepada Senarai I dan II; perlindungan bagi perempuan, kanak-kanak dan orang muda.
2. Biasiswa.
3. Perlindungan binatang liar dan burung liar; Taman Negara.
4. Penternakan; pencegahan perbuatan menganiaya binatang; perkhidmatan veterinar; kuarantin binatang.
5. Perancangan bandar dan desa, kecuali di ibu kota persekutuan.
6. Kuturayauan dan penaja dari tempat ke tempat.
7. Kesihatan awam, kebersihan (tidak termasuk kebersihan di ibu kota persekutuan) dan pencegahan penyakit.
8. Saliran pengairan.
9. Permulihan tanah lombong dan tanah yang telah mengalami hakisan tanah.
9A. Langkah keselamatan kebakaran dan langkah mencegah kebakaran dalam pembinaan dan penyenggaraan bangunan.
9B. Kebudayaan dan sukan.
9C. Perumahan dan peruntukan bagi kemudahan perumahan; amanah pemajuan.
9D. Tertakluk kepada Senarai Persekutuan, bekalan dan perkhidmatan air.
9E. Pemeliharaan warisan.
10. Undang-undang diri yang berhubungan dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, undang-undang keluarga, alang atau pewarisan, berwasiat atau tidak berwasiat.
11. Pengadukan bahan makanan dan barangan lain.
12. Perkapalan yang beratnya kurang daripada lima belas tan berdaftar, termasuk pembawaan penumpang dan barangan oleh perkapalan itu; penangkapan ikan dan perikanan kelautan dan muara.
13. Pengeluaran, pengagihan dan pembekalan kuasa air dan elektrik yang dijanakuasakan dengan kuasa air.
14. Penyelidikan pertanian dan perhutanan, pengawalan makhluk perosak pertanian, dan pelindungan daripada makhluk perosak itu; pencegahan penyakit tumbuhan.
15. Khairat dan amanah dan institusi khairat di dalam Negeri (iaitu, yang dikendalikan keseluruhannya di dalam Negeri atau diwujudkan dan dikendalikan di dalam Negeri itu) dan pemegang amanahnya, termasuk pemerbadanannya dan pengawalseliaan dan penggulungan khairat dan institusi khairat yang diperbadankan di dalam Negeri itu.
16. Panggung; panggung wayang; filem sinematograf; tempat hiburan awam.
17. Pilihan raya ke Dewan Negeri yang diadakan dalam tempoh pilihan raya secara tidak langsung.
18. Di Sabah sehingga hujung tahun 1970 (tetapi tidak di Sarawak), perubatan dan kesihatan, termasuk perkara yang dinyatakan dalam butiran 14(a) sehingga (d) Senarai Persekutuan.
JADUAL KESEPULUH
sunting1. (1) Pemberian ikut kepala yang yang kena dibayar kepada setiap Negeri berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan hendaklah mengikut kadar yang berikut:
- (a) bagi 100,000 orang yang pertama mengikut kadar RM72.00 bagi tiap-tiap orang;
- (b) bagi 500,00 orang yang berikutnya mengikut kadar RM10.20 bagi tiap-tiap orang;
- (c) bagi 500,000 orang yang berikutnya mengikut kadar RM10.80 bagi tiap-tiap orang;
- (d) bagi yang selebihnya mengikut kadar RM11.40 tiap-tiap orang,
dan hendaklah berdasarkan unjuran kependudukan tahunan bagi Negeri itu sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan dan dihitung menurut bancian kependudukan yang lalu:
Dengan syarat bahawa jika bancian yang lalu itu telah dijalankan satu tahun sebelum permulaan tahun kewangan, maka pemberian bagi tahun tertentu itu hendaklah berdasarkan kependudukan, sebagaimana yang ditentukan oleh bancian kependudukan itu.
(2) (Dimansuhkan).
2. Pemberian jalan Negeri yang kena dibayar kepada setiap Negeri Tanah Melayu berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan hendaklah dihitung dengan mendarabkan—
- (a) kos purata bagi sesuatu Negeri untuk menyenggarakan sebatu jalan Negeri mengikut standard minimum yang ditentukan bagi jalan-jalan Negeri di dalam Negeri yang berkenaan oleh Kerajaan Persekutuan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara; dengan
- (b) sekian panjang perbatuan jalan-jalan Negeri di dalam Negeri itu yang layak mendapat pemberian.
