Surat Kuasa Sultan Sulu kepada Baron de Overbeck

كفد سݢل بڠسا يڠاد داتس بومي دان كفد بارڠسياف يڠ اكن داتڠ فركارا يڠترسبوة دباوه اين بهوساڽ اداله كيت سري فادوک مولانا السلطان محمد جمال الاعظام ابن المرحوم سري فادوک السلطان محمد فضل يڠ ممفڽاءي كواس دان فرنته دالم نݢري سولوق سرة سكلين داࢨره تعلوقڽ بسرة دڠن سكلين

                                                                                                                            Cop Mohor 

Kepada sekelian bangsa yang ada di atas bumi dan kepada barang siapa yang akan datang perkara yang disebut di bawah ini bahawasanya adalah kita Seri Paduka Mawlana al-Sultan Muhammad Jamal al-A'zam ibn al-Marhum Seri Paduka al-Sultan Muhammad Fadl yang mempunyai kuasa dan perintah dalam Negeri Suluk serta sekelian daerah takluknya beserta dengan sekelian datok-datok dalam kerajaan kita maka berhimpun bermuafakat empunya titah bahawasanya adalah kita sudah pajakkan kepada sahabat kita yang kepercayaan dan kekasih kita yang bernama Tuan Gustabs Barun Di Ubarbik dan kepada Alfarid Dint Kuwir dengan sahnya akan tanah-tanah dalam kerajaan kita iaitu semuanya tanah-tanah di sebelah timur pantai pulau Berunai dari Sungai Pendasan yang termasuk sekelian jajahan-jajahan di tepi pantai Sungai Sibuku dan pesisir Pitan dan Sugut dan Banggai dan Labuk dan Sandakan dan Cinabatangan dan Mumiang dan lain-lain tanah dan pesisir dekat Teluk Darbal sampai di Sungai Sibuku bersama-sama dengan sekelian pulau-pulau yang termasuk dalamnya itu karena sebab daripada hasil pajakan yang telah ditentukan. Bahawasanya adalah Tuan Gustabs Barun Di Ubarbik itulah menjadi kepala dan wali atas Kompeni dalam pulau Borneo. Maka sekarang ini ketahuilah oleh sekelian orang bahawa adalah kita Seri Paduka Mawlana al-Sultan Muhammad Jamal al-A'zam ibn al-Marhum Seri Paduka al-Sultan Muhammad Fadl sultan dalam Negeri Suluk telah menjadikan menentukan Tuan Gustabs Barun Di Ubarbik yang tersebut itu Datok Bendahara dan Raja Sandakan dengan sepenuh-penuh kuasa hidup dan mati di atas segala orang isi negeri-negeri itu serta di atas segala perkara-perkara yang kita punya dan di atas hasil negeri-negeri itu dan ada berkuasa akan menyewakan tanah-tanah itu dan lagi atas benda-benda yang dalam tanah dan atas tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang serta boleh pula mengadakan hukum-hukum dan membuat wang dan membuat dan menaruh soldadu dan kapal-kapal perang dan mengadakan cukai atas dagangan dalam negeri itu dan atas dagangan lain-lain bangsa asing dan lain-lain cukai dan biaya atas orang-orang negeri itu seperti yang difikirkannya patut dan harus bersama-sama dengan sekelian kuasa yang berpatutan yang dilakukan oleh sekelian raja-raja yang memerintah. Maka kita sudah anugerahi dan serahkan semua itu dengan suka redha kita sendiri maka inilah menyatakan kepada bangsa-bangsa asing yang telah kita mengadakan perjanjian sahabat bersahabat dengan perhubungan dan kita empunya titah kepada sekelian datok-datok dan orang-orang besar dan pemerintah-pemerintah dan pegawai-pegawai yang ada mendapat kuasa daripada kita dalam pesisir-pesisir yang tersebut itu hendaklah ia menerima Datok Bendahara itu seperti penghulu pemerintah atas kerajaan yang tersebut itu dan menurut perintahnya seperti kita sendiri. Maka jikalau datang sesuatu maasha Allah ke atasnya dan ia berhenti daripada pekerjaannya menjadi Datok Bendahara maka Kompeni di atas jajahan-jajahan itu boleh dengan sepatutnya dalam jawatan itu menentukan gabernor akan menjadi gantinya iaitu Datok Bendahara dan Raja Sandakan serta memigang sekelian kuasa yang tersebut di atas ini yang telah diadakannya itu. Demikianlah adanya.

Termaktub surat kuasa ini dalam Negeri Suluk di Istana Sultan Muhammad Jamal al-A'zam kepada 11 haribulan Muharram sanah 1295 iaitu kepada 22 haribulan Januari tahun 1878.

Cop mohor Muhammad Jamal al-A'zam

Sumber