Pelita Brunei/1956/3/1

please do not remove empty parameters (see the template documentation).
Pelita Brunei, 1956, 3 oleh [[Pengarang:{{{author}}}|{{{author}}}]]
1 Mac 1956
[ 1 ]Page:Pelita Brunei - 1 Mac 1956.pdf/1 [ 2 ]

PUTERI DIRAJA BRUNEI YANG BAHARU

Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei dan Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri Brunei serta ka rabat diraja dan juga ra'ayat jelata Negeri ini telah beroleh sukachita pada petang hari Juma'at 17 February yang lalu, menekala Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri telah melahirkan saorang Puteri yang jelita pada pukol 1.30 petang hari itu di Istana Darul Hana, Temasek, Brunei.

Sebagai menghormati kelahiran Puteri yang baharu itu, maka 17 das meriam telah ditimbakan dari kawasan Istana tersebut.

Inilah Puteri yang ketiga kapada Duli2 Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Isteri diantara 7 orang Putera-Puteri Baginda2. Nama Puteri Duli2 Yang Maha Mulia yang baharu itu ialah Pengiran Anak Puteri Ammal Umi Kalthom Al-Islam, menekala Putera2 dan Puteri2 yang lain, mengikut dari umor Putera yang tertua sekali ialah Pengiran Muda Hassenal Bulkiah, Pengiran Muda Mohammed Bulkiah, Pengiran Anak Puteri Masnah, Pengiran Anak Puteri Nur Ain, Pengiran Muda Sufri Bulkiah dan Pengiran Muda Jafri Bulkiah.

Istiadat membuka JAGA2 telah diadakan di Istana Darul Hana mulai pada hari Thalatha 21 February dengan mengadakan Istiadat permulaannya di Lapau, Pekan Brunei pada petang hari itu juga, dalam mana ramai karabat diraja Brunei, termasok Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Bendahara, Wazir Yang Pertama Negeri Brunei; Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Pemancha, Wazir Yang Kedua Negeri Brunei serta Pehin2 telah hadzir di Majlis Istiadat yang bersejarah itu.

Tujoh belas das meriam telah ditimbakan dihalaman berhampiran dengan Lapau pada masa diadakan Istiadat permulaan JAGA2 itu.

Istiadat Bersiram

Suatu Istiadat Bersiram telah dilansungkan di Istana Darul Hana pada petang hari Juma'at 2 March dan diturut dengan timbakan 17 das meriam serta bachaan do'a selamat dan berzikir.

Salepas itu Duli2 Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Isteri telah mera'ikan ramai karabat diraja dan para pembesar Negeri ini dengan mengadakan jamuan makan sechara Brunei Asli.

Diantara para hadzirin di Majlis tersebut ialah Pesuroh Jaya Tinggi untok Brunei, Sir Anthony Foster Abell; British Resident Brunei, Yang Berhormat Mr. J.O. Gilbert; Wazir Yang Pertama Negeri Brunei, Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Bendahara dan Isteri; Wazir Yang Kedua Negeri Brunei, Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Pemancha dan Isteri; Ketua2 Pejabat2 Kerajaan Brunei dan lain2nya.

Istiadat berjaga2 tersebut yang telah diadakan pada tiap2 hari di Istana Darul Hana samenjak hari Thalatha 21 February, 1956 telah ditamatkan sasudah diadakan Majlis jamuan makan sechara Brunei Asli.


[ 3 ]

PESUROH JAYA TINGGI DI BRUNEI

Pesuroh Jaya Tinggi Negeri Brunei, Yang Terutama Sir Anthony Foster Abell telah tiba di Brunei pada pagi hari Rabu 29 February yang lalu dari Kuching, Sarawak dan telah disambut oleh Wakil2 dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei, iaitu Wazir Yang Pertama Negeri Brunei, Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Bendahara; Wazir Yang Kedua Negeri Brunei, Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Pemancha; British Residen Brunei, Yang Berhormat Mr. J.O. Gilbert; Setia Usaha Sulit kapada Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei, Yang Berhormat Pehin Dato' Perdana Menteri Haji Ibrahim bin Jahfar; Penyimpan Wang Negeri Brunei, Mr. R.H. Morris dan Chief Police Officer Brunei, Mr. J.G.C. Kirby-Turner.

Satelah memereksai Barisan Kehormatan terdiri dari Pasokan Polis Negeri Brunei dibawah pimpinan Officer-in-Charge Police District, B. Carvalho, maka Tuan Yang Terutama Sir Anthony Abell telah berpisah dengan diiringi oleh British Resident Brunei, Yang Berhormat Mr. J.O. Gilbert.

Pada pagi hari itu juga Pesuroh Jaya Tinggi Brunei telah berangkat ka Istana Darul Hana untok mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei, Sir Omar Ali Saifuddin. Pada petang hari Juna'at 2 March, Tuan Yang Terutama itu telah menghadziri Majlis jamuan makan sechara Brunei Asli di Istana Darul Hana yang telah dilansungkan kerana menahormati Istiadat Bersiram Puteri Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Omar Ali Saifuddin dan Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri Brunei.

Tuan Yang Terutama Sir Anthony Abell akan tinggal di Brunei sahingga ka hari Thalatha 6 March dan sasudah itu beliau akan berangkat ka Kuching dengan kapal terbang dari Lapangan Terbang Berakas.


RANCHANGAN KERAJAAN BRUNEI MENUBOHKAN PERTADBIRAN2 LUAR BANDAR DAN PEDALAMAN LUAR BANDAR

Pendudok2 diseluroh Brunei akan dapat mengambil bahagian yang lebeh penting lagi dalam hal ehwal pertadbiran Negeri ini pada masa kehadapan kelak apabila Kerajaan menubohkan Pertadbiran2 Luar Bandar dan Pedalaman Luar Bandar.