3. Bagi maksud seksyen 2—
- (a) perbatuan jalan-jalan Negeri di dalam sesuatu Negeri ialah perbatuan jalan-jalan Negeri itu yang ada pada tiga puluh satu hari bulan Disember dalam tahun kewangan yang terdahulu, dan kos purata yang disebut dalam perenggan (a) seksyen itu ialah kos purata di dalam Negeri itu yang dihitung dalam tahun kewangan yang terdahulu; dan
- (b) penyenggaraan jalan-jalan Negeri ertinya pemeliharaan, penjagaan dan pemulihan jalan-jalan Negeri, perabot tepi jalan, jambatan, jejambat atau pembetung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya dengan seberapa hampir yang mungkin dengan keadaan asalnya sebagaimana yang dibina atau sebagaimana yang dibaiki kemudiannya.
4. Sesuatu batang jalan Negeri, jika jalan itu sebenarnya disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu mengikut standard minimum atau yang lebih tinggi daripadanya sebagaimana yang disebut dalam seksyen 2(a) dan sesuatu batang mana-mana jalan di dalam had kawasan sesuatu pihak berkuasa tempatan jika jalan itu diperakui oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu sebagai termasuk dalam standard kelayakan dan disenggarakan mengikut standard minimum atau yang lebih tinggi daripadanya sebagaimana yang disebut dalam seksyen 2(a) layak mendapat pemberian.
5. Dalam bahagian ini dalam Jadual ini. "jalan Negeri" ertinya mana-mana jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan, yang boleh dilalui oleh orang ramai.
6. (1) Pemberian jalan Negeri yang kena dibayar kepada Sabah atau Sarawak dalam setiap tahun 1964 dan 1965 hendaklah dibayar mengikut kadar RM4,500 sebatu berkenaan dengan perbatuan di Sabah sepanjang 1,151 batu dan di Sarawak mengikut apa-apa amaun sebagaimana yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
(2) Selepas itu, seksyen 2 hingga 5 hendaklah terpakai bagi pemberian jalan Negeri yang kena dibayar sedemikian dengan ubah suaian yang berikut:
- (a) standard minimum yang disebut dalam seksyen 2(a) ialah standard minimum yang ditentukan bagi jalan-jalan Negeri di dalam Negeri itu; dan
- (b) mana-mana batang jalan yang disenggarakan oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan atas perbelanjaan Negeri hendaklah dikira sebagai disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu.
1. Hasil daripada kedai tuak.
2. Hasil daripada tanah, lombong dan hutan.
[1]3. Hasil daripada lesen-lesen selain lesen-lesen yang berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air kenderaan yang didorong secara mekanik, pepasangan elektrik dan pendaftaran perniagaan.
4. Duti hiburan.
5. Fi di dalam mahkamah, selain mahkamah persekutuan.
6. Fi dan terimaan berkenaan dengan perkhidmatan tertentu yang diberikan oleh jabatan-jabatan Kerajaan Negeri.
7. Hasil lembaga-lembaga bandaran, majlis-majlis bandaran, lembaga-lembaga luar bandar, majlis-majlis tempatan dan pihak-pihak berkuasa tempatan yang seumpamanya selain—
- (a) perbandaran-perbandaran yang ditubuhkan di bawah mana-mana Ordinan Perbandaran;
- (b) lembaga-lembaga bandaran, majlis-majlis bandaran, lembaga-lembaga luar bandar, majlis-majlis tempatan dan pihak-pihak berkuasa tempatan yang seumpamanya yang mempunyai kuasa di bawah undang-undang bertulis untuk memegang simpan hasilnya dan mengawal perbelanjaan hasilnya itu.
[2]8. Terimaan berkenaan dengan air mentah, termasuk kadar air mentah.
