Surat Sultan Banten kepada Raja Inggeris
Ya qarib al-muhsinin
Ini surat pada menyatakan tulus kasih dan ikhlas daripada Paduka Seri Sultan Abu al-Fath ‘Abd al-Fattah yang mengempukan tahta dalam negeri Banten, khallada Allah mulkahu wa-sultanahu wa-sayyara raqaba a‘adihi milkahu, sampai kiranya kepada Raja Carles Sekon cannin [?], raja Inggeris yang termasyhur atas segala buldan, gagah dan baharani pada medan peperangan, dan yang amat bijaksana dan adilnya pada memerintahkan dengan peliharanya kepada segala rakyatnya dan kepada segala orang beniaga anak dagang semuhanya, di daratan dan di lahutan. Amma ba‘du, kemudian daripada itu iaitu surat dan kitabat yang tulus daripada Paduka Seri Sultan yang termazkur dalamnya itu beberapa isyarat dan ibarat supaya maklumlah kiranya Raja Carles Sekon akan perkataan yang terhampar dalam surat yang diperhiasi dengan beberapa puji kebaikan dan doa yang indah-indah itu, supaya nyatalah kiranya tali mahabbat dan tirai mawaddat bersahabat dan {dan} berkasih-kasihan kiranya Paduka Seri Sultan dengan Raja Carles Sekon, jangan dibedakan lagi oleh Raja Carles Sekon, seperti mana adat zaman dahulu kala sampai pada zaman sekarang ini. Sebermula lagi tiada kiriman Paduka Seri Sultan kepada Raja Carles Sekon hanya lada hitam dibawa oleh kapitan kapal namanya Bindal [?]. Tersurat kitabat ini dalam negeri Banten lima hari daripada bulan Zulqaidah seribu dulapan puluh lima tahun daripada hijrah Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alayhi wa-sallam tahun dal ula tammat (20 Januari 1675).
(Seventeenth-century Indonesian letters in the public record office)