Ranchangan tersebut adalah terkandong dalam Undang2 Majlis2 Mashuarat Tempatan Negeri Brunei yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei dalam Majlis Mashuarat Negeri pada bulan February yang lalu.

Undang2 yang baharu itu mengenai penubohan Pertadbiran2 tersebut, telah disediakan oleh Penasehat Undang2 Negeri Brunei dan telah pun dihalusi serta dipersetujukan oleh sabuah Jawatan Kuasa yang telah dibentok oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei sudah pun memperkenankan penubohan Majlis 2 Mashuarat Penasehat Daerah yang di tugaskan untok memberi pertulongan dengan saberapa boleh kapada pendudok2 dalam daerah yang berkenaan itu.

Kehendak Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei untok menubohkan Pertadbiran2 Luar Bandar dan Pedalaman Luar Bandar adalah satu bahagian yang besar untok memberi peluang kapada pendudok2 dalam Negeri ini mengambil bahagian dalam hal ehwal pertadbiran Negeri Brunei. [ 4 ]Sebagai membuktikan hal tersebut, Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei sendiri telah membuat satu perishtiharan yang telah diterbitkan oleh Kerajaan pada tahun 1953 berkenaan dengan ranchangan mengadakan satu Perlembagaan untok ra'ayat jelata Negeri ini serta lain2 ranchangan yang akan dijalankan oleh Kerajaan Brunei.

Tiap2 Pertadbiran Luar Bandar dan Pedalaman Luar Bandar yang ditubohkan itu adalah sabuah badan yang mempunyai kuasa pertadbiran dan akan mengandongi saorang Pengurusi dan tidak kurang daripada 6 orang ahli2 yang berumor lebeh daripada 21 tahun. Ahli2 Lembaga Pertadbiran itu hendaklah menjadi Ra'ayat Sultan Brunei (iaitu ia dilahirkan didalam Negeri ini) atau menjadi Ra'ayat British.

Pengurusi Majlis2 Mashuarat dan Ahli2nya akan dilantek oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam Majlis Mashuarat Negeri. Dua per tiga dari Ahli2 itu akan memegang jawatan selama 3 tahun menekala satu per tiga lagi akan berhenti pada 31 December pada tiap2 tahun.

Salepas itu Duli Yang Maha Mulia Sultan akan membuat lantekan yang baharu untok memenohkan jawatan2 yang kosong. Meskipun bagitu, Ahli2 yang berhenti bolehlah dilantek semula jika dipersetujui oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei.

Tiap2 buah Lembaga Pertadbiran Luar Bandar dan Pedalaman Luar Bandar akan mengadakan anggota 2nya untok menjalankan kewajipan masing2 pehak. Anggota2 itu adalah mengandongi saorang Kerani, saorang Penyimpan Wang, saorang Pegawai Kesehatan dan lain2nya.

Lembaga2 Pertadbiran itu adalah berkehendak wang untok menjalankan pekerjaan mereka dan wang itu bolehlah diperolehi dari berbagai2 urusan diantaranya ialah daripada chukai2 yang dikenakan atas harta pesaka dan tanah; segala pendapatan dari licence yang mereka mengeluarkan dan juga dari segala kauntongan yang diperolehi. Selain daripada itu Kerajaan juga akan memberi bantuan wang kapada Lembaga Pertadbiran itu pada setiap masa.

Lembaga Pertadbiran itu adalah diberi kuasa untok menyediakan Rang Undang2 untok kawasan masing2 dan satelah Rang Undang2 itu dipersetujui oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam Majlis Mashuarat Negeri dan diluluskan oleh Majlis Mashuarat itu, maka Undang2 yang baharu itu akan berjalan kuat kuasanya bagi tiap2 kawasan yang berkenaan. Barang siapa yang melanggarkan Undang2 itu akan dikenakan denda sahingga sebanyak $ 1,000 atau dipenjarakan sahingga satingginya 6 bulan mengikut kapada kesalahan yang dilakukan itu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam Majlis Mashuarat Negeri adalah diberi kuasa2 oleh Undang2 tersebut untok memansukhkan sebarang Lembaga Pertadbiran jika sekiranya Lembaga itu tidak dapat mengadakan mashuaratnya dalam masa 3 bulan.

Meskipun Lembaga Pertadbiran tersebut ditubohkan, tetapi Jawatan Kuasa yang telah dibentok oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan untok menghalusi dan mempersetujui Rang Undang2 yang disediakan oleh Penasehat Undang2 berkenaan dengan penubohan Pertadbiran2 Luar Bandar dan Pedalaman Luar Bandar tidak akan dimansukhkan.

Jawatan Kuasa tersebut akan menjalankan kewajipannya untok memberi nasehat kapada Kerajaan berkenaan dengan segala hal ehwal yang berkenaan dengan Undang2 yang baharu itu pada bila2 masa yang dikahendaki.


PEGAWAI2 KERAJAAN BRUNEI DAN POLITIK NEGERI INI

Pegawai2 Kerajaan Brunei adalah DITEGAHKAN daripada menjadi [ 5 ]Ahli2 Jawatan Kuasa sebarang pertubohan politik atau pun mengambil bahagian2 yang mustahak dalam hal ehwal pertadbiran politik dalam Negeri ini. Demikian menurut perentah yang telah dikeluarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei dalam Majlis Mashuarat Negeri baharu2 ini.