9. Sewa mengenai harta Negeri.
10. Bunga atas baki wang Negeri.
11. Terimaan daripada jualan tanah dan jualan harta Negeri.
12. Denda dan perlucuthakan di dalam mahkamah selain mahkamah persekutuan.
13. Zakat, Fitrah dan Baitulmal dan hasil agama Islam yang seumpamanya.
14. Harta karun.
1. (1) Dalam hal Sarawak, pemberian sebanyak RM5,800,000 dalam setiap tahun.
(2) Dalam hal Sarawak, pemberian yang amaunnya dalam tahun 1964 dan setiap tahun selama empat tahun yang berikutnya ialah masing-masingnya RM3 1/2 juta, RM7 juta, RM11 1/2 juta dan RM21 juta, dan dalam tahun-tahun yang kemudiannya hendaklah ditetapkan mengikut satu kajian semula di bawah Perkara 112D.
2. (1) Dalam hal Sabah, pemberian yang amaunnya sama banyak dalam setiap tahun dengan dua perlima daripada amaun yang hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan dari Sabah itu melebihi hasil bersih yang akan didapati sedemikian oleh Persektuan dalam tahun 1963 jika—
- (a) Akta Malaysia telah berkuat kuasa dalam tahun itu seperti dalam tahun 1964; dan
- (b) hasil bersih bagi tahun 1963 dihitung tanpa mengambil kira apa-apa perubahan mengenai apa-apa cukai atau fi yang dibuat pada atau selepas Hari Malaysia,
("hasil bersih" ertinya bagi maksud ini hasil yang terakru kepada Persekutuan, ditolak amaun yang diterima oleh Negeri berkenaan dengan penyerahhakkan hasil itu).
(2) Dalam hal Sabah, bagi mana-mana tahun sebelum 1968 yang dalamnya pemberian jalan Negeri yang kurang dari RM5,179,500, suatu tambahan kepada pemberian itu yang amaunnya sama banyak dengan kekurangan itu.
3. Dalam mana-mana satu hal, bagi mana-mana tahun sebelum tahun 1974 dan, jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pembawaan penumpang dan barangan mengikut jalan darat atau mengenai kenderaan jalan yang didorong secara makenik, maka dalam masa kuasa itu berterusan, suatu pemberian yang sama banyaknya dengan kos yang kena dibayar oleh Negeri itu dalam tahun itu bagi jabatan pengangkutan jalan Negeri itu.
1. Duti import dan duti eksais atas keluaran pertroleum.
2. Duti eksport atas balak dan hasil hutan lain.
3. Selagi royalti yang dilevikan oleh Negeri ke atas apa-apa mineral yang boleh dikenakan duti eksport, selain timah (tetapi termasuk minyak mineral) tidak berjumlah 10 peratus ad valorem yang dihitung seperti bagi maksud duti eksport, duti eksport atas mineral itu atau apa-apa bahagian daripada duti eksport yang menjadikan jumlah royalti dan duti atas mineral yang dieksport hingga 10 peratus ad valorem yang dihitung sedemikian.
4. Dalam hal Sabah selagi perubatan dan kesihatan masih menjadi suatu butiran dalam Senarai Bersama dan perbelanjaan berkenaan dengan butiran itu ditanggung oleh Negeri itu, 30 peratus daripda segala hasil kastam selain hasil kastam berkenaan dengan duti-duti yang disebut dalam seksyen 1, 2 dan 3.
5. Bagi mana-mana tahun sebelum 1974 dan, jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunayi kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pembawaan penumpang dan barangan mengikut jalan darat atau mengenai kenderaan jalan yang didorong secara mekanik atau lesen-lesen berkaitan dengan kenderaan-kenderaan itu, maka, dalam masa kuasa itu berterusan, fi daripada lesen-lesen itu.
6. Bagi mana-mana tahun sebelum tahun 1974, dan jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunayi kuasa membuat undang-undang mengenai pendaftaran kenderaan yang didorong secara mekanik, maka dalam masa kuasa itu berterusan, fi daripada pendaftaran kenderaan-kenderaan itu.
