Piagam Persatuan Negara Asia Tenggara
PIAGAM PERSATUAN NEGARA ASIA TENGGARA
MUKADIMAH
KAMI, RAKYAT Negara Anggota Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), sebagaimana yang diwakili oleh Ketua Negara atau Kerajaan Brunei Darussalam, Kerajaan Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam:
MENGAMBIL MAKLUM dengan kepuasan akan pencapaian dan perkembangan yang penting ASEAN sejak penubuhannya di Bangkok melalui pemasyhuran Perisytiharan ASEAN;
MENGINGAT KEMBALI keputusan untuk mewujudkan Piagam ASEAN dalam Program Bertindak Vientiane, Perisytiharan Kuala Lumpur mengenai Pewujudan Piagam ASEAN dan Perisytiharan Cebu mengenai Rangka Tindakan Piagam ASEAN;
SEDAR akan wujudnya kepentingan bersama dan kesalingbergantungan antara rakyat dan Negara Anggota ASEAN yang terikat dengan geografi, matlamat bersama dan hala tuju yang sama;
DIILHAMKAN oleh dan disatukan di bawah Satu Visi, Satu Identiti dan Satu Komuniti Penyayang dan Prihatin;
DISATUKAN oleh keinginan bersama dan kehendak kolektif untuk hidup di rantau yang aman, selamat dan stabil yang berkekalan serta mempunyai pertumbuhan ekonomi yang lestari, kemakmuran bersama dan kemajuan sosial, dan untuk memajukan kepentingan, cita-cita dan aspirasi utama kita;
MENGHORMATI kepentingan asasi bagi persahabatan dan kerjasama, dan prinsip kedaulatan, kesamarataan, keutuhan wilayah, tidak campur tangan, konsensus dan bersatu dalam kepelbagaian;
MEMATUHI prinsip demokrasi, rukun undang-undang dan tadbir urus yang baik, menghormati dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasi;
BERAZAM untuk memastikan pembangunan yang lestari bagi manfaat generasi kini dan masa hadapan dan untuk mengutamakan kesejahteraan, kehidupan dan kebajikan rakyat dalam proses pembangunan komuniti ASEAN;
YAKIN mengenai keperluan untuk memperkukuh ikatan perpaduan serantau yang sedia ada bagi mewujudkan suatu Komuniti ASEAN yang padu dari segi politik, berintegrasi dari segi ekonomi dan bertanggungjawab dari segi sosial supaya dapat bergerak balas secara berkesan terhadap cabaran dan peluang semasa dan masa hadapan;
KOMITED untuk memperhebat pembangunan komuniti melalui kerjasama dan integrasi serantau yang dipertingkat, khususnya melalui penubuhan Komuniti ASEAN yang terdiri daripada Komuniti Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perisytiharan Persetujuan ASEAN II di Bali;
DENGAN INI MEMBUAT KEPUTUSAN untuk menubuhkan, melalui Piagam ini, rangka undang-undang dan institusi untuk ASEAN,
DAN BAGI MENCAPAI MATLAMAT INI, Ketua Negara atau Kerajaan Negara Anggota ASEAN, yang berhimpun di Singapura pada hari yang bersejarah bagi merayakan ulang tahun ke-40 penubuhan ASEAN, telah bersetuju dengan Piagam ini.