Perentah tersebut menyebut lagi bahawa sasaorang Pegawai Kerajaan tidaklah dibenarkan menganjorkan sebarang perjumpaan untok merundingkan atas sebarang tindakan yang dijalankan oleh Kerajaan mengenai hal ehwal politik dalam Negeri ini, atau pun mengambil bahagian dalam perjumpaan orang2 ramai untok membinchangkan atas tindakan Kerajaan sebagaimana tersebut.

Sasaorang Pegawai Kerajaan tidaklah juga dibenarkan menjadi pembahagi buku2 mengenai politik atau menandatangani sebarang surat yang dibuat oleh orang2 ramai untok membantah atas tindakan2 atau chadangan Kerajaan mengenai hal ehwal politik dalam Negeri ini.


PEMBAYARAN PERBEKALAN ELEKTRIK DI BRUNEI DIKURANGKAN

Pendudok2 diseluroh Brunei, terutama sekali orang2 yang menggunakan pesawat2 elektrik dirumah masing2, telah dapat mengurangkan perbelanjaan mereka pada bulan February yang lalu dan seterusnya pada tiap2 bulan, kerana mulai dari bulan February, 1956 Kerajaan Brunei telah mengurangkan pembayaran kegunaan lampu elektrik dari 30 sen ka 25 sen untok tiap2 "unit" dan dari 10 sen ka 8 sen untok menggunakan kuasa pesawat elektrik bagi tiap2 "unit".

Ranchangan mengurangkan pembayaran2 tersebut supaya pendudok2 diseluroh Brunei membayarnya dengan sama rata, telah dishurkan oleh Jawatan Kuasa Perkembangan Negeri ini dan telah diluluskan oleh Majlis Mashuarat Negeri pada bulan October yang lalu. Undang2 itu telah berjalan dengan kuat kuasanya mulai dari 1 February tahun ini.

Sebab pun Kerajaan telah menjalankan ranchangan tersebut ialah kerana pada masa sekarang dua jentera2 elektrik yang besar sudah pun dipasangkan di Power Station, Pekan Brunei.

Power Station di Tutong akan siap tidak berapa lama lagi dan satu lagi Power Station akan dibinakan oleh Kerajaan di Daerah Temburong sabelum akhir tahun ini.

Sunggoh pun kekurangan pembayaran perbekalan elektrik dalam Negeri ini telah menyebabkan sedikit kerugian terhadap pehak Kerajaan, tetapi Kerajaan berharap kerugian itu akan dapat dielakan pada masa kehadapan apabila banyak orang di Negeri ini menggunakan pesawat elektrik.


PAKAR BAHAGIAN TANAH DARI AUSTRALIA TIBA DI NEGERI BRUNEI

Dr. C.G. Stephens, Ketua Bahagian Tanah dari sabuah Lembaga Penyiasatan Ilmu Bumi dari Negeri Australia telah tiba di Brunei pada bulan February yang lalu atas jemputan dari Kerajaan Brunei.

Tujuan lawatan Dr. Stephens ka Negeri ini ialah kerana memberi nasehat kapada Kerajaan Brunei berkenaan dengan chara2 untok menjalankan penyiasatan bagi menentukan tanah yang paling subur dalam Negeri ini. [ 6 ]Kerajaan telah mendapati bahawa sabilangan tanah2 dalam Negeri ini tidaklah subur dan tidaklah dapat mengeluarkan hasil tanaman yang baik. Oleh kerana Kerajaan hendak mengetahui tanah2 yang subur bagi menjalankan ranchangan2 penempatan pendudok2 di tanah2 yang baharu, adalah mustahak diketahui segala hal ehwal berkenaan dengan tanah itu.

Semasa berada di Brunei, Pakar Tanah tersebut telah melawat ka Daerah2 yang berkenaan dan telah menjalankan kewajipan2nya, menekala hasil dari penyiasatannya itu telah disampaikan ka pada pehak Kerajaan sabelum beliau berangkat ka Australia pada penghujong bulan February.


PAKAR UNDANG2 DARI AUSTRALIA DI BRUNEI

Mr. P. Brett, saorang Pakar Ilmu Undang2 dari Melbourne University, Australia telah tiba di Brunei pada bulan February yang lalu untok merangkakan Undang2 Tanah bagi Brunei.

Beliau adalah mempunyai pengalaman yang luas dalam hal ehwal Undang2 Tanah dan dalam masa berada di Brunei beliau telah sebok menjalankan berbagai2 penyiasatan berkenaan dengan Undang2 Tanah Negeri Brunei.

Mr. Brett sudah pun berangkat kembali ka Australia dimana beliau akan menubohkan sabuah Jawatan Kuasa untok merangkakan Undang2 Tanah yang akan disampaikan kapada Kerajaan Brunei untok pertimbangan.

Adalah dijangka bahawa hasil dari penyiasatan Mr. Brett itu akan siap kira2 pada awal bulan June tahun ini dan salepas itu beliau akan tiba sekali lagi di Brunei untok menunaikan kewajipannya pula.


PELAWAT2 PENGADILAN UNTOK PENJARA2 DI BRUNEI

Kerajaan Brunei telah melantek seramai 26 orang dari berbagai2 bangsa, mengandongi 14 orang dari Brunei dan 12 orang dari Kuala Belait menjadi Ahli2 Lembaga Pelawat Pengadilan bagi Penjara2 di Brunei dan di Kuala Belait pada tahun ini.