7. Cukai-cukai jualan Negeri.
8. Fi dan dius daripada pelabuhan, selain pelabuhan persekutuan.
9. Terimaan berkenaan dengan bekalan dan perkhidmatan air, termasuk kadar air.
10. Hasil daripada lesen yang berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air.
JADUAL KESEBELAS
suntingSeksyen | Hal Perkara |
---|---|
2 (56) | Erti "bulan"-
"bulan ertinya bulan kalendar mengikut kalendar Gregory. |
2 (61) | Erti "orang" dan "pihak"
"orang" dan "pihak" termasuklah mana-mana kumpulan orang yang diperbadankan atau tidak diperbadankan. |
2 (88) | Takrif "perundangan subsidiari"-
"perundangan subsidiari" ertinya apa-apa Perintah dalam Majlis Mesyurat , proklamasi, kaedah, peraturan, perintah, pemberitahuan, undang-undang kecil atau surat cara lain yang dibuat di bawah mana-mana Ordinan, Enakmen atau kuasa sah yang lain dan mempunyai kuat kuasa perundangan. |
2 (94) | Pentafsiran jantina lelaki-
perkataan yang membawa maksud jantina lelaki termasuklah perempuan. |
2(95) | Pentafsiran bilangan tunggal atau jamak-
perkataan dalam bilangan tunggal termasuklah bilangan jamak, dan perkataan dalam bilangan jamak termasuklah bilangan tunggal. |
2(96) | Erti "tulisan"-
"tulisan" dan ungkapan yang dikaitkan dengan tulisan termasuklah cetakan, litografi, tulisan taip, fotografi, dan cara lain untuk menyatakan atau menurunkan perkataan atau angka dalam bentuk boleh lihat. |
2 (98) | Erti "tahun"-
"tahun" ertinya suatu tahun yang dihitung mengikut kalendar Gregory. |
7 | Borang-
Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, apabila borang ada ditetapkan, pelencongan sedikit daripadanya yang tidak menyentuh isi atau tidak bermaksud untuk mengelirukan, tidaklah menidaksahkan borang itu. |
13 | Kesan pemansuhan-
Jika sesuatu undang-undang bertulis memansuhkan keseluruhan atau sebahagian daripada mana-mana undang-undang bertulis yang lain, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, pemansuhan itu tidaklah-
|
21 | (Dimansuhkan). |
23 | Peruntukan am mengenai kuasa yang diberikan kepada mana-mana pihak berkuasa untuk membuat perundangan subsidiari-
Jika sesuatu Ordinan atau Enakmen memberikan kuasa kepada mana-mana pihak berkuasa untuk membuat perundangan subsidiari, maka perundangan subsidiari itu boleh pada bila-bila masa dipinda, diubah, dihapuskan atau dibatalkan oleh pihak berkuasa yang sama dan mengikut cara yang sama sebagaimana perundangan sebsidiari itu dibuat. |
28 | Penafsiran peruntukan tentang perjalanan kuasa dan kewajipan-
(1) Jika sesuatu undang-undang bertulis memberikan sesuatu kuasa atau mengenakan sesuatu kewajipan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawana, kuasa itu boleh dijalankan dan kewajipan itu hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut kehendak keadaan. (2) Jika sesuatu undang-undang bertulis memberikan sesuatu kuasa atau mengenakan sesuatu kewajipan kepada pemegang sesuatu jawatan sebagai yang sedemikian, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu boleh dijalankan dan kewajipan itu hendaklah dilaksanakan oleh pemegang jawatan pada masa ini atau oleh seseorang yang dilantik dengan sewajarnya untuk bertindak bagi dirinya. |
29 | Kuasa untuk melantik termasuklah kuasa untuk membuang kerja-
Jika suatu undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak berkuasa kuasa untuk membuat perlantikan bagi memegang apa-apa jawatan atau kedudukan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung mana-mana orang yang dilantik dan melantik seorang lain buat sementara bagi menggantikan mana-mana orang yang digantung sedemikian atau bagi menggantikan mana-mana pemegang jawatan atau kedudukan yang sakit atau tidak hadir. Dengan syarat bahawa jika kuasa orang atau pihak berkuasa itu untuk membuat perlantikan itu hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan seseorang atau sesuatu pihak berkuasa lain, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa untuk membuang kerja itu hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan orang atau pihak berkuasa yang lain itu. |
