Surat Sultan Terengganu kepada Kapten Francis Light

Bahawa ini warqatul ikhlas yang terbit daripada fuaduzzakiyah iaitu daripada Paduka Seri al-Sultan Mansur Riayat Shah yang di atas takhta kerajaan alam Negeri Terengganu Darussalam barang disampaikan Tuhan Rabbul ibad apalah kiranya kepada pihak sahabat kita dan kekasih kita Gabenor Pulau Pinang yang ada dengan istirehat dan sihat dan afiat dalam daerah kantor Kompeni Inggeris serta memegang perintah yang masyhur wartanya di atas angin dan di bawah angin gagah perkasah lagi bijaksana dan setiawan dan budiman dan terlalu arif pada hal memerintahkan pekerjaan sahabat dan taulannya di bawah angin dan lagi teguh setianya serta mempunyai perangai yang lemah-lembut pada hal melakukan berkasih-kasihan tolong-menolong pada sekelian raja-raja dan orang besar-orang besar dan barang ditambah Tuhan Allah pangkat darjatnya serta beroleh gah kebesaran dan kemuliaan selama-lamanya dan lagi dipanjangkan Allah umur usianya dalam dunia dan diselamatkan Allah daripada segala mara bahaya selagi ada hayat zamannya.

Wa ba'du

Barang mafhum kiranya sahabat kita adalah kita menyuruh Sayyid Abdullah dan Nakhoda Bawa pergi ke Negeri Keling membawa kici kita apabila diselamatkan Allah sampai ke Pulau Pinang hendaklah sahabat kita tolong akan dia pada barang sesuatu hal-ehwalnya kesakitan dan kesukaran pada sekelian perkaranya serta sahabat kita suruh akan dia berlayar dengan segeranya kepada awal musim. Maka tiadalah sesuatu cenderamata hanyalah kain halus sehelai akan sahabat kita.

Diperbuat surat ini pada lima belas hari bulan Safar pada hari Ahad pada sanat 1200 (H/1785M).

Petikan surat Sultan Terengganu kepada Light

sunting

Wa ba'dahu

Barang mafhum kiranya sahabat kita maka adalah seorang Inggeris bernama Kapitan Clark datang dari Benggala membawa kapal kecil dua tiang. Maka dianya membawa surat daripada raja Benggala kepada kita. Maka kita sambutlah surat itu dengan istiadat surat raja-raja yang besar-besar serta beberapa kesukaan dan kurniaan. Maka tersebut di dalam surat itu suruh tolong akan Kapitan Clark itu. Maka kita pun tolonglah akan dia pada barang sesuatu hal ehwalnya. Ada beberapa hari maka dianya pinta kepada kita hendak masukkan kapalnya itu ke dalam sungai Terengganu hendak dibaikinya karena kapalnya itu kena karang di laut Benggala dirosak tembaga kapal itu demikianlah katanya kepada kita. Maka kita pun benarkanlah suruh masuk ke dalam sungai. Maka sudah ia masuk ke dalam sungai ada beberapa hari maka dianya mencuri berjual apiun kepada orang Terengganu lain daripada saudagar kita. Maka banyaknya apiun yang dijualnya itu enam peti. Maka diterimanya harga apiun itu lada dan emas. Maka kemudian kita pun tahulah dianya berjual itu lagi kapalnya di dalam sungai. Maka orang yang membeli apiun itu pun kita suruh bawa. Maka orang itu tunjukkan kepada Kapitan Clark itu karena ia salah berbuat taqsir yang besar dalam negeri kita. Maka kita hendak hukumkan atasnya. Maka hal dia memakai bendera Inggeris serta membawa surat daripada raja Benggala, maka sebab itulah maka kita tiada perbuat sesuatu atasnya karena kita sangat malu akan raja Benggala. Maka sekarang hendaklah sahabat kita beri pergi surat akan raja Benggala jangan diberi dianya mari ke Terengganu sekali-kali. Inilah ehwal kita nyatakan kepada sahabat kita.