Beliau2 itu adalah saperti dibawah ini:-

Brunei: Dr. J. Pozdar, Mr. Chua Kong Soon, Pengiran Abu Bakar bin Pengiran Omar Ali, Sheikh Osman bin Sheikh Hanif, Pengiran Maharaja Laila, Mr. Kong En Choi, Pengiran Abdul Rahman bin Pengiran Haji Abdul Rahim, Mr. George Newn Ah Foott, Pehin Dato' Temanggong Towkay Lim Cheng Choo, Inche' Suhaimi bin Haji Amin, Pehin Orang Kaya Di-Gadong, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mohamed Yassin, Mr. B.S. Andrews dan Mr. J.K. Corrigan.

Kuala Belait: Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Ahmad bin Daud, Inche' Abdul Ghani bin Hassan, Inche' Sunny bin Ahmat, Mr. Tan Poh Seong, Mr. Sim Yin Su, Mr. Clement Chia, Mr. V.T. Cherian, Mr. E. Buma, Mr. D.S.H. Reddish, Mr. J.L. Atherton, Dr. A.W. Johnson dan

Orang Kaya Paduka Setia Diraja Abang Haji Bujang. [ 7 ]

UNDANG2 BAHARU MAJLIS UGAMA DAN 'ADAT ISTIADAT BRUNEI

Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei, Sir Omar Ali Saifuddin, dalam Majlis Mashuarat Negeri Brunei yang telah bersidang pada bulan February yang lalu, telah memperkenankan membuat sabuah Undang2 yang baharu berkenaan dengan Majlis Ugama dan Undang2 'Adat Istiadat Melayu, Mahkamah Kadzi, Perlembagaan dan pertubohan pehak2 yang berkuasa Ugama dan peraturan hal ehwal ugama.

Undang2 Ugama yang baharu itu telah berjalan kuat kuasanya mulai 1 February, 1956 dan telah dibuat sebagai menggantikan 3 buah Undang2 Ugama Negeri Brunei yang telah dibatalkan. Undang2 yang baharu itu adalah didasarkan kapada sabuah Undang2 Ugama yang sedang berjalan kuat kuasanya dalam Negeri Kelantan, Persekutuan Tanah Melayu, yang mana telah diubahkan supaya sesuai dengan keadaan dalam Negeri Brunei.

Menurut kapada Undang2 tersebut, sabuah Lembaga yang dinamakan "MAJLIS UGAMA DAN ADAT ISTIADAT NEGERI" hendaklah ditubohkan dengan saberapa segera untok memberi nasehat kapada Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei sebagai Ketua dan Kepala Ugama Islam dalam Negeri ini mengenai kesemua perkara yang bersangkut paut dengan Hukum2 Islam di seluroh Negeri Brunei.

Majlis tersebut juga adalah berkuasa menjadi Pengawas harta pesaka sasaorang yang meninggal dunia atau sebagai Nadzir bagi mana2 amanah dan juga diberi kuasa bagi memileki dan mentadbirkan kesemua harta pesaka yang dahulunya dimilek atas nama Masjid Pekan Brunei yang ditadbirkan oleh Pehin Laksemana Haji Taha.

Undang2 yang baharu itu chuma dikenakan keatas orang2 Islam sahaja yang melanggar Hukum2 Ugama Islam. Mereka bolehlah dida'wa dan dihukumkan oleh Mahkamah2 Kadzi yang akan ditubohkan diseluroh Negeri Brunei.

Meskipun begitu, orang2 yang bukan Islam yang didapati menggalakkan orang Islam melanggar Hukum2 Ugamanya, mereka itu bolehlah pula dida'wa oleh Mahkamah Kehakiman.

Kesalahan Ta' Sembahyang Juma'at

Sasaorang lelaki yang berumor 15 tahun atau keatas yang tidak hadzir sembahyang Juma'at dimana2 Masjid dalam Negeri Brunei akan beroleh kesalahan dan dihukumkan denda sebanyak $ 10 pada kali yang pertama ia dihadapkan di Mahkamah. Denda sebanyak $ 20 akan dikenakan kerana melakukan kesalahan tersebut pada kali yang kedua dan denda sebanyak $ 50 pada kali yang ketiga atau berulang2.

Hukum2 denda tidak akan dijatohkan kapada sasaorang lelaki sekiranya kehadzirannya ka Masjid untok menunaikan fardzu sembahyang Juma'at tergendala oleh sebab hujan, atau tempat tinggalnya lebeh daripada 3 batu jauh ikut jalan yang sahabis dekat dengan sasabuah Masjid atau orang itu telah dima'afkan daripada hadzir sembahyang oleh mana2 Pegawai Masjid bagi Mukim yang ia lazimnya tinggal dengan sebab kesakitan atau ia tidak berada ditempat tinggalnya itu.

Fasal minum minuman yang memabokkan

Barang siapa dikalangan orang2 Islam, yang didapati didalam mana2 kedai atau tempat orang2 ramai membeli atau menjual atau meminum apa2 minuman yang memabokkan atau minuman yang mengandongi apa2 benda yang diharamkan oleh Ugama Islam akan bersalah: Hukoman denda sebanyak $50 akan dikenakan atas kesalahan kali yang pertama; denda sebanyak $ 75 pada kali yang kedua atau denda sebanyak $ 100 pada kali yang ketiga atau berulang2. [ 8 ]

Makan Siang Hari Dalam Bulan Puasa

Orang2 Islam, jika didapati makan, minum atau mengisap rokok ditempat2 orang ramai atau ditempat2 lain yang nampak oleh orang pada siang hari dalam bulan Puasa atau didapati orang2 Islam menjual makanan atau minuman atau rokok kapada orang2 Islam, maka ia akan didapati salah dan dihukumkan denda sebanyak $ 50 atau bagi kesalahan yang kedua denda sebanyak $ 75 atau bagi kesalahan yang ketiga denda sebanyak $ 100.