30 | Pentafsiran perkataan pemboleh-
Jika suatu undang-undang bertulis memberikan kuasa kepada mana-mana orang untuk melakukan atau menguatkuasakan perlakuan apa-apa perbuatan atau benda, maka segala kuasa yang semunasabahnya perlu untuk membolehkan orang itu melakukan atau menguatkuasakan perlakuan perbuatan atau benda itu hendaklah difahamkan sebagai juga diberikan kepada orang itu. |
32 | Nama jawatan rasmi hendaklah termasuk pegawai yang melaksanakan kewajipan-
Apabila sebutan dibuat dalam mana-mana undang-undang bertulis, surat cara, waran atau proses daripada apa-apa jenis yang dibuat atau dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau seseorang Raja atau mana-mana badan atau orang yang mempunyai kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk membuat atau mengeluarkannya kepada mana-mana pegawai awam mengikut gelaran nama jawatannya, maka pegawai itu hendaklah termasuk pegawai yang pada masa ini melaksanakan kewajipan jawatan itu atau mana-mana bahagian daripada kewajipan itu. |
33 | Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan peruntukan bagi perlaksanaan kewajipan pegawai awam dalam masa pegawai itu tidak ada atau tidak berdaya buat sementara-
(1) Jika apa-apa kuasa diberikan atau apa-apa kewajipan dikenakan melalui atau dibawah mana-mana undang-undang bertulis kepada seseorang pegawai awam, maka Yang di-Pertuan Agong, dalam hal seseorang pegawai awam yang ditanggung dalam perjawatan sesuatu Negeri, Raja Negeri itu boleh mengarahkan bahawa jika, dalam apa-apa tempoh, oleh sebab dia tidak ada atau tidak berdaya bertindak kerana sakit atau apa-apa sebab lain, pegawai awam itu tidak dapat menjalankan kuasa atau melaksanakan kewajipan jawatannya di mana-mana tempat di bawah bidang kuasa atau kawalannya, maka kuasa itu hendaklah dipunyai dan boleh dijalankan,dan kewajipan itu hendaklah dilaksanakan di tempat itu oleh orang yang dinamakan oleh, atau oleh pegawai awam yang memegang jawatan yang ditetapkan oleh, Yang di-Pertuan Agong atau Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan dengan itu orang atau pegawai awam itu, dalam apa-apa tempoh yang disebut terdahulu, hendaklah mempunyai dan boleh menjalankan kuasa itu dan hendaklah melaksanakan kewajipan yang disebut terdahulu tertakluk kepada apa-apa syarat, kekecualian dan pembatasan yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja. (2) Tanpa mejejaskan peruntukan subseksyen (1), apabila pemegang hakiki mana-mana jawatan bercuti sebelum melepaskan jawatannya maka adalah sah bagi seorang lain dilantik secara hakiki bagi menggantikannya. |
33C | Kuasa sesuatu lembaga, dsb, tidak terjejas oleh kekosongan, dsb.-
Jika mana-mana lembaga, suruhanjaya, jawatankuasa atau badan yang seumpamanya, sama ada yang diperbadankan, ditubuhkan melalui atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa dan prosiding lembaga, suruhanjaya, jawatankuasa atau badan yang seumpamanya itu tidaklah terjejas oleh—
|
35 | (Dimansuhkan). |
36 | Pengiraan masa—
Pada pengiraan masa bagi maksud mana-mana undang-undang bertulis, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan—
|
38 | Peruntukan apabila masa tidak ditetapkan-
Jika masa tidak ditetapkan atau dibenarkan yang dalamnya apa-apa benda hendak dilakukan, maka benda itu hendaklah dilakukan dengan seberapa segera yang boleh dan seberapa kerap keadaan yang ditetapkan itu berlaku. |
39 | Pentafsiran kuasa untuk melanjutkan masa-
Jika dalam mana-mana undang-undang bertulis masa ditetapkan bagi melakukan apa-apa perbuatan atau menjalankan apa-apa prosiding dan kuasa diberikan kepada sesuatu mahkamah atau pihak berkuasa yang lain untuk melanjutkan masa itu, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu boleh dijalankan oleh mahkamah atau pihak berkuasa yang lain itu walaupun permohonan bagi pelanjutan masa itu tidak dibuat sehingga selepas habis tempoh masa yang ditetapkan. |