BAB I
TUJUAN DAN PRINSIP
PERKARA 1
TUJUAN
Tujuan ASEAN adalah:
1. Untuk mengekalkan dan mempertingkat keamanan, keselamatan dan kestabilan dan selanjutnya untuk memperkukuh nilai yang berteraskan keamanan di rantau ini;
2. Untuk mempertingkat ketahanan serantau dengan menggalakkan kerjasama politik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya yang lebih erat;
3. Untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear dan bebas daripada segala senjata pemusnah besar-besaran yang lain;
4. Untuk memastikan bahawa rakyat dan Negara Anggota ASEAN hidup dengan aman di kalangan rakyat seluruh dunia dalam persekitaran yang adil, demokratik dan penuh harmoni;
5. Untuk mewujudkan suatu pasaran dan pangkalan pusat pengeluaran tunggal yang stabil, makmur, berdaya saing dan berintegrasi dari segi ekonomi dengan kemudahan berkesan bagi perdagangan dan pelaburan yang dalamnya wujud pengaliran bebas barangan, perkhidmatan dan pelaburan; memudahkan pergerakan ahli perniagaan, ahli profesional, bakat dan tenaga kerja; dan aliran modal yang lebih bebas;
6. Untuk mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan dalam ASEAN melalui bantuan bersama dan kerjasama;
7. Untuk memperkukuh demokrasi, meningkatkan tadbir urus yang baik dan rukun undang-undang, dan untuk menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasi dengan mengambil kira hak dan tanggungjawab Negara Anggota ASEAN;
8. Untuk bergerak balas secara berkesan, mengikut prinsip keselamatan yang menyeluruh, terhadap segala bentuk ancaman, jenayah rentas negara dan cabaran rentas sempadan;
9. Untuk menggalakkan pembangunan yang lestari supaya dapat memastikan alam sekitar rantau ini dilindungi, kelestarian sumber aslinya, dilestarikan warisan budaya dan kualiti hidup penduduknya yang tinggi dipelihara;
10. Untuk membangunkan sumber manusia melalui kerjasama yang lebih erat dalam bidang pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat, dan dalam bidang sains dan teknologi, bagi memperkasakan rakyat ASEAN dan bagi memantapkan Komuniti ASEAN;
11. Untuk meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan rakyat ASEAN dengan memberikan mereka peluang yang saksama bagi pembangunan modal insan, kebajikan sosial dan keadilan;
12. Untuk memperkukuh kerjasama dalam membina persekitaran yang selamat, terjamin dan bebas daripada dadah untuk rakyat ASEAN;
13. Untuk memajukan ASEAN yang berorientasikan rakyat yang dalamnya kesemua sektor masyarakat digalakkan untuk turut serta dalam, dan memperoleh manfaat daripada, proses integrasi dan pembangunan komuniti ASEAN;
14. Untuk memajukan suatu identiti ASEAN melalui peransangan kesedaran yang lebih besar terhadap kepelbagaian budaya dan warisan rantau ini; dan
15. Untuk mengekalkan keutamaan dan peranan proaktif ASEAN sebagai daya penggerak utama dalam hubungan dan kerjasamanya dengan rakan kongsi luar dalam seni bina serantau yang terbuka, telus dan menyeluruh.
PERKARA 2
PRINSIP
1. Bagi mencapai Tujuan yang dinyatakan dalam Perkara 1, ASEAN dan Negara-Anggotanya mengesahkan dan mematuhi prinsip asasi yang terkandung dalam perisytiharan, perjanjian, konvensyen, persetujuan, triti dan surat cara ASEAN yang lain;
2. ASEAN dan Negara Anggotanya hendaklah bertindak mengikut Prinsip yang berikut:
(a) menghormati kemerdekaan, kedaulatan, kesamarataan, keutuhan wilayah dan identiti nasional kesemua Negara Anggota ASEAN;
(b) komitmen bersama dan tanggungjawab kolektif dalam meningkatkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau;
(c) menolak pencerobohan dan ancaman atau penggunaan kekerasan atau perbuatan lain dengan apa jua cara yang tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa;
(d) pergantungan pada penyelesaian pertikaian secara aman dan damai;