Zakat dan Fitrah

Zakat dan Fitrah tidak akan berjalan kuat kuasanya hingga pada hari yang akan dipersetujukan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei.

Majlis Ugama dan 'Adat Istiadat Negeri Brunei yang ditubohkan itu adalah mempunyai kuasa dan bertanggog jawab untok memungut bagi pehak Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei dan menyelesaikannya mengikut sebagaimana yang dititah oleh Baginda mengenai kesemua Zakat dan Fitrah yang kena dibayar dalam Negeri ini mengikut Hukum Shara' dan hendaklah dijalankan menurut chara yang disharatkan oleh Undang2 tersebut.

Zakat hendaklah kena dibayar oleh tiap2 orang Islam yang mengeluarkan padi dan pengeluarannya tidak kurang daripada 400 gantang didalam mana2 satu tahun dan kadarnya yang kena dibayar ialah 5% daripada pendapatan itu. Tetapi tatkala menghitong jumlah pendapatan itu maka bahagian daripada 100 gantang pendapatan hendaklah ditolak daripada kira2.

Fitrah hendaklah kena dibayar oleh sekalian pendudok2 Islam didalam Negeri ini dan hendaklah kadar pembayarannya sabanyak satu gantang beras bagi tiap2 orang didalam satu buah rumah.

Pembayaran Fitrah boleh dima'afkan dengan sebab kepapa'an. Maka bolehlah Imam, dengan kebenaran dari Pegawai Masjid yang lain memansukkan daripada sinarai taksiran yang telah disediakan olehnya akan nama mana2 orang yang difikirkan miskin tidak dapat membayar Fitrah, akan tetapi bagi mana2 perkara yang demikian hendaklah diberi tahu kapada Majlis Ugama Islam dan 'Adat Istiadat Negeri Brunei mengenai kejadian itu dan bolehlah Majlis itu mengubahkan keputusan tersebut.

Majlis itu, atau pun Imam, dengan mengikut keadaannya hendaklah memenohi sinarai taksiran Zakat dengan memasokan didalamnya jumlah pendapatan padi dan kadar2 yang kena dibayar apabila selesai sahaja pengetahuan padi itu.

Apabila saorang itu mengeluarkan padi didalam lebeh daripada satu Mukim Masjid, maka namanya hendaklah dimasoki dalam tiap2 sinarai taksiran yang berthabit dan pungutan diatasnya itu hendaklah dihitong diatas jumlah pendapatan. Pembayaran yang demikian hendaklah dibayar terus kapada Masjid.

Apabila siap sinarai taksiran, dan dengan tidak dikechualikan sebarang ulang bichara, maka hendaklah tuan punya padi itu membayar dengan serta merta Zakatnya kapada Majlis tersebut, atau kapada Imam.

Zakat hendaklah dibayar dengan padi, tetapi orang yang membayar itu bolehlah membeli balek padi dengan harga yang akan ditetapkan dengan kenyataan yan akan disiarkan didalam WARTA KERAJAAN bagi tiap2 satu gantang oleh Majlis tersebut daripada satu masa ka satu masa yang lain kelak.

Fitrah hendaklah dibayar dengan beras. Bolehlah Majlis itu dari satu masa ka satu masa yang lain kelak, dengan kenyataan yang disebutkan didalam WARTA KERAJAAN menetapkan harga beras yang boleh dijual oleh Pegawai Masjid ka pada orang2 yang kena membayar Fitrah. Harga itu hendaklah tidak rendah daripada harga pasar yang sahabis rendah bagi jenis beras yang murah sekali.

[ 9 ]Sinarai2 taksiran Fitrah hendaklah disiapkan tidak lewat daripada 15 haribulan Sha'aban pada tiap2 tahun dan Fitrah itu hendaklah

dibayar ka pada Majlis atau Imam tidak lewat daripada 1 haribulan Shawal yang dihadapan itu.

Hendaklah Majlis atau Imam, mengikut keadaannya, mengeluarkan surat2 penerimaan barang2, sama ada dengan wang tunai atau dengan benda yang berharga. Tiap2 Imam hendaklah menanggong jawab kapada Majlis itu bagi kesemua Zakat dan Fitrah yang diterima olehnya dan hendaklah memegang, menyimpan dan menyelesaikan perkara itu atau apa2 pendapatan daripada jualan benda2 itu mengikut bagaimana yang diperentah oleh Majlis itu.

Satelah menurut sakelian Titah2 Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei bagaimana hendak diselesaikan mana2 Zakat dan Fitrah, jika ada lagi baki yang tidak dapat diselesaikan, maka hendaklah Majlis itu jual jika baki itu bukan wang tunai dan wang tunai serta pendapatan daripada mana2 jualan hendaklah dimasoki dan dijadikan bahagian daripada kumpolan wang pertadbiran umom.

Ajaran Ugama Yang Palsu

Barang siapa mengajar atau bersharah apa2 pelajaran Ugama atau membuat apa2 Istiadat atau perkara yang berthabit dengan Ugama Islam dengan jalan yang berlawanan dengan Hukom Shara' akan bersalah: Hukoman penjara selama 3 bulan atau denda sebanyak $ 250.

Barang siapa (dikechualikan dirumahnya sendiri dan dihadapan anak beranaknya sahaja) mengajar atau ditudoh mengajar apa2 pengajaran Ugama dengan tidak ada kebenaran yang bertulis daripada Majlis tersebut akan bersalah: Hukom penjara selama satu bulan atau pun denda sebanyak satu ratus ringgit.