40A | Peguam Cara Negara menjalankan kuasa Peguam Negara-
(1) Melainkan jika diperuntukkan dengan nyata selainnya dalam mana-mana undang-undang bertulis, Peguam Cara Negara boleh melaksanakan mana-mana kewajipan dan menjalankan mana-mana kuasa Peguam Negara. (2) Jika Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain telah mewakilkan kuasanya dengan sah kepada Peguam Negara maka, melainkan jika diperuntukkan dengan nyata selainnya, pewakilan itu hendaklah disifatkan sebagai pewakilan kuasa kepada Peguam Negara dan Peguam Cara Negara kedua-duanya. |
42 | Pegawai awam-
Sebutan dalam mana-mana undang-undang bertulis mengenai mana-mana pegawai awam mengikut nama jawatannya yang biasa atau am hendaklah, jika terdapat jawatan sedemikian pada lazimnya di Persekutuan atau mana-mana Negeri dan melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, dibaca dan ditafsirkan sebagai sebutan mengenai orang yang pada masa ini memegang atau menjalankan kewajipan jawatan itu di dalam Persekutuan atau Negeri itu, mengikut mana-mana yang berkenaan. |
44 | Penafsiran sebutan mengenai undang-undang-
Dalam mana-mana undang-undang bertulis, sesuatu perihalan atau petikan mengenai suatu bahagian daripada sesuatu undang-undang bertulis yang lain hendaklah, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, ditafsirakan sebagai termasuk perkataan, seksyen atau bahagian lain yang diperkatakan atau disebut sebagai menjadi permulaan dan penghujung bahagian yang masuk dalam perihalan atau petikan itu. |
46 | (Dimansuhkan). |
JADUAL KEDUA BELAS - Dimansuhkan.
sunting(Dimansuhkan).
JADUAL KETIGA BELAS
sunting1. Sehingga diubah mengikut peruntukan Jadual ini, bahagian-bahagian pilihan raya bagi memilih ahli-ahli ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri hendaklah bahagian-bahagian pilihan raya yang mula-mula digunakan bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan, mengikut mana-mana yang berkenaan, menurut Perlembagaan ini atau Akta Malaysia.
2. Prinsip yang berikut hendaklah seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117—
- (a) di samping mengambil perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya mudah untuk pergi mengundi, bahagian-bahagian pilihan raya patutlah disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi sempadan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan;
- (b) perhatian patutlah diberikan kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian pilihan raya itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu;
- (c) bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;
- (d) perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.
3. Bagi maksud Bahagian ini, bilangan pemilih hendaklah dikira sebagai bilangan yang ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa.
3A. Bagi maksud Bahagian ini, dalam apa-apa kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah setiap satunya dikira sebagai suatu Negeri.
4. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya telah memutuskan buat sementara untuk membuat syor di bawah Fasal (2) Perkara 113 yang menyentuh mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya hendaklah memberitahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri dengan sewajarnya, dan hendaklah menyiarkan dalam Warta dan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan di dalam bahagian pilihan raya itu suatu notis yang menyatakan—
- (a) kesan syor yang dicadangkan olehnya, dan (kecuali dalam hal jika Suruhanjaya bercadang untuk mengesyorkan bahawa tiada perubahan dibuat berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu) bahawa suatu salinan syornya terbuka untuk diperiksa di suatu tempat tertentu di dalam bahagian pilihan raya itu; dan
- (b) bahawa representasi mengenai syor yang dicadangkan itu boleh dibuat kepada Suruhanjaya dalam masa satu bulan selepas penyiaran notis itu,
dan Suruhanjaya hendaklah mempertimbangkan apa-apa representasi yang dibuat dengan sewajarnya mengikut mana-mana notis itu.