Petikan surat sultan Terengganu kepada Light

sunting

Maka adalah kita menyatakan kepada anak kita daripada hal saudagar Nasruddin telah kembalilah ke rahmatullah dari yang fana ke negeri yang baqa. Maka sebab kematiannya itu sudah kita beri pergi surat berjalan darat kepada pihak anak kita. Maka kita pun sangatlah masyghul hati serta kesusahan dengan percintaan sebab mati saudagar itu. Demikianlah sudah hal saudagar berlalu hukum Allah atasnya. Itulah kita nyatakan kepada anak kita. Syahadan maka daripada hal anak kita janganlah diubahkan barang sesuatu pekerjaan bagaimana pada zaman saudagar demikianlah anak kita kerjakan serta tolong menolong antara kedua pihak pada barang sesuatu hajat serta suruh bersuruhan tiada berkeputusan karena Terengganu dan Pulau Pinang jadi satu.

Petikan surat sultan Terengganu kepada Light

sunting

Sebagai pula kita nyatakan kepada anak kita tatkala raja Siam duduk di Singgora maka ia menyuruh memanggil raja Kedah dan raja Patani dan raja Terengganu. Maka adalah raja Patani itu keras sedikit jawabnya akan raja Siam itu. Maka lalu dilanggarnya. Maka Negeri Patani pun alah habis binasa oleh raja Siam. Adapun akan hal surat raja Siam kepada kita maka kita mem[b]eri jawab balas surat raja Siam itu kata kita tiada istiadat daripada beberapa zaman mengadap raja Siam itu melainkan sekadar meng[h]antarkan bunga emas dan perak sahaja. Maka kemudian pula datang penyuruh raja Siam serta menghendaki meriam seratus dan segala orang Siam yang di dalam Negeri Terengganu. Dan lagi dia kehendaki daripada segala jenis perkakas yang baik-baik. Maka sangatlah beratnya kehendak raja Siam itu kepada kita. Maka kita pun sangatlah ketakutan akan raja Siam itu. Maka kita pun berguguh negeri hendak melawan raja Siam itu. Maka dengan tolong Allah dan Rasul-Nya maka Siam itu pun pulang ia ke negerinya. Maka banyaklah dibawanya orang Patani yang dapat akan dia itu ke negerinya.

Syahadan.

Sebagai pula kita mem[b]eri istifham kepada anak kita daripada keturunan raja Johor lalu sampai kepada kita boleh anak kita fikirkan....

Tersurat pada lima belas hari bulan Sha'ban sanah 1201(H/1787M).

Petikan surat Sultan Terengganu kepada Light

sunting

Maka raja Siam kehendaki juga akan Seri Paduka ayahanda atau anaknya pergi mengadap dianya. Maka zaman berzaman turun temurun raja Johor tiadalah pe[r]nah mengadap raja Siam hingga suruh menyurat sahaja. Maka daripada jalan itu tiadalah sampai hemat Seri Paduka ayahanda pada hal mengadap raja Siam itu. Dan lagi kata Siam juga tiada turut seperti kehendaknya maka dianya hendak datang dalam bulan lima ini juga. Maka sekarang pun jika ada lagi kasih sayang anak kita maka hendaklah menyuruh jaga-jaga barang dua buah datang pada bulan empat serta bawa bendera mari....Maka tiadalah sesuatu cendera mata hanyalah kain besar sepasang tiadalah sepertinya hanyalah seperti bunga setangkai jua adanya.

Diperbuat surat ini pada enam hari bulan Safar pada hari Jumaat pada waktu pukul sembilan sanah 1202(H/1787M).

Petikan surat Sultan Terengganu kepada Light

sunting

Sebab pun kita minta demikian itu karena kita dengan Siam lagi bergaduhan tiadalah tentu baiknya dan jahatnya. Maka kita pun sudah beri pergi bunga emas dan bunga perak serta dengan hadiahnya. Maka belum datang jawabnya. Maka pada tahun ini datang Siam ke Patani dipukulnya Patani habislah binasah pecah belah dan dibunuhnya orang-orang besar. Karena itulah kita takut kalau-kalau pada musim hadapan ini datang Siam melanggar Terengganu. Jikalau ada kapal mudah-mudahan boleh menolong kita melawan Siam itu....Sebagai lagi daripada hal pe[r]kakas yang anak kita beri mari itu sampailah kepada kita. Dalam itu pun kita ambil juga mana yang kita suka iaitu jam satu dan cermin dua pasang dan baldu hijau dan ungu dua kayu dan kain perada dua kayu dan renda satu ikat jadi jumlah harganya seribu lima ratus sembilan puluh dua real.

Diperbuat surat pada tiga hari bulan Safar pada malam Khamis pada sanah 1207(H/1792M).