Membangun Masjid Dengan Ta'ada Kebenaran

Selanjutnya menurut Undang2 Ugama tersebut, barang siapa yang membangun sebagai atau bagi maksud sabuah Masjid dengan tidak ada kebenaran yang bertulis daripada Majlis itu akan bersalah: Hukoman denda sebanyak $ 1,000 dan bolehlah Mahkamah, dengan terkena kapada apa2 hak memerentah orang yang melakukan kesalahan itu meruntohkan bangunan itu.

Tegahan Menggunakan Ayat2 Koran Di Sandiwara

Barang siapa yang berlakon dalam permainan Sandiwara atau di Taman Penghiboran orang2 ramai atau di Taman Penghiboran, meniru ajok2 perkataan didalam Firman Tuhan atau perkataan yang dihormati oleh orang2 Islam atau mengejek2 sebarang perbuatan atau ibadat orang2 Islam akan bersalah: Hukoman penjara selama satu bulan atau denda sebanyak $ 100.

Mengeji Penguasa2 Ugama

Barang siapa yang didapati salah kerana mengeji kuasa2 Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei sebagai Ketua Ugama Islam didalam Negeri ini, atau pun didapati mengeji Majlis Ugama dan 'Adat Istiadat Negeri ini, atau pun mana2 Jawatan Kuasa, atau ahli, atau Pegawai Majlis itu, atau Pegawai Masjid, atau Pegawai mana2 Mahkamah, atau Pegawai yang bersangkutan dengan Mahkamah itu akan didapati salah dan dihukom penjara selama satu bulan atau denda sebanyak $ 100.

Diantaranya yang terkandong dalam Undang2 baharu Negeri Brunei mengenai hal ehwal Ugama Islam di Negeri ini, adalah menyebut bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei bolehlah melantek saorang ahli dari Majlis Ugama dan 'Adat Istiadat Negeri menjadi Pegawai 'Adat Istiadat, Ugama dan Kebajikan (Jawatan ini sedang dipangku oleh Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Pemancha, Pengiran Anak Haji Mohamed Alam ibni Almnerhum Pengiran Anak Abdul Rahman, Wazir Yang Kedua Negeri Brunei).

(BERSAMBONG)

[ 10 ]

PERSIDANGAN PEGAWAI2 DAERAH DAN PENULONG2 RESIDENT BRUNEI

Pegawai2 Daerah Brunei-Muara, Tutong, Seria, Belait dan Temburong serta Penulong2 Resident Brunei dan Belait telah mengadakan satu persidangan pada julong2 kali baharu2 ini untok bertukar fikiran serta berunding berkenaan dengan perkara2 bagi memajukan daerah2 tersebut.

Persidangan itu telah diadakan di Pejabat Kerajaan di Pekan Brunei pada pagi hari Thalatha 28 February, 1956 dan telah dibuka dengan rasminya oleh British Resident, Brunei' Yang Berhormat Mr. J.O. Gilbert.

Mr. Gilbert telah menerangkan tujuan2 mengadakan persidangan itu dan berharap supaya dengan mengadakan persidangan sechara tersebut dapatlah menjadi keuntongan yang besar terhadap pehak2 yang berkenaan itu dan juga kapada pendudok2 di seluroh Negeri Brunei.

Satelah berunding berkenaan dengan berbagai2 perkara, maka persidangan itu telah bersetuju hendak mengadakan persidangan sechara itu sekali pada tiap2 tiga bulan dan tempatnya akan diubah dari satu daerah ka satu daerah yang lain pula.


PERSIDANGAN NEGERI2 DI BORNEO BERKENAAN DENGAN PENYAKIT MALARIA

Satu ketetapan yang mustahak untok menchegah penyakit demam "malaria" daripada merebak dari satu tempat ka tempat yang lain dengan mengadakan perhubongan yang rapat diantara Negeri2 Brunei, Sarawak dan Borneo Utara, telah dipersetujukan dalam persidangan diantara Wakil2 Kerajaan ketiga2 buah Negeri2 ini yang telah diadakan di Kuching, Sarawak pada hari Rabu 22 February yang lalu.

Persidangan itu telah dibuka oleh Governor Negeri Sarawak, Yang Terutama Sir Anthony Foster Abell dan telah di Pengurusikan oleh Pengarah Perkhidmatan Negeri Sarawak, Dr. W. Glyn Evans serta dihadziri oleh Wakil2 Kerajaan tersebut serta Wakil2 dari Pertubohan2 Kesehatan Sa Dunia.

Dr. M.A. Rozalla, Pemangku Pegawai Perubatan, Negeri Brunei telah juga hadzir dalam persidangan itu.

Oleh kerana memandang bahawa sangatlah mustahak bagi negeri2 yang berhampiran dengan Brunei, Sarawak dan Borneo Utara mengadakan perhubongan yang rapat untok menchegah penyakit demam malaria itu, maka persidangan tersebut telah bersetuju hendak mengshurkan kapada Pertubohan Kesehatan Sa Dunia ("World Health Organisation") supaya menasehatkan kapada Kerajaan Indonesia mengadakan perhubongan diantara Kalimantan kepunyaan Indonesia dengan Kerajaan2 Brunei, Sarawak dan Borneo Utara.

Majlis itu juga telah bersetuju supaya Pertubohan Kesehatan Sa Dunia menjemput Kerajaan Indonesia menghantarkan Wakil dari Kalimantan Indonesia me nghadziri persidangan sechara tersebut pada masa hadapan.