5. Jika, apabila tersiarnya notis di bawah seksyen 4 mengenai sesuatu syor yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengubah mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya menerima apa-apa representasi membantah syor yang dicadangkan itu daripada—
- (a) Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu; atau
- (b) sekumpulan orang seramai satu ratus orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan,
maka Suruhanjaya hendaklah menyebabkan suatu siasatan tempatan diadakan berkenaan dengan bahagian-bahagian pilihan raya itu.
6. Berhubung dengan apa-apa siasatan yang diadakan di bawah seksyen 5 Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mempunyai segala kuasa yang diberikan kepada Pesuruhjaya oleh Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
7. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya menyemak apa-apa syor yang dicadangkan selepas menyiarkan suatu notis mengenainya di bawah seksyen 4, maka Suruhanjaya hendaklah sekali lagi mematuhi seksyen itu berhubung dengan syor yang disemak itu, seolah-olah tiada notis dahulunya telah disiarkan:
Dengan syarat bahawa tidaklah perlu diadakan lebih daripada dua siasatan tempatan berkenaan dengan mana-mana syor itu.
8. Setelah selesai menjalankan tatacara yang ditetapkan oleh Bahagian ini, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mengemukakan kepada Perdana Menteri suatu laporan mengenai bahagian-bahagian pilihan raya yang menunjukkan—
- (a) bahagian-bahagian pilihan raya yang kepadanya disyorkan olehnya supaya setiap unit kajian semula patut dibahagikan untuk melaksanakan prinsip yang dinyatakan dalam seksyen 2; dan
- (b) nama-nama yang dengannya disyorkan olehnya bahagian-bahagian pilihan raya itu hendaklah dikenali,
atau menyatakan bahawa pada pendapatnya tiada perubahan dikehendaki dibuat untuk melaksanakan prinsip tersebut.
9. Dengan seberapa segera yang boleh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan laporannya kepada Perdana Menteri di bawah seksyen 8, Perdana Menteri hendaklah membentangkan laporan itu di hadapan Dewan Rakyat, bersama dengan (kecuali dalam hal jika laporan itu menyatakan bahawa tiada perubahan dikehendaki dibuat) draf suatu Perintah yang akan dibuat di bawah seksyen 12 bagi melaksanakan, dengan atau tanpa ubah suaian, syor yang terkandung dalam laporan itu.
10. Jika mana-mana draf Perintah yang disebut dalam seksyen 9 diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui ketetapan yang disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu, maka Perdana Menteri hendaklah mengemukakan draf Perintah itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
11. Jika usul bagi meluluskan mana-mana draf Perintah yang disebut dalam seksyen 9 ditolak oleh Dewan Rakyat, atau ditarik balik dengan kebenaran Dewan itu, atau tidak disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu, maka Perdana Menteri boleh, selepas mengadakan apa-apa rundingan yang difikirkannya perlu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, meminda draf itu dan membentangkan draf yang dipinda itu di hadapan Dewan Rakyat; dan jika draf sebagaimana yang dipinda sedemikian diluluskan oleh Dewan itu melalui suatu ketetapan yang disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu,maka Perdana Menteri hendaklah mengemukakan draf yang dipinda itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
12. Jika draf sesuatu Perintah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Bahagian ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah membuat suatu Perintah mengikut kehendak draf yang dikemukakan kepadanya itu, dan Perintah itu hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang dinyatakan dalamnya:
Dengan syarat bahawa permulaan kuat kuasa mana-mana Perintah sedemikian tidaklah menyentuh mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sehingga pembubaran yang berikutnya Parlimen atau Dewan Undangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berlaku pada atau selepas tarikh itu.
- ↑ CATATAN—Pindaan kepada butiran ini dengan memasukkan perkataan "bekalan dan perkhidmatan air," selepas perkataan "yang berkaitan dengan" melalui Akta A1239 masih belum berkuat kuasa–lihat P.U.(B) 97/2005.
- ↑ CATATAN—Pindaan kepada butiran ini dengan menggantikan butiran ini dengan butiran yang berikut: "8. Terimaan berkenaan dengan air mentah." melalui Akta A1239 masih belum berkuat kuasa–lihat P.U. (B) 97/2005.