(e) tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman Negara Anggota ASEAN;
(f) menghormati hak tiap-tiap Negara Anggota untuk memerintah negaranya sendiri bebas daripada campur tangan luar, perbuatan subversif dan paksaan;
(g) meningkatkan perundingan tentang perkara yang menjejaskan secara seriusnya kepentingan bersama ASEAN;
(h) mematuhi rukun undang-undang, tadbir urus yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan;
(i) menghormati kebebasan asasi, menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia dan menggalakkan keadilan sosial;
(j) mendukung Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dipegang oleh Negara Anggota ASEAN;
(k) mengelak daripada turut serta dalam apa jua dasar atau aktiviti, termasuk penggunaan wilayahnya, yang dijalankan oleh mana-mana Negara Anggota ASEAN atau Negara Bukan ASEAN atau mana-mana pelaku bukan Negara, yang mengancam kedaulatan, keutuhan wilayah atau kestabilan politik dan ekonomi Negara Anggota ASEAN;
(l) menghormati budaya, bahasa dan agama rakyat ASEAN yang berlainan, sambil menitikberatkan nilai bersamanya berdasarkan semangat kesatuan dalam kepelbagaian;
(m) keutamaan ASEAN dalam politik, ekonomi, perhubungan sosial dan budaya luaran sambil kekal melibatkan diri secara aktif, memandang keluar, yang bersifat menyeluruh dan tidak mengamalkan diskriminasi; dan
(n) mematuhi peraturan perdagangan pelbagai pihak dan rejim berasaskan peraturan ASEAN bagi melaksanakan secara berkesan komitmen ekonomi dan pengurangan secara beransur-ansur ke arah penghapusan segala sekatan terhadap integrasi ekonomi serantau dalam ekonomi yang berteraskan pasaran.
Karya ini berada dalam domain awam di Amerika Syarikat kerana merupakan edik pemerintah, sama ada tempatan atau luar negeri. Sila lihat § 313.6(C)(2) Ikhtisar II: Amalan Pejabat Hak Cipta. Dokumen-dokumen tersebut termasuklah "enakmen perundangan, keputusan kehakiman, peraturan pentadbiran, ordinan awam, atau jenis bahan undang-undang rasmi yang serupa" serta "mana-mana terjemahan yang disediakan oleh seorang kakitangan pemerintah yang bertindak dalam menjalankan tugas-tugas rasminya."
Ini tidak termasuk karya-karya Pertubuhan Negara-Negara Amerika, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, atau mana-mana agensi khusus PBB. Lihat Ikhtisar III § 313.6(C)(2) dan 17 U.S.C. 104(b)(5).
Suatu edik pemerintah Amerika mungkin masih mempunyai hak cipta di luar A.S. Amalan Pejabat Hak Cipta A.S. di atas tidak menghalang negeri atau kawasan A.S. daripada memegang hak cipta di luar negara, bergantung pada undang-undang dan peraturan hak cipta asing.
Public domainPublic domainfalsefalse
Karya ini adalah dalam domain awam di Malaysia kerana:
- karya sastera tidak termasuk teks badan berkanun yang bersifat perundangan atau kawal selia secara alami, keputusan kehakiman, ucapan atau perbahasan politik, ucapan dalam prosiding undang-undang, dan terjemahan bahan-bahan yang disebutkan ini.
atau tempoh hak cipta 50 tahun tersebut telah luput untuk:
- karya sastera, muzik atau seni dengan pengarang meninggal dunia sebelum tarikh 23 November 1974; atau jika tidak diterbitkan sebelum pengarang meninggal dunia, pertama kali diterbitkan sebelum tahun 1974; atau jika diterbitkan tanpa sebarang nama sebenar mahupun nama samaran, pertama kali diterbitkan atau pertama kali disediakan untuk paparan umum (yang terkini antara keduanya), sebelum tahun 1974.
- rakaman suara yang mula diterbitkan sebelum tahun 1974; atau jika ia belum diterbitkan maka penetapan sebelum atau pada tahun 1974.
- siaran yang mula dilakukan sebelum tahun 1974.
- filem yang mula diterbitkan sebelum tahun 1974.
Public domainPublic domainfalsefalse