Dengan adanya perhubongan yang rapat diantara negeri2 dikawasan

British Borneo dan Kalimantan Indonesia untok menchegah penyakit demam malaria itu daripada merebak, persidangan tersebut mendapati, "baharulah penyakit demam yang dahshat itu akan dapat dihapuskan sama sekali daripada seluroh kawasan Pulau Borneo". [ 11 ]

LEBEH DARIPADA 10,000 KANAK2 BELAJAR DI 60 SEKOLAH2 DI BRUNEI

Satu usaha yang besar untok memberi pelajaran ka pada kanak2 lelaki dan perempuan dari berbagai2 bangsa yang mendiami diseluroh Negeri Brunei dan juga memberi pelajaran dengan saberapa tinggi kapada mereka telah diranchangkan oleh Kerajaan Brunei dan ranchangan itu telah dijalankan samenjak beberapa tahun yang lalu.

Pada masa sekarang sajumlah 10,016 kanak2, me ngandongi 6,662 kanak2 lelaki dan 3,354 kanak2 perempuan dari berbagai2 bangsa sedang belajar di 60 buah sekolah2 diseluroh Brunei.

Bilangan murid2 tersebut akan dapat ditambah lagi menekala beberapa banyak lagi sekolah2 dibangunkan diseluroh Negeri ini pada masa kehadapan kelak.

Kanak2 yang sahabis banyak sekali belajar ialah di Sekolah2 Melayu, yang pada masa ini mempunyai seramai 4,428 murid2, iaitu 3,247 murid2 lelaki dan 1,181 murid2 perempuan terdiri dari 46 buah sekolah2, mengandongi sajumlah 20 buah sekolah2 dalam Bahagian Brunei, 12 buah sekolah2 dalam Bahagian Tutong, 10 buah sekolah2 dalam Bahagian Belait dan 4 buah sekolah2 dalam Bahagian Pekan Brunei.


PEPEREKSAAN MASOK KA MAKTAB2 PERGURUAN DI MALAYA

Pejabat Pelajaran Negeri Brunei telah memileh seramai 6 orang Guru2 Melayu dari seluroh Brunei untok memasoki Pepereksaan Masok ka Maktab 2 Perguruan di Persekutuan Tanah Melayu, iaitu ka Sultan Idris Training College di Tanjong Malim dan ka Maktab Perguruan Perempuan Melayu di Melaka.

Diantara jumlah bilangan Guru2 tersebut, hanya dua orang sahaja akan dipileh, iaitu saorang Guru lelaki dan saorang lagi Guru pe- rempuan.

Pepereksaan tersebut telah dijalankan di Sekolah Melayu Sltant Muhammed Jemal-ul-Alam, Pekan Brunei baharu2 ini dan Guru2 yang telah memasoki Pepereksaan itu adalah saperti berikut:-

Awang Hashim bin Ampuan Serudin (dari Sekolah Melayu Sultan Muhammed Jemal-ul-Alam, Pekan Brunei); Yahaya bin Haji Ghafar (dari Sekolah Melayu Bukit Bendera, Tutong); Mohsin bin Abdul Kadir (dari Sekolah Melayu Seria); Marhani binte Abdul Latiff (dari Sultan Omar Ali Saifuddin College, Pekan Brunei); Aishah binte Shaari (dari Sekolah Perempuan, Sultan Muhammed Jemal-ul-Alam, Pekan Brunei) dan Dayangku Mariam binte Pengiran Damit (dari Sekolah Melayu Seria).

Kertas2 Pepereksaan tersebut telah pun dihantarkan oleh Pejabat Pelajaran Brunei ka Maktab2 tersebut dan keputusannya akan diberi tahu tidak berapa lama lagi


MISS CECILIA TURCHI

Kerajaan Brunei telah melantek Miss Cecilia Turchi menjadi "Nursing Sister" di Rumah Sakit Kerajaan Brunei mulai dari 27 Feb. '56. [ 12 ]

ANGGOTA2 LEMBAGA2 BANDARAN BRUNEI, BELAIT DAN SERIA

Anggota2 bahaia Lembaga2 Bandaran Brei, Belit dan Seria yang telah dilantek oleh Kerajaan Brunei pada tahun ini adalah saperti berikut:-

Bandar Brunei: Penulong Resident, Brunei (Pengurusi); Pegawai Daerah, Brunei-Muara; State Engineer, Brunei; Pegawai Perubatan Negeri, Brunei; State Surveyor; Pehin Orang Kaya Di-Gadong; Mr. George Newn Ah Foott; Mr. T.C. Marshall dan Pehin Dato' Temanggong.

Belait dan Seria: Penulong Resident, Kuala Belait (Pengurusi); Pegawai Daerah, Kuala Belait; Pegawai Daerah, Seria; Penulong State Engineer, Kuala Belait; Inspektor Kesehatan Yang Kanan, Kuala Belait; Mr. T.R. Groundwater (dari British Malayan Petroleum Company Limited, Seria); Tuan Haji Marusin bin Abdullah; Tuan Haji Sahari bin Dol; Mr. Sim Yin Soo; Mr. Yong Chee San; Mr. P. Gopal dan Mr. J. Saban.


RANCHANGAN MEMBERSEHKAN BANDAR BRUNEI SEBAGAI BANDAR YANG TERBERSEH SEKALI DI BORNEO

Pejabat Municipal, Bandar Brunei adalah meminta kerja sama dari kesemua pendudok2 dalam Bandar Brunei untok menjadikan Bandar Brunei sebagai Bandar yang terberseh sekali dalam Borneo.

Pendudok2 tersebut adalah dipinta mengadakan tong2 sampah serta tutopnya yang sesuai dan sempurna.

Mereka TIDAK BOLEH membuang sampah di kaki lima atau di jalan2 raya.
TIDAK BOLEH menutop kaki lima dengan meletekkan peti2 atau kotak2 atau bicycle dan lain2nya.
TIDAK BOLEH menyimpan kendra'an di belakang atau di tepi2 lorong atau di tempat2 yang lapang di belakang bangunan2 kedai.
TIDAK BOLEH menutop di belakang lorong, ditepi lorong, atau di tempat2 yang lapang di belakang bangunan kedai dengan meletakan peti2 atau kotak2, kayu api dan lain2 barang.

Pegawai2 Pejabat Municipal akan selalu melawat Pasar di Bandar Brunei serta memberi nasehat2 kapada orang2 ramai dan Pegawai2 itu berharap supaya orang2 ramai pula menerima nasehat mereka dan bekerja sama bagi menjayakan ranchangan tersebut.


WANG2 KERTAS, PERAK DAN TEMBAGA

Edaran wang2 kertas, perak dan tembaga yang telah dikeluarkan oleh Pesuroh Jaya Kewangan, Malaya dan Borneo British pada awal bulan February yang lalu adalah saperti dibawah ini:-

Jumlah penoh wang kertas ialah sebanyak $ 920,422,606.27;
Jumlah penoh wang perak dan tembaga ialah $ 36,750,160.33.

[ 13 ]

PERTUNJOKAN WAYANG GAMBAR PEJABAT PENERANGAN KERAJAAN BRUNEI

Pejabat Penerangan Kerajaan Brunei akan mengadakan pertunjokan Wayang Gambar diseluroh Brunei pada sepanjang bulan March, 1956 saperti dibawah ini:-

Brunei: 1 March, Sekolah Melayu Gadong; 3 March, kawasan Rumah Sakit Kerajaan, Pekan Brunei; 4 March, Sekolah Melayu Bukit Bendera, Tutong (Temasha Hari Ibu Bapa); 6 March, Kampong Bendahara Lama, Pekan Brunei; 7 March, Kampong Delima, Jalan Muara; 8 March, DEWAN PEJABAT PENERANGAN, Pekan Brunei; 11 March, Sekolah Melayu Sinaut, Tutong (Temasha Hari Ibu Bapa); 12 March, Kampong Pekan Lama, Brunei (Rumah Pengiran Ahmad Badar); 13 March, Kampong Ujong Bukit (Talib bin Kapal); 14 March, Kampong Berumput, Brunei (Pengiran Haji Buntar); 15 March, Kampong Berakas, Batu 6½, Brunei; 17 March, Kampong Pengiran Pemancha Lama, Brunei; 26 March, Sekolah Melayu Pengkalan Batu, Brunei; 28 March, DEWAN PEJABAT PENERANGAN, Pekan Brunei dan pada malam 29 March dikawasan Balai Police, Jerudong.

Temburong: 19 March, Pekan Bangar, Temburong; 20 March, Biang Estate, Temburong; 21 March, Sekolah Melayu Bokok, Temburong; dan 22 March, Kampong Kenoa (Penghulu Orang Kaya Masing).

Kuala Belait dan Seria: 4 March, Sekolah Melayu Kuala Belait; 5 March, kawasan Field Force, Kuala Belait;B 6 March, Pejabat Kerajaan, Seria (Pertunjokan untok orang2 ramai); 7 March, Sekolah China, Kuala Belait (Fertunjokan untok kanak2 sekolah); 8 March, kawasan Balai Police, Kuala Belait; 9 March, Sungei Taraban, Jalan Miri (Bahagian Belait); 10 March, Sekolah Melayu Seria (Temasha Hari Ibu Bapa); 12 March, Kuala Balai (Penghulu M. Noor); 13 March, Labi (Orang Kaya Setia Diraja M. Daud); 14 March, Rampayoh, Labi (Ketua Bawin); 15 March, Tanajor, Labi (Penulong Penghulu A. Razali M. Yusof); 17 March, Rumah Sakit Kerajaan, Kuala Belait; 19 March, Pejabat Kerajaan, Seria (Pertunjokan untok orang2 ramai); 20 March, Sungei Liang (Bahagian Belait); 21 March, Sungei Lumut (Bahagian Belait); 24 March, Padang Kechil, Kuala Belait (Pertunjokan untok orang2 ramai) 26 March, Bukit Sawat (Orang Kaya Pemancha); 27 March, Kampong Suka (Dato' Maharaja Setia); 28 March, Kampong Malilas (Ketua Kana) dan 31 March, kawasan Sekolah China Seria untok kanak2 Sekolah.


TIMBALAN PEGAWAI PENERANGAN KERAJAAN SARAWAK MELAWAT BRUNEI

Inche' Murshidi bin Othman, Timbalan Pegawai Penerangan Kerajaan Sarawak telah tiba di Brunei dari Miri, Sarawak baharu2 ini dalam lawatan beliau ka beberapa daerah di Negeri Sarawak.

Beliau telah berangkat ka Lawas pula satelah membuat lawatan yang singkat di Brunei dan telah melawat sekali lagi pada masa perjalanan beliau balek ka Kuching.

Sayugia disebutkan bahawa Inche' Murshidi telah juga biasa berkhidmat dalam Pejabat Penerangan Kerajaan Brunei beberapa tahun dabulu sebagai Pegawai Penerangan Yang Kanan.